Apa yang membuatkan seorang yang setia berubah hati?

Tuesday, April 05, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Apa yang membuatkan seorang yang setia berubah hati?

Carian saya dalam rujukan Dewan Bahasa dan Pustaka menerangkan setia bermaksud amanah dan teguh hati dalam hubungan serta berpegang pada janji, Setia juga mempunyai maksud yang sama dengan tetap hati, cekal, tabah, bulat hati, bulat tekad, tawaduk dan taat.

Setia bukan hanya terhad kepada hubungan sesama suami isteri atau pasangan tetapi boleh juga digambarkan bagi hubungan kesetiaan antara pekerja dengan tempat kerjanya, kesetiaan seseorang dengan sesuatu perkara yang digemarinya dan juga hubungan kesetiaan antara sahabat.

Contohnya:
a. Kesetiaan antara pekerja dengan tempat kerjanya
--Pekerja yang tetap setia bekerja selama berpuluh-puluh tahun di satu-satu tempat walaupun dia berpeluang mendapat ganjaran yang lebih baik di tempat lain.

b. Kesetiaan seseorang dengan sesuatu perkara yang digemari
-- Peminat telefon pintar Iphone yang setia dengan Iphone untuk sekian lama walaupun Samsung menawarkan kemudahan yang lebih baik dengan harga yang lebih murah.
-- Contoh yang lebih mudah ialah peminat tudung Fareeda yang setia dengan jenama tudung tersebut dan sanggup merempuh menempuh apa jua halangan untuk dapatkan tudung rekaan terbaru!

c. Kesetiaan antara sahabat
-- Bukan mudah untuk mencari sahabat yang setia bersama dalam susah dan senang. Yang sanggup terima baik dan buruk yang ada pada diri kita.


Jadi apa yang membuatkan seorang yang setia berubah hati?

Pekerja yang setia akan berubah hati bila merasakan diri tidak dihargai oleh majikan. Bila merasakan persaingan di tempat kerja sangat mencabar sehingga tiada lagi semangat kerjasama di kalangan sesama pekerja. Bila merasakan diri mereka diambil kesempatan dan ditindas dengan beban kerja yang berlebihan sehingga memberi kesan dalam kehidupan harian.

Seseorang yang setia dengan sesuatu perkara yang digemarinya akan berubah hati bila tiba pada satu peringkat merasakan perkara tersebut tidak lagi memberi keseronokan pada dirinya. Atau bila mereka merasakan perkara tersebut tidak lagi berbaloi dengan kesetiaan mereka selama ini.

Seorang sahabat yang setia akan berubah hati bila terasa dirinya tidak lagi dihargai. Bila terasa kesetiaannya dipergunakan dan hanya diperlukan bila pihak yang satu lagi memerlukan pertolongan.

Antara punca lain yang akibatkan orang tidak setia boleh juga dikaitkan dengan hidup di zaman moden ini yang lebih kepada persaingan. Dunia semakin cepat berubah, manusia semakin mengejar kebendaan. Dalam konteks kebendaan (bukan pasangan) seperti setia kepada suatu jenama mahupun setia kepada majikan misalnya, tiada makna lagi untuk setia pada yang satu, semua orang (ok, bukan semua) mahu kan yang terbaik, yang terkini yang terhebat untuk dijadikan suatu kebanggaan.

Tapi ada juga kisah-kisah kesetiaan (yang berkaitan dengan manusia) yang tidak berbelah bagi hingga ke mati. Setia hingga ke hujung nyawa.

hargailah orang yang setia


Jika anda ada seseorang yang setia di sisi anda, yang sanggup bersama dalam suka dan duka, ketika susah dan senang, dalam tangis dan gembira, ketika jatuh dan bangun, maka belajarlah untuk menghargai orang tersebut.

Jangan diuji kesetiaan seseorang melebihi hadnya jika tidak mahu menyesal di kemudian hari!



0 comments: