Tepung pelita, putu piring dan roti jala....

Wednesday, June 08, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Saya terbaca satu post di FB mengenai murtabak. Post tersebut bertanyakan kenapa kita selalunya teringin nak makan murtabak pada bulan puasa? Bulan-bulan lain tak pula rasa teringin sangat nak makan murtabak kan? Kenapa ya jadi macam itu?Apa kaitannya murtabak dengan bulan puasa? Atau ia nya adalah nafsu makan kita semata-mata. Disebabkan bulan puasa, bukan setakat murtabak, semua jenis makanan pin kita tiba-tiba jadi teringin kan!

Saya pun lebih kurang juga dengan golongan peminat-murtabak-di-bulan-puasa. Bezanya, saya tidak lah teringin sangat murtabak, tapi teringin makanan-makanan yang tersenarai di bawah ini. Setiap kali tibanya bulan puasa, itu lah jenis-jenis makanan yang kerap jadi 'ahli tetap' dihidangkan atas meja makan:

1. Kuih tepung pelita
- Kuih tradisonal adunan dari tepung beras, gula dan santan dan diletakkan dalam kelongsong daun pisang ini memang jadi kegemaran saya di bulan puasa. Tak tahu lah kenapa. Tepung pelita ini kalau nak beli di pasar Ramadhan kena pilih-pilih juga. Kadang kala ada tepung pelita yang agak cair dan berair macam tak berapa nak masak.
- Kebiasannya kuih tepung pelita ini dijual dengan harga RM3 bagi 1 pek yang mengandungi 5 kuih tepung pelita.

tepung pelita dan putu piring
Tepung pelita dan putu piring yang sedap!


2. Kuih putu piring
- Satu lagi kuih tradisional yang selalunya teringin di bulan puasa sahaja, Antara bahan utama untuk membuat putu piring ialah tepung beras, kelapa parut dan gula melaka. Selain putu piring, putu bambu pun menarik juga dijadikan sebagai hidangan berbuka.
- Ada orang kata buat putu piring ini boleh cepat kaya sebab bahan-bahan untuk buat putu piring ini tidaklah mahal sangat tapi kebanyakan putu piring ini dijual dengan harga RM3 untuk 5 keping. Ada juga yang saya jumpa putu piring dijual dengan harga RM2 untuk 4 keping. Betul ke boleh cepat kaya jual putu piring ini?


3. Roti jala
- Agak susah nak jumpa roti jala dijual di kawasan rumah saya ini melainkan di bulan puasa. Roti jala yang dijual di pasar Ramadhan pula ada macam-macam jenis. Ada yang roti jalanya jenis 'kurus kering', nipis sangat 'jala nya', dan ada roti jala yang 'jala nya' terlebih 'tebal' . Saya bila beli roti jala mesti akan perhatikan peniaga semasa sedang sediakan roti jala tersebut. Ada yang saya nampak, roti jala nya yang tidak berapa nak jadi, maksudnya jala nya 'terputus' dan hasilnya roti jala itu jadi lebih kecil saiz daripada yang sepatutnya. Sesetengah peniaga akan berikan satu lagi roti jala ekstra untuk 'cover' roti jala yang tidak menjadi tadi dan kemudian dijual dengan harga RM3 untuk 5 keping. Tapi ada juga peniaga yang tak ada rasa apa-apa bila tetap juga jual dengan harga RM3 termasuk roti jala yang tak menjadi itu.
- Roti jala sangat sedap dimakan bersama kuah kari atau kuah durian (serawa durian),


4. Cempedak goreng
- Yang ini memang kegemaran saya tapi dah beberapa tahun juga saya tak beli di pasar Ramadhan sebab agak mahal. Seingat saya, kali terakhir saya beli di pasar Ramadhan, sebiji/seulas/seketul cempedak goreng dijual dengan harga RM1. Kalau beli 10 biji dah jadi RM10. Dengan RM10 saya dah boleh beli mee goreng untuk 2 orang, jadi rasa tak berbaloi nak beli cempedak goreng dengan harga yang macam itu.

Baca juga:
Bazar Ramadhan dan cerita kuih buah melaka...

Selain kuih muih di atas, antara makanan lain yang saya cari di pasar Ramadhan ialah selain daripada nasi. Jemu juga jika makan mee atau mihun atau kuey tiaw goreng, jadi tahun lepas gembira juga lah bila jumpa macaroni dan spaghetti di pasar Ramadhan Melawati, Harganya berpatutan (tapi dah lupa pula berapa harganya) dan rasanya pun memuaskan.

Bulan Ramadhan tahun ini agak berbeza daripada tahun-tahun yang lepas sebab kali ini saya masih belum menjejakkan kaki ke pasar Ramadhan walaupun sudah 3 hari kita berpuasa. Selalunya di hari pertama berpuasa lagi saya sudah buat tinjauan pilihan makanan di pasar Ramadhan, Bagus juga sebenarnya, jimat sikit duit!







0 comments: