Baru nak mulakan bisnes biskut raya?

Tuesday, May 31, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Kalau di pejabat selalunya waktu-waktu dekat nak puasa ini adalah 'saat-saat akhir' untuk rasa sample atau contoh biskut raya dan buat tempahan. Maklumlah di bulan puasa nanti dah tak boleh nak rasa biskut contoh lagi. Waktu merasa biskut contoh kadang-kadang itu rambang mata, rasa ini nak beli, rasa yang itu nak beli. Lama-lama panjang lah senarai tempahan biskut nya!

Bagi saya,antara biskut raya yang wajib ada masa raya ialah jem tart @ tart nenas. Memang favourite saya. Tart nenas pun ada macam-macam jenis. Ada yang jenis gulung, ada jenis bentuk bunga dengan jem tart di tengah, ada jenis yang bungkus jem tart di dalam dan tutup habis tak nampak tart nya, ada juga yang bentuk nanas dan bentuk landak! Selain tart nenas, satu lagi biskut raya yang jadi favourite ialah biskut chip coklat. Yang ini saya buat sendiri, ikut resepi Biskut Chocolate Chip Famous Amos dari blog sitidelima.com (klik sini untuk resepi lengkap). Resepi nya mudah dan hasilnya memang tak tahan lama. Maksud saya tak tahan lama dalam balang kuih (kadang kala tak sempat masuk balang pun!), keluar saja dari ketuhar terus habis dimakan!

Biskut tat nenas yang sedap
Tat nenas Mat Gebu yang sedap!
Sumber : tiffinbiru.com

Lain-lain biskut @ kuih raya yang memenuhkan meja ialah seperti almond london, rempeyek, popia mini, kerepek ubi, kuih makmur, maruku, samperit dan biskut nestum. Tak lupa juga kuih bahulu dan dodol. Semuanya biskut-biskut @ kuih 'lama' kan? Memang saya kurang gemar biskut-biskut moden yang berwarna warni dan bentuk yang canggih tapi sebenarnya rasa lebih kurang saja.

Bagi yang menerima tempahan biskut raya, pastinya sudah mula sibuk dengan persediaan untuk menyiapkan tempahan. Bahan-bahan untuk buat biskut semestinya sudah ada dalam stok, bukan macam saya yang 'terhegeh-hegeh' cari bahan untuk buat biskut di pasaraya bila puasa tinggal baki lagi seminggu saja. Memang banyaklah bahan yang tak ada. Selain pasaraya, antara tempat yang saya suka cari bahan untuk buat biskut atau kek ialah di pusat bakeri Bagus di Taman Melawati. Kalau masuk saja kedai Bagus ini, memang rasa semua nak beli. Asalnya nak beli bahan untuk coklat chip saja, akhirnya keluar dari kedai dengan bahan-bahan untuk buat kek dan muffin bagai!

Bagi yang baru nak mulakan bisnes biskut raya, ada beberapa perkara yang mungkin perlu diambil kira, selain mengejar matlamat untuk cari duit lebih pada hari raya ini:

1. Tidak menerima tempahan secara berlebihan.
- Berpada-pada menerima tempahan biskut raya supaya tidak menghadapi masalah untuk menyiapkan tempahan. Yang paling penting, tempahan biskut raya yang terlalu banyak tidak menyebabkan kita mengabaikan fokus utama kita di bulan Ramadhan iaitu untuk berlumba-lumba menggandakan amal ibadat.

2. Membuat satu jenis biskut raya sahaja.
- Selain memudahkan penyediaan bahan-bahan kerana hanya perlu fokus pada satu jenis biskut saja, ini juga akan memudahkan kita yang baru memulakan bisnes biskut raya ini untuk menguruskan tempahan yang banyak.

3. Buat biskut yang tak bermusim
- Mungkin ada orang hanya makan jem tart ketika hari raya saja. Tapi tak hairan kalau jem tart jadi bahan kudapan ketika minum petang atau di pejabat. Di pejabat dulu, ada seorang kakak yang memang jadi tempat kami order biskut raya. Kakak ini tak buat biskut-biskut raya tersebut, cuma tolong ambil tempahan untuk kawan-kawan nya yang buat bisnes biskut raya. Biskut-biskut nya memang sedap dan mendapat permintaan walaupun di luar musim raya. Antaranya ialah biskut makmur, jem tart dan cheese tart.

4. Buat biskut yang kita sendiri rasa nak makan
- Maksudnya saya, hasilkan biskut dengan penuh keikhlasan. Buat biskut sebaik mungkin seperti kita hendak sediakan untuk dihidangkan kepada ahli keluarga kita sendiri. Pembeli yang berpuas hati pasti akan repeat orders dan akan menyebarkan promosi percuma dari mulut ke mulut mengenai biskut raya anda!

5. Kekalkan rasa biskut anda (sedap sepanjang hayat masa)
- Pastikan adunan biskut adalah sama setiap kali dihasilkan. Secara tak langsung anda menghargai pembeli tetap @ regular customer anda yang setia membeli biskut-biskut anda. Dan dah tak perlu lah hendak sediakan sample biskut (kecuali untuk tarik pelanggan baru) sebab pembeli dah biasa dan percaya dengan hasil biskut anda yang maintain sedap!

Raya setahun sekali dan bisnes biskut raya memang tak dinafikan antara bisnes yang mampu meraih pendapatan yang tinggi. Apa-apa pun, akhir sekali dan yang paling penting, dalam keghairahan dan kerancakan buat bisnes biskut raya jangan dilupakan Ramadhan juga hanya setahun sekali maka bertindak bijaklah dalam membahagikan masa untuk mengejar perkara akhirat dan duniawi...
 

0 comments: