Rasuah dan duit raya....

Saturday, July 30, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Rasuah.
Memang 'seronok' bila disogokkan depan mata dengan wang berjuta-juta.
Tapi seronokkah kalau wang berjuta itu datangnya dari sumber yang tak sah?

Serius kah gejala rasuah di Malaysia?

Entah lah.

Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)  yang dikeluarkan oleh Transparency International untuk tahun 2015, Malaysia berada di ranking ke 54 dunia, dengan skor 50 (makin tinggi skor menandakan sesebuah negara makin bebas dari rasuah) . Denmark berada di tempat pertama dengan skor sebanyak 91.

Jika diselak suratkhabar setiap hari pasti ada saja berita yang berkaitan dengan penangkapan individu yang terlibat dengan rasuah. Beri rasuah supaya tak disaman polis, terima rasuah untuk luluskan projek mega, rasuah untuk lepaskan pemeriksaan imigresen di KLIA,  malah dalam sukan juga tidak terkecuali dan kakitangan di kementerian sukan itu sendiri terpalit dengan gejala rasuah.

Sumber : sinarharian.com.my


Bila dah rasa tiada siapa yang memerhati segala tindak tanduk kita maka mudahlah seseorang itu terima rasuah. Mungkin lupa ada Maha Kuasa yang sentiasa memerhati.

Bila rasa tamak haloba dah menguasai diri maka soal soal halal haram ditolak ke tepi.

Rasuah daripada sekecil-kecilnya seperti "Kalau adik tolong ayah pergi kedai belikan rokok nanti ayah belanja aiskrim" sehingga lah sebesar-besar rasuah yang melibatkan juta malah berbillion-billion wang di peringkat pengurusan sesebuah organisasi mampu ditangani kalau nilai-nilai murni yang asas dipupuk sejak kecil lagi.

Pernah suatu hari ketika saya letakkan sampah di luar rumah, saya perhatikan sampah kelmarin masih belum diangkat oleh pekerja yang mengangkat sampah. Saya tengok tong sampah jiran-jiran yang lain dah kosong. Hanya ada dua tiga lagi jiran yang saya perhatikan tong sampahnya masih dipenuhi sampah tidak diangkat. Pelik juga. Sampah yang saya letakkan di dalam tong sampah siap diasingkan mengikut jenis. Kemas diikat. Tak bertabur dan tak berair. Tak ada sebab yang boleh menyebabkan pekerja angkat sampah tidak mengangkat dan buang sampah dari tong sampah saya.

Keesokannya, emak saya menunggu lori sampah datang untuk pastikan sampah kami tidak dibiarkan tidak diangkat lagi. Bila lori sampah menghampiri, emak saya pun bertanyakan sama ada pekerja tersebut terlepas pandang dan ter 'miss' sampah dari tong sampah kami untuk semalam dan kelmarin.

Pekerja tersebut tidak menjawab dan hanya bertanya kembali soalan berikut:

"Duit raya tak ada ka makcik?"

Adakah ini juga satu bentuk rasuah? Penyakit rasuah dah menjalar ke pelbagai peringkat masyarakat? Perlu diberikan duit raya baru sampah akan diangkat?

:(

Jika di peringkat kita sebagai rakyat marhaen pun gejala rasuah kecil-kecilan sudah merebak, tak dapat nak bayangkan cabaran yang dihadapi SPRM untuk membanteras rasuah di peringkat atasan....

“Kepada anak buahku, buatlah kerja dengan betul tanpa rasa takut dan gentar kerana di SPRM bukanlah tempat untuk pegawai-pegawai yang kecut, penakut dan gentar. 
"Peliharalah kebebasan SPRM mencegah rasuah, bukan satu kerja yang mudah banyak cabaran dan dugaan, hadapilah rintangan ini dengan penuh cekal dan tabah,” - Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull

:(



0 comments: