Buat bisnes yang anda suka!
Hari ini saya nak bercerita mengenai perniagaan atau bisnes.
Bisnes apa tu? Bukan bisnes saya, tapi bisnes saudara-mara dan kawan-kawan. Walaupun ramai yang kata tahun 2015 merupakan tahun yang mencabar daripada segi ekonomi, saudara-mara dan kawan-kawan saya ini adalah antara yang berani mengambil risiko dan menyahut cabaran memulakan bisnes.
Cerita 1:
Sepupu saya yang telah bekerja selama 13 tahun di sebuah syarikat minyak sebagai sesorang akauntan nekad berhenti kerja untuk memulakan bisnes sendiri.
Bisnes apa?
Bisnes menjual ice blended di salah sebuah pusat membeli-belah di Cyberjaya.
Ruang niaganya adalah sebuah kiosk yang sewanya RM3000 sebulan.
Dengan kiosk yang dikendalikan oleh 2 orang pekerja, kini sepupu saya ini tidak lagi balik bekerja lewat malam dan ada lebih masa untuk anaknya.
Cerita 2:
Seorang lagi sepupu saya juga telah berhenti kerja baru-baru ini. Bermula sebagai seorang chef di restoran, kemudian bekerja di bahagian pejabat sebuah restoran yang terkenal, akhirnya sepupu saya ini nekad berhenti kerja dan membuka restoran sendiri.
Bertempat di Putrajaya, berhampiran dengan Masjid Tuanku Mizan (Masjid Besi), sepupu saya ini bersama-sama 3 lagi rakannya berkongsi membuka restoran dengan sewa sebanyak RM11000 sebulan.
Setakat ini keuntungannya boleh tahan, dapat lah RM4000 hingga RM5000 untuk sehari!
Cerita 3:
Seorang kawan yang hanya saya ikuti perkembangannya di FB juga akan menghantar notis berhenti kerja tidak lama lagi. Juga bekerja di sebuah syarikat minyak ketika ini, kawan saya ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi meluangkan lebih masa bersama anak-anaknya. Tambahan pula seorang anaknya yang memerlukan lebih perhatian kerana mempunyai perkembangan membesar yang agak lambat berbanding kanak-kanak normal.
Rancangannya selepas berhenti kerja?
Menjadi pemandu van sekolah. Selain itu, sekarang ini juga kawan saya ini aktif dengan bisnes online menjual tudung Naelofar dan produk kesihatan Ephyra.
Cerita 4:
Seorang kakak di ofis saya dahulu, sangat aktif dengan berniaga. Macam-macam produk yang dijualnya. Daripada kuih raya, daging masak itam, Tupperware, produk kesihatan sehinggalah kepada barangan Muslimah. Memang aktif akak ni, apa sahaja yang dijualnya mendapat sambutan.
Kakak ini selalu merungut dah tak larat nak kerja ofis dan selalu kata nak berhenti kerja. Tapi sampai sekarang masih belum berani hendak hantar notis berhenti kerja. Masih belum yakin dengan bisnesnya agaknya!
Cerita 5:
Masih lagi dengan cerita kawan-kawan. Seorang kawan yang mahir menjahit set tilam bantal untuk kanak-kanak kini aktif dengan bisnes online nya. Banyak tempahan yang diterimanya dari sehari ke sehari, melalui media sosial mahupun daripada kawan-kawan sepejabat. Masih belum berhenti kerja, bisnes online ini dapat dijadikan sebagai pendapatan sampingannya.
Dari mana dapat kemahiran menjahit set tilam bantal tu? Jangan terkejut, kawan saya ini hanya belajar dari YouTube!
Macam-macam kan bisnes yang kita boleh buat?
Tak kira samada memulakan bisnes dengan kedai fizikal atau pun bisnes online, semuanya hanya perlukan keyakinan, kemahuan, kesungguhan dan minat!.
0 comments: