Musim hujan, banjir kilat dan rasuah

Saturday, May 14, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Dalam sehari ini, hujan turun beberapa kali membasahi bumi. Awal paginya hujan. Berhenti seketika dengan matahari yang memancar sempat untuk mengeringkan kain di jemuran. Selepas itu menjelang petang hujan turun lagi dengan agak lebat dan menjadi rintik-rintik selepas lebih kurang 1 jam. Dan pada ketika ini (lebih kurang jam 9:15 malam), hujan sekali lagi turun dengan lebatnya.

Selepas banjir kilat yang berlaku di Putrajaya pada 7 Mei dan satu lagi insiden banjir kilat di jalan sekitar Universiti Malaya dan beberapa jalan utama di KL pada 12 Mei yang lalu, mungkin ramai yang mengambil langkah lebih berhati-hati untuk keluar rumah di musim hujan ini. Terperangkap dalam kesesakan lalulintas disebabkan hujan masih boleh dihadapi tetapi bagaimana pula agaknya jika kereta ditenggelami air ketika banjir kilat seperti dalam gambar yang viral baru-baru ini. Insurans kereta tidak memberi perlindungan jika kereta ditimpa bencana alam seperti banjir, kan?

banjir kilat di putrajaya
Sumber : Utusan.com.my


banjir kilat di kuala lumpur
Sumber : Astroawani.com

Masalah banjir kilat bukannya perkara baru. Malangnya masalah ini tidak pernah dapat diatasi sepenuhnya walaupun hampir setiap tahun pasti akan berlaku banjir kilat ketika musim hujan. Jika sebelum ini biasanya banjir kilat di Kuala Lumpur dilaporkan berlaku di kawasan-kawasan seperti Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman, kini banjir kilat telah 'berjangkit' pula kepada Putrajaya. Walaupun bukan perkara yang mustahil berlaku, tapi memang agak mengejutkan kerana Putrajaya digambarkan sebagai sebuah sebuah bandar yang terancang. Pastinya segala aspek termasuk kemungkinan berlaku banjir kilat telah diambil kira ketika proses pembangunan bandar Putrajaya dilaksanakan,

Setiap kali berlaku banjir kilat pasti akan kedengaran suara-suara yang menyalahkan satu sama lain dan sikap menuding jari. Pihak berwajib atau perbandaran pasti akan bertegas menyatakan pembangunan bukan punca banjir kilat berlaku, Pihak kontraktor akan membela diri mengatakan segala langkah proaktif telah diambil dan yakin projek pembinaan mereka tidak menyumbang kepada punca banjir kilat yang berlaku. Menteri yang berkenaan mengatakan antara punca banjir kilat berlaku adalah disebabkan masalah perparitan di mana sistem saliran jalan yang tidak berkesan menyebabkan aliran air tersekat. Tiada sebarang penyelenggaraan kah dilakukan untuk sistem perparitan yang sedia ada untuk menghadapi musim hujan? Adakah kita perlu menanti banjir kilat berlaku baru penyelenggaraan akan dilakukan?

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek-projek di ibu negara, khususnya yang membabitkan projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat baru-baru ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - sumber : Astroawani.com

Sangat membimbangkan sekiranya siasatan mendapati ada nya unsur rasuah sehingga menyebabkan banjir kilat berlaku. Parah sungguh nampaknya gejala rasuah sehingga mata menjadi buta dan tidak peduli lagi dengan kesan rasuah tersebut kepada alam sekitar!

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." - Surah Ar-Rum : Ayat 41 - 

Melihatkan apa yang berlaku, boleh kah disimpulkan tiada persediaan atau kurangnya persediaan untuk menghadapi banjir kilat di musim hujan ini? Jika menghadapi banjir kilat pun sudah agak kelam kabut, risau bagaimana pula dengan  persediaan kemungkinan menghadapi banjir yang lebih besar di negeri-negeri pantai Timur nanti...



0 comments: