Sebelum terlewat....

Sunday, February 19, 2017 Ana 0 Comments



Sebelum terlewat....


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Seperti baru saja terngiang-ngiang di telinga saya, dengar cerita beliau baru pulang ke rumah setelah selesai buat rawatan dialisis buah pinggang.

Pagi Jumaat yang lalu, beliau telah tiada di muka bumi ini.

Pagi Jumaat yang lalu, anak lelaki jiran saya meninggal dunia. Allahyarham yang mempunyai masalah buah pinggang turut menghidap penyakit jantung dan paru-paru. Menurut ahli keluarganya, bahagian leher Allahyarham yang pernah ditebuk untuk membuat rawatan dialisis telah mengalami jangkitan kuman. Pembedahan yang dijalankan untuk mengatasi masalah jangkitan itu tidak berjaya menyelamatkan Allahyarham yang telah pergi dengan tenang pada pagi Jumaat selepas azan Subuh,,,

Teringat pula saya pada pertemuan dengan seorang wanita muda ketika saya ke Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak beberapa bulan yang lalu, Beliau yang baru saja selesai mendaftar di kaunter duduk di sebelah saya dan terus menghulurkan salam. Walaupun nada suara nya ceria, riak wajah beliau tidak menggambarkan rasa yang sama dengan salam yang dilontarkannya itu. Nampak wajahnya penuh dengan kerisauan, Nak bertanya, takut pula saya kalau pertanyaan saya akan buatkan beliau bertambah risau. Tapi akhirnya beliau sendiri yang bersuara, menjawab segala persoalan yang bermain dalam kepala saya.

"Saya ni datang nak follow up  laporan checkup saya bulan lepas. Saya check buah pinggang"

"Oh. Kenapa check buah pinggang, ada masalah ke?" (terkeluar lah soalan agak kurang bijak daripada saya)

"Sebenarnya ayah saya baru je meninggal bulan lepas, punca dari sakit buah pinggang. Lepas ayah meninggal,  doktor nasihatkan saya dan adik beradik buat pemeriksaan takut-takut ada masalah yang sama"

"Eh, sakit buah pinggang tu sakit keturunan ke?"

Tak tahu lah nak kata ini soalan kurang bijak tetapi setahu saya dan yang saya percaya selama ini ialah sakit buah pinggang berpunca daripada kurang minum air. Bila kurang minum air, buah pinggang yang tugasnya untuk menapis darah, buang bahan toksik dan air berlebihan dari badan tak dapat air yang secukupnya untuk berfungsi. Bila tak cukup air, buah pinggang terpaksa bekerja lebih keras daripada biasa. Lama kelamaan, buah pinggang pun rosak. Lebih kurang macam itu lah pemahaman saya pasal sakit buah pinggang ini.

sayangi buah pinggang anda


Secara khususnya, mereka yang mengalami diabetes, tekanan darah tinggi, warga tua dan golongan yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang dalam keluarga perlu mengambil langkah berjaga-jaga tambahan kerana kebarangkalian mereka juga mengalami penyakit buah pinggang jauh lebih tinggi. Sesetengah orang menghidap penyakit buah pinggang akibat faktor yang diwarisi, seperti dalam kes sakit buah pinggang polisistik (PKD). - Sumber : Utusan Malaysia

Ya, saya baru tahu.

Sama seperti penyakit kencing manis, penyakit buah pinggang juga boleh disebabkan oleh keturunan, genetik yang diwarisi. Penyakit kencing manis dan darah tinggi juga boleh menyumbang kepada kegagalan buah pinggang. Penyakit kencing manis dengan kadar gula yang tinggi dalam darah boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang (diabetes nefropati) manakala tekanan darah yang tinggi akan menolak dinding arteri dan turut mengganggu fungsi penapisan darah. Selain itu perkara lain yang turut menjadi faktor sakit buah pinggang ialah salur kencing yang tersumbat kerana batu karang atau ketumbuhan, jangkitan buah pinggang, arteri renal yang membekalkan darah kepada buah pinggang tersumbat,

Jadi semuanya berkait. Bila ada penyakit kencing manis mahupun darah tinggi, perlu juga waspada dengan tanda-tanda penyakit buah pinggang. Banyak juga info mengenai tanda-tanda awal penyakit buah pinggang dan cara-cara mencegah penyakit buah pinggang yang saya dapat daripada blog ini (klik di sini)

Buah pinggang adalah antara organ yang sukar dicari ganti.

Sayangi buah pinggang anda sebelum terlewat...



0 comments: