Basikal dan saya....

Wednesday, May 25, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Anda minat berbasikal? Peserta tegar acara berbasikal di dalam dan mungkin juga di luar negara?

Sebut pasal berbasikal, saya ada satu 'kenangan pahit' untuk dikenang. Saya dulu pandai kayuh basikal tapi kini tidak lagi. Eh, macam mana pula tu?

aktiviti berbasikal banyak faedah


Masa kecil dulu, saya sama macam kanak-kanak lain akan belajar naik basikal yang beroda tiga masa mula-mula belajar naik basikal. Lepas pandai kayuh basikal roda tiga, saya pun cuba lah untuk 'naik pangkat' kepada basikal roda dua. Dan hasil usaha tak kenal penat lelah, saya pun berjaya pandai kayuh basikal roda dua. Tapi, harapkan panas hingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengahari. Saya hanya sempat 'menikmati keriangan' berbasikal untuk sementara. Puncanya? Puncanya mudah saja. Saya terjatuh ketika kayuh basikal roda dua di laman rumah.

Bukannya jatuh ketika tunggang basikal di jalan raya. Bukannya kemalangan dilanggar kereta. Bukannya cedera parah pun bila jatuh dari basikal itu. Ada lah calar sikit pada siku dan lutut. Itu saja. Saya pun ingatkan itu saja kesannya. Tapi rupa-rupanya kesannya lebih daripada itu.

Saya dah tak pandai nak tunggang basikal roda dua lagi.

Selepas peristiwa jatuh basikal itu, saya pernah cuba naik basikal roda dua lagi tapi tak tahu kenapa saya dah tak pandai nak kayuh dan imbangkan basikal dan badan lagi. Senang cakap, macam dah 'hilang ingatan', macam dah tak ada memori naik basikal roda dua atau ingatan jangka pendek saya masa naik basikal roda dua macam dah 'dihapuskan'. Boleh ke anggap macam tu? Macam saya tak pernah langsung naik basikal roda dua sebelum ini!

Terasa hendak menulis mengenai berbasikal bila melihatkan seorang rakan lama (yang dah lama saya tak hubungi, cuma saya follow (atau stalk?) saja aktivitinya) yang aktif sertai acara berbasikal sejak kebelakangan ini. Hobi baru katanya. Siap beli basikal baru dan segala aksesori dan kelengkapan berbasikal seperti topi keselamatan, pelindung siku dan lutut, kasut dan jersi baru. Aktiviti berbasikal terbaru beliau ialah di IKBN Dusun Tua Hulu Langat pada hari Ahad yang lepas. Untunglah kalau anda pandai berbasikal. Sekarang ini dah banyak aktiviti berbasikal yang diadakan antaranya seperti Putrajaya Bridge Night Ride pada April yang lalu, Konvoi Berbasikal sempena Hari Wilayah yang lepas dan aktiviti bebas berbasikal ketika KL Car Free Morning yang diadakan pada hari Ahad pertama dan ketiga setiap bulan.

Seperti aktiviti fizikal yang lain, banyak faedah sebenarnya daripada aktiviti berbasikal ini. Yang paling utama ialah berbasikal memerlukan seseorang mempunyai tumpuan dan keseimbangan yang tinggi untuk menyeimbangkan basikal yang ditunggang. Secara tak langsung ini dapat melatih otak untuk fokus dalam sesuatu perkara atau tugasan yang dilakukan. Aktif berbasikal juga dikatakan mampu mengalihkan rasa ingin merokok pada perokok tegar. Rasa nak hisap rokok saja, capai basikal dan kayuh laju-laju! Heheh boleh ke macam tu? Tak mustahil sebab rakan lama saya ini juga melalui postingnya di FB nampak lebih sihat dan sedikit berisi selepas aktif berbasikal dan kurang merokok. Dibandingkan sebelum ini, walaupun aktif main futsal, beliau masih kurus kering dan cengkung di wajahnya. Kini nampak wajahnya lebih sihat dan berseri-seri!

Bagi penggemar aktiviti berbasikal, boleh lah ikuti aktiviti terkini di cyclingevents.my yang mana acara berbasikal terdekat ialah Sunsuria Foodiethon 2016 pada 28 Mei ini. Macam best saja bunyinya, lepas penat mengayuh, sambung mengunyah pula ya?

Selamat berbasikal!


0 comments: