Bazar Ramadhan dan cerita kuih buah melaka....

Saturday, June 11, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera....

Hari ini baru lah saya berpeluang menjejakkan kaki ke bazar Ramadhan. Disebabkan saya hendak membeli ubat di farmasi dan farmasi yang terdekat ialah di Setiawangsa, maka bazar Ramadhan di Setiawangsa lah yang menjadi pilihan untuk singgah membeli juadah berbuka puasa.

Bazar Ramadhan di Setiawangsa ini terletak di belakang CIMB dan mengunjur ke atas sehinggalah Restoran Ar-Riyad. Sengaja saya pergi awal, lebih kurang jam 4 petang. Singgah dulu di farmasi, saya telah pun diberi 'amaran' oleh adik yang bertugas di kaunter bayaran farmasi itu.

"Akak kalau pergi lambat bazar Ramadhan ni, memang tak boleh nak bergerak langsung kak. Ramai betul orang. Padat!"

Jam 4 petang masih dikira awal untuk singgah di bazar Ramadhan. Masih ada beberapa gerai yang baru saja memasang meja dan ada juga gerai yang tapaknya masih kosong lagi, belum nampak batang hidung peniaga nya. Saya perhatikan masih ada 'muka-muka lama' atau peniaga yang sama yang saban tahun berniaga di bazar Ramadhan ini. Antaranya ialah peniaga yang sama yang menjual ikan bakar, sup, cucur panas, pelbagai kuih-muih dan popia.

Antara gerai di bazar Ramadhan Setiawangsa ini yang saya ingat sekali ialah gerai jual karipap. Penjualnya ialah 3 orang remaja lelaki yang manis-manis wajahnya. Bila membungkus karipap pun sopan santun saja lagaknya. Tadi saya cari juga gerai ini namun tidak kelihatan. Belum sampai lagi atau tidak berjaya dapat tapak berniaga tahun ini agaknya? Atau mungkin juga berjaya dapat tapak berniaga di kawasan yang lebih baik.

Begitu juga dengan gerai yang menjual mi, mihun dan kuetiau gorena tahun lepas, tidak kelihatan tahun ini. Saya masih ingat lagi aksi kakak yang menggoreng ketiga-tiga jenis makanan ini dalam 3 kuali besar. Walaupun masih belum siap menggoreng, orang ramai setia berdiri di depan gerainya menanti, termasuklah saya! Itu lah kelebihannya bila masakan yang disediakan mempunyai keenakkannya yang tersendiri, Bila makanan yang dijual itu sedap, tak perlu susah payah hendak mempromosikannya, pelanggan akan datang dengan sendirinya. Tapi, itu lah, sudah tiada pula gerai itu di bazar Ramadhan tahun ini.

Bermacam-macam pilihan makanan tidak berjaya 'menggoda' saya untuk berbelanja dengan banyak (untuk hari ini, esok lusa belum tentu macam mana!). Akhirnya, 'hasil tangkapan' di bazar Ramadhan petang tadi hanyalah 2 bungkus mihun sup dan 2 jenis bubur iaitu bubur kacang dan bubur cha-cha (kakak yang jual itu pesan, selepas makan bubur cha-cha itu, boleh lah menari cha-ca..err...). . Cukuplah hasil tangkapan tersebut sebagai hidangan berbuka untuk saya dan emak saya. Disebabkan adik-adik manis jual karipap itu tiada, maka saya goreng saja karipap frozen yang ada di rumah (dah ada karipap frozen di rumah ada hati nak beli lagi karipap di bazar Ramadhan ya).

Jumlah yang dibelanjakan di bazar Ramadhan untuk hari ini? Mihun sup 2 bungkus berharga RM8 dan 2 jenis bubur bubur berharga RM5. Jumlahnya RM13. Maknanya belanja berbuka puasa untuk seorang hanyalah RM6.50. Teringat pula saya pada cabaran seorang sahabat untuk mencari menu berbuka yang berharga bawah daripada RM10. Macam misi sukar katanya. Nah, saya dah buktikan cabaran itu tak mustahil.

Sementara menunggu waktu berbuka, terdengar pula suara anak jiran sebelah rumah memberi salam. Jiran sebelah yang baik hati hari ini telah sudi berikan satu bekas besar mi goreng untuk berbuka puasa. Semoga murah rezeki jiran saya itu. Alhamdulillah, tambah satu lagi hidangan di atas meja.

Oh ya, lupa pula nak cerita. Di bazar Ramadhan tadi saya ternampak sesuatu yang 'mengejutkan'. Ketika saya sedang ralit membaca satu demi satu juadah yang tertulis di deretan gerai itu tadi, saya terbaca harga sejenis kuih yang sangat mengejutkan.

Di papan tanda yang pertama tertulis '5 biji kuih = RM2'

Itu harga normal kan. Beralih pula kepada papan tanda yang kedua di gerai yang sama.

Tertulis di situ '1 biji buah melaka = RM1'

onde-onde
Sumber : bukuresipi.com

Wah, mahalnya harga kuih buah Melaka! Malangnya gerai tersebut baru hendak dibuka kuih-muihnya masih belum diletakkan di atas meja jualan. Tak berkesempatan lah saya nak tengok saiz buah Melaka yang berharga RM1 sebiji itu. Atau adakah saya salah tengok? Saya tersalah baca harga kuih buah Melaka yang tertulis di papan tanda tersebut kah? Jika berkesempatan, saya akan ke bazar Ramadhan Setiawangsa lagi esok untuk pastikan harga kuih buah Melaka tersebut.

Baca juga:
Tepung pelita, putu piring dan roti jala....
Bulan Ramadhan dan amalan yang dicintai

Selain tepung pelita, putu piring dan roti jala, saya suka juga makan kuih buah melaka atau dikenali juga sebagai onde-onde. Tapi melihatkan harga yang sebegitu, mungkin dah tiba masanya saya belajar buat sendiri buah Melaka ini!



0 comments: