Sudah tiba masanya untuk cari kerja lain...

Monday, February 27, 2017 Ana 0 Comments


Sudah tiba masanya untuk cari kerja lain...



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Kawan saya kongsikan dari FB World Economic Forum mengenai 9 tanda-tanda masanya sudah tiba untuk anda berhenti kerja dan cari kerja yang lain (tonton di sini). Ambil keputusan untuk berhenti kerja bukanlah mudah tapi jika keputusan itu dapat menyelamatkan kehidupan anda dan membolehkan anda menikmati kehidupan berkerjaya dan peribadi yang lebih baik, mengapa tidak teruskan saja dengan keputusan itu?


Tanda-tanda anda perlu cari kerja lain
Sumber : FB World Economic Forum


1. Syarikat tempat anda bekerja mula menunjukkan tanda-tanda mengalami masalah kewangan yang serius? Gaji tertunggak untuk berbulan-bulan, tiada lagi bonus tahunan, elaun mula dipotong, tuntutan perjalanan yang melibatkan tugas pejabat tidak lagi dibenarkan, tiada lagi kemudahan asas seperti alatulis disediakan dan kerja lebih masa tidak dibenarkan (untuk elak tuntutan). Jika ada di antara perkara ini mulai timbul di syarikat anda bekerja, langkah yang terbaik ialah mencari peluang pekerjaan yang lebih baik di luar sana. Tak perlu cuba untuk menjadi seorang pekerja yang setia dengan syarikat hingga akhir hayat syarikat tersebut kerana bukan syarikat itu yang akan pening kepala fikirkan cara untuk bayar segala pinjaman dan hutang piutang anda selepas syarikat ditutup dan anda tiada pekerjaan nanti!


2.  Dari hari pertama hinggalah hari ini telah menjadi hari yang ke 3001 anda bekerja di syarikat tersebut, anda hanya melakukan tugas yang sama! Mungkin akan terselit rasa selesa kerana buat tugas yang telah jadi makanan anda, tapi jangan tipu diri sendiri dan kata yang anda juga selesa bila sekadar melihat satu demi satu kawan-kawan sepejabat naik pangkat dan terima gaji yang lebih besar! Jika di syarikat anda bekerja tiada peluang diberikan untuk kuasai skil dan kemahiran yang baru, maka pilihannya di tangan anda sama ada mahu terus rasa 'selesa' atau beranikan diri untuk keluar dari kebiasaan dan teroka peluang yang lebih besar di luar sana.


3. Pernah tak rasa selalu ketinggalan dengan status terkini projek-projek penting yang dikendalikan syarikat anda? Atau anda selalunya orang terakhir yang tahu sesuatu berita gembira atau sedih di syarikat anda?  Atau anda sampai awal ke pejabat seperti biasa tapi rupa-rupanya bos ada kan mesyuarat setengah jam lebih awal daripada waktu mula pejabat pada hari itu? Dan anda seorang saja yang terlewat ke mesyuarat itu? Atau anda selalunya jadi orang yang terakhir tahu bos ada kan jamuan sempena kejayaan projek syarikat yang telah dilaksanakan? Dan lebih teruk lagi, anda tak dijemput pun ke jamuan itu. Tak payah tunggu lagi, sudah masanya untuk angkat kaki sebab jelas terbukti kehadiran anda di pejabat tiada maknanya dan anda bukanlah orang yang diperlukan dalam syarikat itu lagi!


4. Macam mana perasaannya bila kita lebih banyak tahu @ lebih pandai daripada bos? Mesti rasa tak seronok kan? Tak seronok mungkin sebab kita akan rasa terkongkong nak luahkan idea kita yang selalunya bombastik itu takut dipandang macam nak tunjuk pandai daripada bos. Tak seronok mungkin sebab idea kita yang kita rasa kan hebat itu susah nak 'dihadam' oleh bos yang kurang 'bijak' daripada kita. Tak seronok mungkin juga sebab kita rasa 'kurang yakin' dengan keputusan atau arahan bos yang kita anggap keputusan yang tak membina dan buang masa kita yang bijak pandai ini. Sebelum semua rasa tak seronok itu buat kan anda rasa tertekan di pejabat, apa kata anda cabar diri sendiri untuk cari persekitaran kerja yang baru dan ketua yang boleh terima idea-idea hebat daripada anda!


5. Mempunyai seorang ketua yang 'tak boleh pakai' atau tak ada ciri-ciri ketua yang bertanggungjawab juga adalah tanda-tanda anda perlu mula melangkah keluar dari organisasi tersebut. Memang sangat stress bila ketua hanya tahu menyalahkan orang bawahannya bila berlaku sesuatu masalah dan bukannya turut sama pikul tanggungjawab atas keputusan yang dibuat. Bertambah stress bila ketua yang hanya tahu salahkan orang itu pandai pula nak jual nama nya bila sesuatu projek berjaya dilaksanakan oleh orang bawahannya. Oh, bila ada masalah, pandai ya lari. Bila projek berjaya, melambung-lambung puji diri sendiri!

Tanda-tanda anda perlu cari kerja lain


6. Hari Sabtu dan Ahad dirasakan berlalu dengan sangat pantas dan tak sempat nak berehat dan buat apa-apa? Stress dan tak keruan bila hari Ahad semakin tiba di penghujungnya? Rasa menyampah nak gosok baju untuk ke pejabat setiap kali hari Isnin muncul lagi? Dah tiba masanya untuk semak kembali apa yang buatkan semua perasaan itu menguasai diri. Begitu teruk sekali kah suasana di pejabat dan tugas yang menanti hingga hilang sudah rasa seronok untuk melangkah ke pejabat pada pagi Isnin itu? Macam mana nak enjoy dengan tugas pejabat bila kita sendiri dah hilang minat nak lakukannya?


7. Ya, ada sesetengah orang masih sanggup bertahan dengan rasa tak seronok buat tugas di pejabatnya sebab masih sayangkan syarikat. Dah terlalu lama di syarikat hinggakan rasa tak mampu nak kerja di tempat lain. Masih sayang nak tinggalkan kawan-kawan pejabat. Nanti kalau dah pindah kerja di tempat lain tak pandai nak mula berkenalan dengan kawan-kawan baru 😛 Masih rasa terhutang budi dengan segala tunjuk ajar serta kepercayaan yang diberikan oleh boss. Rasa kasihan pada boss yang kekurangan pekerja. Berbaloikah kita bertahan dengan apa yang kita dah tak minat semata-mata kerana rasa 'sayang' pada syarikat, boss dan kawan-kawan itu?


8. Tanda yang kelapan ini ialah tanda yang sangat penting. Jika anda dah mula rasa tugas anda sangat membebankan hingga menjejaskan kesihatan, selalu migrain dan sakit-sakit badan, mudah demam dan jatuh sakit, maka tak perlu fikir seratus kali hanya untuk pilih yang mana lebih penting antara kerja di syarikat dengan kesihatan anda. Seorang kawan sepejabat saya diserang penyakit gatal-gatal dan bengkak teruk di muka dan badannya secara tiba-tiba. Bila kawan saya ini beritahu kepada doktor yang beliau bekerja di bank, terus saja doktor yang merawat itu meneka yang kawan saya ini bekerja dalam bidang IT! Memang tak sukar nak percaya bila doktor yang merawat itu kata penyakitnya itu disebabkan stress kerja di pejabat dan dah banyak kes yang sama dirawat oleh doktor pakar tersebut. Lama juga kawan saya ambil masa untuk pulih daripada penyakit itu.


9. Balik rumah marah-marah pada anak sebab masih stress tak dapat lupa ditengking bos depan kawan-kawan sepejabat petang tadi? Tak sempat nak balik kampung jenguk ibu bapa sebab kerja pejabat yang macam tak akan pernah habis? Selalu ditinggalkan kawan-kawan satu geng di pejabat ketika waktu makan sebab bosan tunggu kita yang susah nak tinggalkan komputer dan tugas walaupun seketika? Yang ini saya selalu alami ketika bekerja dulu. Setiap kali waktu makan, alasan 'Lagi 5 minit, lagi 5 minit, tinggal sikit je lagi nak buat kerja ni!" yang saya berikan pada kawan-kawan akhirnya memakan diri. Daripada 5 minit sebenarnya jadi setengah jam. Dan bila selalu begitu akhirnya kwan-kawan pun bosan menunggu dan selalu saja saya ditinggalkan ketika waktu makan. 'Hasilnya', 3 atau 4  tahun sebelum saya berhenti kerja, saya memang tak keluar langsung pada waktu makan, hanya duduk makan di meja sambil mata mengadap tugas di skrin komputer. Satu pejabat tahu yang saya tak keluar ketika waktu makan hinggakan bila ada penghantar barang atau vendor yang datang pada waktu makan, saya lah orangnya yang akan kawan-kawan akan call (dengan yakinnya yang saya ada di pejabat!) untuk minta tolong bukakan pintu pejabat!

Tanda-tanda anda perlu cari kerja lain

Jadi, macam mana dengan anda? Dah ada salah satu (atau kesemua!) tanda-tanda di atas? Masih mampu bertahan atau dah bersedia nak angkat kaki?

Sudah tiba kah masanya untuk cari kerja lain? Pilihan semuanya di tangan anda!


0 comments: