Batalkah puasa jika...

Friday, June 03, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera...

Berlalu sudah Jumaat yang terakhir sebelum tibanya Ramadhan. Sempat kah agaknya kita semua sampai ke Jumaat yang pertama di bulan Ramadhan nanti?

Bila tiba bulan puasa, antara yang menjadi kebiasaan ialah timbulnya persoalan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa. Memang betul ibadah puasa dilaksanakan setiap tahun, tapi biasalah, kita sebagai manusia kan mudah lupa. Jadi, jom kita rajinkan diri ulangkaji semula perkara-perkara yang membatalkan puasa sebagai persediaan kita menghadapi puasa tidak lama lagi.

Antara 3 soalan yang popular mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa:

1. Batalkah puasa jika kita mengorek hidung?
- Menurut kebanyakan ulama, memasukkan sesuatu ke dalam telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (sumber : zaharuddin.net dan drmaza.com)
- Mengorek hidung atau telinga sekadar untuk membuang kotoran yang mengganggu urusan harian adalah dibolehkan dan tidak membatalkan puasa asalkan tidak dilakukan secara berlebih-lebihan (ada ke orang korek hidung sampai ke perut atau bahagian otak? Ngeri pula bila membayangkannya!)
- Anda pernah dengar lawak jenaka yang dikaitkan dengan korek hidung di bulan puasa? Diceritakan yang ada seorang ini tidak ada sebarang makanan atau minuman untuk dijadikan juadah berbuka puasa sedangkan ketika itu telah masuk waktu berbuka. Jadi, apa yang lawaknya? Orang itu disarankan untuk korek hidung , supaya puasa nya batal dan dianggap telah berbuka! (tak lawak pun kan).


2. Batalkah puasa jika menggunakan penyembur gas @ inhaler semasa berpuasa bagi pesakit lelah/asthma?

batalkah puasa jika guna inhaler?
- Isu ini pun banyak yang berbeza pendapat. Ada yang kata batal dan ada yang kata tak batal. Bagi pendapat yang mengatakan batal ini adalah kerana inhaler yang disedut itu adalah dalam bentuk jisim gas yang akan masuk hingga ke perut semasa disedut. Bagi pendapat yang mengatakan tidak batal ini adalah kerana gas yang disedut itu hanya sampai ke paru-paru, tidak sampai ke perut. Ada betulnya pendapat yang kedua kerana lelah/asthma merupakan penyakit yang melibatkan saluran pernafasan, Saluran pernafasan pengidap lelah yang terdedah kepada punca-punca serangan lelah akan mengecut menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit. Gas yang disedut dari inhaler adalah bertujuan untuk meluaskan oto-otot saluran pernafasan serta melegakan pernafasan.
- "Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar. Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia" (sumber : zaharuddin.net)



3. Batalkah puasa jika menelan kahak atau air liur
- Yang ini agak sukar dikawal kan? Anda pernah tak alami semasa bulan puasa, ketika batuk dan ada kahak di tekak, apa yang anda buat ketika itu? Telan atau keluarkan kahak tersebut? Tapi, menurut zaharuddin.net jika kahak tersebut telah berada di kawasan mulut dan ditelan, maka puasa itu dikira batal. Puasa masih dianggap tidak terbatal jika kahak yang ditelan itu masih berada di bahagian pangkal lidah dan tekak. (maaf ya kalau timbul rasa geli bila sebut isu kahak ni)
- Telan air liur batal puasa? Islam itu agama yang mudah dan memudahkan (cuma ada yang suka mengambil mudah sesetengah perkara). Jika telan air liur pun boleh batalkan puasa, maka susah lah jawabnya kita terpaksa meludah sepanjang masa di bulan Ramadhan ini!


Untuk lebih info mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa, anda bolehlah lawati laman zaharuddin.net dan drmaza.com itu tadi. Banyak penjelasan beserta dalil dan hadis yang berkaitan turut dibincangkan dengan panjang lebar.

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari Kiamat. Tidak ada seseorang pun yang akan masuk melalui pintu ini kecuali mereka .Dikatakan: Mana orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka semua berdiri. Tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu ini selain mereka. Apabila mereka semua telah masuk, pintu ini akan ditutup dan tidak ada seorang pun yang akan masuk melaluinya”

Marhaban Ya Ramadhan Kareem....

Selamat berpuasa!



0 comments: