Bulan Ramadhan dan amalan yang dicintai

Friday, June 10, 2016 Ana 0 Comments




Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Salam sayyidul ayyam....
Hari ini hari Jumaat pertama dalam bulan Ramadhan. Hari ini juga merupakan hari Jumaat terakhir cuti sekolah (bagi negeri yang bersekolah pada hari Jumaat) sebelum sesi persekolahan dimulakan pada hari 13/6 nanti,

Pejam celik, pejam celik sekejap saja dah masuk hari ke-5 umat Islam menunaikan ibadah puasa. Semoga ibadah kita semua diterima oleh-Nya. Macam mana dengan amal ibadah kita di bulan mulia ini setakat ini (soalan untuk diri saya sendiri)? Rasa masih belum cukup, masih ada yang terkurang di sana sini. Daripada checklist yang saya kongsikan di entry yang lepas, ada juga lah satu dua amalan yang tidak bertanda sebab tak dibuat. Masih perlu kuatkan semangat dan istiqamah nampaknya.

Kadang-kadang kita nampak amalan-amalan yang besar saja dan terlepas pandang amalan kecil yang juga mendapat ganjaran pahala kan.

pahala menggembirakan orang lain
Sumber : FB Telekung Project


Semangat untuk bersedekah RM100 pada hari pertama Ramadhan untuk tabung masjid itu baik. Tapi lebih baik juga jika kita istiqamah bersedekah setiap hari walaupun dalam jumlah yang sedikit. Dan lebih baik juga bersedekah RM100 itu setiap hari (bagi yang mampu)!

Semangat untuk memasak pelbagai resipi dan menu untuk hidangan berbuka nanti juga adalah baik, asalkan tidak membazir. Malah berganda-ganda baik nya jika kita berkongsi hidangan tersebut dengan jiran tetangga. Emak saya semangat memasak rendang pada hari pertama Ramadhan untuk dikongsi bersama-sama jiran tetangga. Dapat lah juga bersedekah 6 bekas berisi rendang daging untuk 6 jiran terdekat. Jiran-jran yang baik hati pula telah membalas kembali dengan hidangan mereka seperti kek, bubur dan roti.

"Barangsiapa memberikan makanan untuk berbuka kepada yang puasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang puasa tanpa mengurangi pahala orang yang puasa itu sedikit pun" - Hadis Riwayat Tirmizi

rendang daging yang sedap
Rendang apa yang paling sedap?
Rendang daging yang emak masak!

Semangat untuk mencari rezeki tambahan di bulan Ramadhan juga satu amalan yang baik. Tidak kiralah sama ada berniaga di pasar Ramadhan mahupun hanya buka gerai di depan rumah, semuanya adalah salah satu cara yang baik untuk menambahkan pendapatan, Nak dapat lebih kebaikan dengan berniaga? Sekali sekala tiada ruginya jika kita melebihkan apa yang diminta oleh pembeli. Makcik yang menjual kuih muih di pasar Ramadhan yang saya kunjungi tahun lepas ialah seorang yang sangat pemurah. Makcik ini pada hari-hari biasa ada membuka gerai di Setiawangsa berhadapan dengan CIMB. Cakoi yang dijualnya lembut dan sedap yang dijual dengan harga RM2 bagi 5 keping, Setiap kali saya membeli sebanyak RM4, pasti makcik itu akan melebihkan satu atau dua keping cakoi untuk saya, Semoga makcik itu dimurahkan rezekinya selalu,


Semangat untuk menggandakan amal ibadat di bulan Ramadhan ini sangat-sangatlah dituntut, Tapi amal ibadat bukan hanya terhad pada solat dan berzikir saja kan? Tidur orang yang berpuasa juga dikatakan sebagai ibadah dan mendapat pahala, tapi tidaklah sepatutnya kita ambil kesempatan tidur sepanjang hari! Begitu juga dengan tugas di pejabat. Berpuasa tidak menjadikan kita lemah dan malas untuk bekerja, Setiap amalan yang dilakukan dengan ikhlas pastinya mendapat ganjaran berlipat kali ganda di bulan yang mulia ini, Menghadiri kuliah agama juga salah satu cara menggandakan pahala. Setiap langkah menuju ke majlis ilmu dicatatkan ganjaran pahala yang besar. Banyak juga kuliah-kuliah yang diadakan di pejabat pada waktu makan tengahari bagi mengisi masa rehat. Rindu pula suasana di pejabat saya dulu. Waktu paginya sebelum mula waktu pejabat, bermula jam 8 hingga 8,45 pagi ada kuliah Dhuha, Tengahari pula ada kuliah Zohor dari jam 1 petang hingga 2 petang dan petangnya jika hari Jumaat ada kuliah Asar. Setiap hari juga diadakan jamuan berbuka bagi yang pulang lewat dari pejabat. Memang sepanjang di pejabat itu terasa betul aura bulan Ramadhan!


Di bulan Ramadhan juga kebanyakan orang yang bekerja pejabat akan pulang awal untuk berbuka bersama keluarga. Jadi kesesakan jalanraya memang bukanlah perkara yang luar biasa, ditambah pula jika jalan tersebut berdekatan dengan pasar Ramadhan. Dengan sikap pemandu yang memotong barisan, dengan sikap pemandu yang pandu terlalu perlahan di depan kenderaan kita, dengan sikap pemandu yang letak kenderaan sesuka hati hingga susah kan kenderaan lain dan macam-macam lagi
Masa ini lah kesabaran akan teruji kan. Jadi apa yang boleh kita lakukan dalam situasi ini? Satu saja yang kita boleh buat. Sabar. Sikap pemandu lain adalah di luar kawalan kita. Yang mampu kita kawal ialah diri kita sendiri. Selain dapat elak kan rasa stress yang sia-sia, kita juga dapat mudahkan perjalanan pemandu yang lain dan yang paling utama, ganjaran pahala atas kesabaran kita.

Selamat merebut ganjaran pahala Ramadhan sementara peluang masih ada....



0 comments: