Tidak pernah tulis cerpen tapi ada hati hendak tulis novel?
Assalamualaikum & salam sejahtera...
Sejak Maghrib hingga lah sekarang, alarm kereta jiran depan rumah berbunyi tak henti-henti. Jiran tersebut tiada di rumah. Jiran telah cuba dihubungi tapi panggilan tidak dijawab. Besar kemungkinan alarm itu akan terus berbunyi hingga ke esok hari. Hendak membantu hentikan alarm itu, memang tak nungkin lah sebab tiada kepakaran dan pengalaman pula dalam hal-hal macam ni. Kereta saya sendiri pun tak guna alarm hehehe...
'Berbekalkan' bunyi alarm itu, saya masih lagi buntu hendak mencari idea menulis novel yang masih berbaki lagi lebih kurang 20,000 patah perkataan untuk disiapkan, Hajat di hati hendak menulis novel hingga 100,000 patah perkataan, tapi sejak 2,3 hari ini idea seakan-akan merajuk dan tak nampak bayangnya. Mungkin sebab terlalu fokus dengan idea menulis yang melimpah ruah pada minggu lalu? Mungkin watak dan plot dalam novel tak dikembangkan dengan sebaiknya dan akhirnya hanya berlegar-legar dalam satu situasi saja? Mungkin sebab dah lama tak bercuti jauh dari kesibukan kota? Ah, alasan je tu!
Saya memang bukan seorang penulis novel. Tulis cerpen dan hantar ke suratkhabar pun tak pernah. Kalau tulis dan hantar ke suratkhabar pun belum tentu akan disiarkan sebab tak yakin cerpen cukup bagus untuk disiarkan. Takut cerpen hanya syok sendiri, perasan bagus tapi sebenarnya macam karangan budak sekolah menengah saja. Ok, memang tak bagus sebenarnya ada perasaan macam itu. Bak kata Dr Azizan Osman, "If u want to achieve success then don't doubt your dreams"
Tapi rasanya normal kot ada perasaan macam itu sebab tak pernah ada pengalaman hantar cerpen untuk disiarkan. Cerpen tak pernah disiarkan di suratkhabar, ada hati pula nak tulis novel beratus ribu perkataan dan harap akan diterbitkan? Ok, kena ulang ayat Dr Azizan yang di atas itu sekali lagi (berkali-kali lagi)!
Macam mana saya tiba-tiba boleh berminat nak tulis novel? Sebenarnya semasa saya berkemas-kemas barang-barang atau 'harta karun' yang saya simpan di pejabat selama 13 tahun saya bekerja dulu, saya terjumpa banyaaaak emel-emel lama, 'surat-surat lama', hadiah-hadiah lama dan lain-lain lagi yang lama. Dan yang paling mahal ialah kenangan-kenangan lama yang secara automatiknya teringat kembali selepas 'penemuan' barang-barang tersebut. Sangat banyak 'penemuan' yang telah dijumpai sampai tiba-tiba muncul pula idea nak tulis novel!
Masa mula-mula menulis memang excited, mencurah-curah ideanya. Semua hendak diceritakan, semua hendak sumbat dalam draf tersebut. Sehingga mencapai 70,000 patah perkataan, timbul pula rasa risau, bimbang dan yang sewaktu dengannya. Orang boleh terima ke cerita dalam novel saya ni? Ada ke orang nak baca nanti? Apa yang saya rasa akan buat orang baca cerita saya ni? Best sangat ke untuk dibaca? Sampai Bab Satu pun telah berkali-kali saya ubah sehingga sekarang masih belum puas hati lagi.
Dan malam ini, setelah capai 81,000 patah perkataan, idea pun berhenti bertandang.
Di saat ini, alarm kereta jiran tu masih tak berhenti 'berdendang'.
Eh, apa kata saya jadikan 'kenapa alarm berbunyi sejak Maghrib' sebagai plot baru dalam novel saya?
Bagus juga alarm itu berbunyi, bagi idea kepada saya untuk buka mata dan telinga dengan lebih luas lagi dan lihat apa yang berlaku di sekeliling saya. Setiap sesuatu yang ada di sekeliling kita pasti ada cerita di sebaliknya!
:)
Sekali lagi memetik kata-kata Dr Azizan, "Orang yang berjaya akan melakukan sesuatu perkara hingga ia selesai. Orang yang gagal sahaja yang akan lakukan kerja sekerat jalan!"
0 comments: