Aplikasi tapis panggilan misteri

Saturday, May 14, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Anda pernah tak mendapat panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali? Itu perkara biasa kan. Kalau yang menelefon itu tersalah dail boleh dimaafkan lagi. Tapi jika panggilan yang diterima itu adalah panggilan yang menawarkan untuk beli insurans, beli pakej saluran tv, tawaran untuk beralih ke pakej pasca bayar yang lebih 'menarik' , pastinya kita malas hendak melayan jika tidak berminat. Tambah-tambah lagi jika panggilan tersebut adalah panggilan untuk membuat survey @ tinjauan pendapat yang mana kita perlu menjawab beberapa soalan daripada pemanggil, lagi lah bertambah malas hendak melayan! Dari mana agaknya pihak-pihak ini mendapat nombor telefon kita?

Saya terbaca info yang menarik mengenai aplikasi tapis panggilan misteri di dalam akhbar pagi ini. Aplikasi tersebut boleh mengenalpasti nombor yang kita tidak kenali itu dan yang lebih menarik aplikasi tersebut akan memaparkan info mengenai lokasi panggilan itu dibuat. Selain itu, jika nombor yang tidak dikenali itu adalah nombor yang memang telah dikenalpasti sebagai nombor yang terlibat dengan sindiket penipuan, aplikasi ini akan memaparkan perkataan scam dan tanda merah! Anda boleh klik gambar di bawah untuk baca lebih lanjut info dari Utusan Malaysia ini.



Aplikasi ini sangat bermanfaat untuk mengelak daripada kita sebagai pengguna menjadi mangsa sindiket yang giat melakukan penipuan melalui panggilan telefon. Saya tak pasti jika apa yang saya alami minggu lepas adalah satu bentuk penipuan. Pada minggu lalu, saya telah mendapat panggilan daripada seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai staf sebuah syarikat insurans. Panggilan yang dibuatnya kepada saya itu adalah daripada telefon bimbit dan bukan talian tetap.

Menurut si pemanggil, insurans saya telah tamat sebagaimana dalam perjanjian untuk tempoh 3 tahun. Jadi beliau memerlukan saya untuk mengesahkan beberapa maklumat seperti nama, nombor telefon dan lain-lain maklumat peribadi sebelum 'membuat pembayaran balik'.Katanya lagi saya telah membuat pembayaran melalui kad kredit setiap tahun untuk insurans tersebut. Pada masa itu saya agak blur sedikit kerana seingat saya tidak pernah pula saya ada mengambil insurans yang disebutkan oleh pemanggil itu tadi dan seingat saya memang saya tidak pernah membuat sebarang pembayaran insurans melalui kad kredit. Sebelum hendak membuat apa-apa pengesahan, saya telah meminta beberapa maklumat seperti nombor polisi insurans yang saya ambil itu dan jika boleh emelkan juga kepada saya salinan polisi insurans saya itu sebab saya memang betul-betul tak pasti mengenai insurans tersebut dan 'pembayaran balik' yang dinyatakan itu.

Saya juga telah memeriksa segala fail yang ada di rumah dan tiada satu pun insurans yang berkaitan dengan nombor polisi yang diberikan oleh si pemanggil itu tadi. Selang beberapa minit saya mendapat sms mengatakan beliau telah pun menghantar emel dengan info yang saya minta. Apabila saya periksa emel, saya dapati hanya terdapat borang yang di attached kan di dalam emel tersebut. Borang tersebut adalah borang kosong yang memerlukan saya untuk mengisi maklumat peribadi termasuk maklumat kad kredit. Pelik dengan borang yang diterima, saya meminta si pemanggil itu tadi untuk menghantar maklumat seperti yang saya minta, dan bukannya borang kosong tersebut. Itu lah komunikasi terakhir dan selepas itu tiada lagi sebarang sms atau panggilan daripada pemanggil berkenaan.

Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya juga apakah pembayaran balik yang dimaksudkan dan mengapa tiada lagi sebarang berita daripada pemanggil itu. Mungkin kalau saya ada aplikasi ini di telefon bimbit saya, saya boleh mengenalpasti identiti dan lokasi si pemanggil itu tadi! Selain lokasi, aplikasi ini juga boleh memaparkan nama yang digunakan oleh si pemanggil di laman sosial atau WhatsApp, jadi mungkin dari situ boleh dapat serba sedikit gambaran mengenai pemanggil itu tadi.

Selain elak daripada jadi mangsa penipuan, menurut info itu tadi lagi, aplikasi ini juga berguna bagi anda yang ada peminat misteri, jenis yang call tapi lepas tu senyap tak nak cakap!

Di zaman yang serba moden dan canggih ini, berhati-hatilah dengan pelbagai taktik licik supaya kita tidak menjadi mangsa penipuan yang seterusnya!



0 comments: