Seronoknya bersedekah!

Friday, May 06, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Salam hari Jumaat,, salam sayyidul ayyam....

Di hari yang penuh keberkatan ini, jom kita sama-sama banyakkan bersedekah membantu mereka yang memerlukan dan berinfaq untuk pahala yang berterusan...InsyaAllah....

1. Infaq Penapis Air

Sumber : FB Ustaz Roslan Mohamed


Usaha ini sangat menarik. Bila membaca poster di atas di FB Ustaz Roslan, teringat pula saya pada masjid yang selalu saya singgah jika pergi ke Bangi. Saya pernah beberapa kali singgah di Masjid Hasanah Seksyen 9 Bandar Baru Bangi. Masjid ini pada pandangan saya ialah masjid yang sangat dimakmurkan oleh jemaah yang tidak putus-putus datang tidak kira waktu. Selalunya saya singgah solat di masjid ini pada hujung minggu untuk solat Zohor, jadi saya rasa mungkin disebabkan hujung minggu, maka ramai lah yang berkesempatan berjemaah di masjid ini, Tapi saya silap. Ketika singgah solat Asar dan Maghrib di masjid ini pada hari Rabu (iaitu hari bekerja) yang lepas, masjid ini tetap menerima kunjungan orang ramai yang tidak putus-putus.

Di masjid ini ada disediakan penapis air yang menyediakan air sejuk dan panas untuk para jemaah melepaskan dahaga. Memang terasa sungguh nikmatnya bila dapat minum air sejuk ketika waktu Zohor yang panas terik. Pada masa itu, memang secara automatik kita akan berterima kasih kepada pihak yang menyediakan penapis air ini dan mendoakan kebaikan untuk mereka kan. Jadi memang untnng yang berlipat kali ganda jika kita turut sertai peluang infaq penapis air seperti di poster di atas. Untuk maklumat lanjut cara-cara untuk berinfaq, boleh lah intai info di FB Ustaz Roslan Mohamed.



2. Ukhwah Road To Ramadan

Sumber : FB Telekung Project


Road To Ramadan ialah program Pra Ramadhan yang dianjurkan oleh The Telekung Project. The Telekung Project ialah sebuah NGO yang bermula dengan aktiviti mencuci telekung di surau-surau, kini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana aktif terlibat dengan pelbagai kerja-kerja amal.

Untuk program yang telah masuk tahun ke-4 ini, sebanyak 600 Ramadhan Kit bernilai RM150 terdiri daripada bekalan barangan dapur untuk bulan Ramadhan dan 600 Solat Kit terdiri daripada naskhah Al-Quran dan keperluan solat akan diagihkan kepada asnaf dan fakir miskin. Pengumpulan dana untuk program ini bermula daripada 4 Mei 2016 sehingga 18 Mei 2016, namun akan ditutup lebih awal sekiranya dana yang diperlukan telah mencukupi. Bagi yang ada kelapangan rezeki dan ingin membantu, boleh dapatkan maklumat lanjut di FB Telekung Project


3. Adopt A Hafiz

Sumber : FB Aqsa Syarif


Apa yang anda akan buat jika ada lebihan wang RM700 dalam tangan? Bayar hutang kawan-kawan? Shopping beg tangan atau kasut? Simpan dalam tabung untuk melancong?

Ada satu lagi jalan atau cara untuk membelanjakan RM700 itu. Cara yang paling best dan bermanfaat, untuk dunia dan akhirat.

Seramai 900 bakal Hafiz dari Darul Quranul Karim wa Sunnah (DQWS) sedang menantikan penajaan anda. Dengan RM700.00, anda akan dapat menaja seorang Hafiz al-Quran di Gaza dan memastikan perjuangan membebaskan Palestin terus kuat dan teguh berkat didikan al-Quran kepada generasi muda pewaris pejuangan. - sumber FB Aqsa Syarif -

Jom adopt a hafiz!


Banyak lagi jalan-jalan yang terbuka luas untuk kita bersedekah. Mungkin kita tak mampu hendak bersedekah dalam jumlah yang besar, jumlah yang sedikit pun masih dikira sedekah dan lebih baik jika dijadikan amalan yang berterusan. Agak kurang menarik jika kita bersedekah dalam jumlah yang beribu-ribu tapi itu saja lah sekali sedekah kita dalam masa 2 @ 3 tahun.

Amalan yang sedikit tapi berterusan itu lebih disukai. Jika tak mampu buat semua, pastikan kita tak tinggalkan semua. Jika kita tak mampu sedekah dalam jumlah yang besar, janganlah sampai dijadikan alasan pula untuk kita terus tidak bersedekah!

Sedekah pisang di masjid atau kedai makan juga satu amalan yang baik. Mungkin boleh di upgrade kepada sedekah anggur pula selepas ini?



0 comments: