Food For Mahasiswa

Monday, January 11, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Food For Mahasiswa.

Satu usaha murni oleh sekumpulan mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membantu mahasiswa yang mempunyai masalah kewangan dengan cara memberikan makanan dan minuman percuma untuk mengurangkan beban kewangan mereka.

Pertama kali diadakan pada 1 April 2015, usaha murni ini mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang turut sama menyumbang dalam penyediaan bantuan makanan buat mahasiswa yang memerlukan.

food for mahasiswa
Sumber : FB Food For Mahasiswa


Saya pernah menuntut di UKM bermula sebagai pelajar Matrikulasi yang tinggal di Kolej (dahulu dipanggil Kamsism bukan Kolej) Ungku Omar, tahun pertama di Kolej Rahim Kajai, tahun kedua di Kolej Keris Mas dan tahun ketiga tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan yang lain.

Pada masa itu, seingat saya kos sara hidup masih belum begitu menekan seperti yang dihadapi oleh mahasiswa zaman ini. Saya bukan lah orang yang mewah, dan duit biasiswa JPA yang diterima masih cukup untuk menampung keperluan harian sebagai seorang pelajar. Masih 'mewah' dengan makanan, setiap kali pulang ke kolej setelah habis kuliah di fakulti atau selesai menelaah di perpustakaan Tun Sri Lanang, pasti di tangan masing-masing (saya dan rakan-rakan) akan ada terjinjing bekalan untuk makan tengahari atau makan malam.  Kadang-kala singgah pula beli chocolate cake di kedai kek La Riz (kalau tak silap saya begini lah ejaan nya, ada lagikah kedai ini di Pusanika?). Hujung minggu, jika tidak pulang ke rumah, pasti ada saja rancangan rakan-rakan ke pekan Kajang untuk 'membeli belah' atau sekadar jalan-jalan dan singgah makan satay Haji Samuri.

Bila membaca kisah mahasiswa yang terpaksa ikat perut sehingga ususnya terkoyak dan  kisah mahasiswa yang terpaksa mengambil wang derma masjid untuk membeli nasi, saya berasa sangat simpati.

Simpati kerana selain menggalas tanggungjawab utama sebagai penuntut ilmu, mahasiswa zaman ini kini telah menggalas satu lagi cabaran di bahu mereka: cabaran untuk meneruskan kelangsungan hidup di zaman yang serba mencabar ini. Cabaran memikirkan bagaimana hendak menjimatkan duit untuk pastikan perut terisi sehingga wang pinjaman/biasiswa kembali terisi di akaun bank pada bulan seterusnya. Cabaran memastikan segala keperluan pembelajaran telah dilunaskan dan baki wang (jika ada!) baru boleh digunakan untuk isi perut yang menjerit kelaparan.

Mungkin akan ada yang kata, mahasiswa perlu bijak berdiri atas kaki sendiri. Jangan manja sangat. Kenapa tidak belajar cari wang saku melalui kerja sampingan? Gunakan lah ilmu dan kemahiran untuk cari wang tambahan. Kan ada pelajar yang berjaya dengan bisnes online? Atau buatlah bisnes burger secara sambilan. Atau kerja part-time di restoran makanan segera. Buat lah apa saja (yang halal) untuk dapat wang saku.

Bercakap memang mudah. Easier said than done. Sebagai tuan punya diri, pasti mahasiswa ini telah fikirkan segala macam cara untuk selesaikan masalah kewangan mereka. Mungkin kita perlu ada dalam 'kasut' pelajar yang kesempitan ini untuk selami keperitan mereka. Put yourself in another person's shoes.

food for mahasiswa
Sumber : FB Food For Mahasiswa
Lihat pada tinjauan di atas, 74% mahasiswa tiada duit untuk membeli makanan. Sangat menyedihkan.

Bagi anda yang anda kelapangan dalam kewangan dan ingin menyumbang kepada Food For Mahasiswa ini, sila layari FB Food For Mahasiswa untuk maklumat lanjut.

Bagi yang berkesempatan, boleh lah menonton Food For Mahasiswa di rancangan Assalamualaikum TV AlHijrah jam 9 pagi ini.

food for mahasiswa
Sumber : FB Food For Mahasiswa

Semoga usaha murni ini akan berterusan dan mendapat sokongan ramai...InsyaAllah...




0 comments: