Kejamnya, sampai hati kelar anak sendiri!

Monday, February 06, 2017 Ana 0 Comments


Kejamnya, sampai hati kelar anak sendiri!



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Itu adalah reaksi spontan bila baca berita mengenai seorang ibu yang sanggup mengelar mati bayinya yang baru berusia 2 bulan dengan menggunakan pisau pemotong sayur. Dalam hati tertanya-tanya ibu jenis apa kah itu? Apa agaknya perasaan si ibu masa meletakkan pisau di leher bayinya dan mula mengelar? Sanggup kah si ibu memandang tepat ke wajah si anak yang tidak berdosa yang menatap wajah ibunya dengan rasa gembira? Yang mengagah-agah tangan mungilnya mengharap si ibu mendodoikan atau memeluknya?

😢😢😢

meroyan dan puncanya

Memang mudah nak mengeji, menghina dan mengutuk perilaku si ibu tanpa ketahui perkara sebenar. Ada berita yang melaporkan si ibu mendengar bisikan suara ghaib yang menyuruhnya mengelar leher bayinya itu. Ada yang melaporkan si ibu mengalami gangguan mental dan ada juga laporan yang mengaitkan perbuatan itu dengan meroyan.

Apa itu meroyan?

Meroyan atau dikenali sebagai Postpartum Depression (PPD) dalam istilah dunia perubatan ialah sejenis kemurungan yang dialami oleh wanita selepas melahirkan anak. Walaupun punca meroyan itu tidak dapat dikenalpasti dengan tepat tetapi antara faktor yang dikaitkan dengan meroyan ialah seperti tekanan hidup, tiada sokongan keluarga atau masyarakat, kehamilan tidak dijangka, masalah rumahtangga yang kritikal, merokok, masalah bayi meragam, faktor ibu tunggal dan banyak lagi.

Si ibu yang berkecenderungan untuk mengalami PPD  biasanya menunjukkan tindak balas yang sedikit terhadap bayi mereka seperti tidak memberi reaksi terhadap tangisan bayi. Dan dalam kes yang lebih serius menjadikan si ibu seakan-akan terdorong untuk mencederakan bayi mereka. Berbanding Postpartum Depression, yang lebih berbahaya ialah Postpartum Psychosis yang mana pesakit merasakan terasing daripada dunia nyata dan menunjukkan tanda gangguan fikiran, delusi, khayal serta perbuatan dan pertuturan yang tidak teratur.

Ikuti perkongsian seorang ibu yang berkongsikan kisahnya mengenai pengalaman menghadapi Postpartum Psychosis di sini.

Seorang kawan lelaki pernah menceritakan pengalaman isterinya yang menunjukkan tanda-tanda meroyan selepas bersalin anak pertama. Isterinya menjadi seorang pemarah, cemburu tak bertempat dan bersikap kasar malah sehingga tahap tidak mempedulikan bayi yang merengek minta disusukan (ada lagi sikap si isteri yang lebih serius tapi tidak sanggup diceritakan oleh kawan saya itu). Pada mulanya kawan saya itu tidak sedar akan tanda-tanda tersebut dan hanya menganggap perkara tersebut adalah normal bagi wanita selepas bersalin dan akan hilang begitu sahaja. Sehinggalah apabila sikap si isteri bertambah serius barulah kawan saya itu berusaha untuk menbawa isterinya pulang ke kampung dan berubat dengan cara tradisional. Alhamdulillah akhirnya si isteri kembali pulih. Tapi kesan dan pengajaran daripada peristiwa meroyan pada kawan lelaki saya itu kekal hingga sekarang. Kawan lelaki saya itu sangat-sangat menjaga hati isterinya dan menjadi seorang suami yang sangat-sangat penyayang dengan isterinya. Sehinggakan jika ada beberapa kawan perempuan yang sepejabat ingin menumpang naik kereta kawan lelaki saya itu, tidak seorang pun dibenarkan untuk duduk di tempat duduk penumpang di hadapan. Biarlah tempat itu kosong dan dia menjadi seperti 'driver'. Dek kerana bimbang isterinya cemburu, sehingga kini kawan lelaki saya itu hanya membenarkan penumpang lelaki sahaja duduk di tempat duduk hadapan. Hanya seorang sahaja perempuan yang dibenarkan untuk duduk di tempat duduk hadapan iaitu isterinya 😊

Saya sebenarnya terfikir juga mengenai meroyan apabila adik ipar saya selamat melahirkan anak pertamanya 7 tahun yang lalu. Kebetulan anaknya dilahirkan hanya 2 hari sebelum menyambut hari raya Aidilfitri. Pada malam raya, saya dan emak sibuk di dapur sementara adik ipar duduk bersama bayinya menonton tv di ruang tamu. Dari dapur hanya sayup-sayup terdengar suara takbir yang disiarkan di tv maka emak meminta saya menguatkan sedikit volume untuk lebih jelas dengar takbir dari dapur. Selang beberapa saat saya menguatkan volume dan baru saja sampai melangkah ke dapur, terdengar suara orang menangis. Saya dan emak berpandangan antara satu sama lain. Siapa pula yang menangis di malam raya ini?

Bila diintai di ruang tamu rupa-rupanya adik ipar saya yang sedang menangis sambil ditenangkan oleh suaminya. Tahu apa perkara pertama yang terlintas di kepala saya ketika itu?

Meroyan!

Lega bila tahu yang adik ipar saya itu cuma syahdu mendengar suara takbir dan teringatkan kedua orang tuanya yang telah tiada. Maka malam raya itu sesi syahdu adik ipar saya itu turut disertai oleh emak saya juga....😄

Kelar anak sendiri sampai mati, memang perbuatan yang kejam.

Tapi adalah lebih 'kejam' jika masyarakat terus 'kejam' menghina dan mengutuk perbuatan si ibu tanpa mahu tahu apa perkara 'kejam' yang terpaksa dihadapi dan ditelan sendiri oleh si ibu.....


0 comments: