Baju kuning, merah, putih dan hitam...

Friday, November 18, 2016 Ana 2 Comments



Baju kuning, merah, putih dan hitam...


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Nak pakai baju warna apa esok?

"Selain dua kumpulan tersebut, melalui media sosial kita dapati dua lagi kumpulan lain akan menyertai perhimpunan pada Sabtu iaitu kumpulan Baju Putih dan kumpulan Baju Hitam" 


perhimpunan baju kuning


Tak tahu lah nak risau atau nak ketawa bila dengar kata-kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam berita ringkas jam 6 petang di tv AlHijrah.

Risau sebab akan berlaku perkara yang tak diingini bila berlaku pertembungan antara kumpulan pelbagai warna yang berhimpun dengan pelbagai tujuan esok?

Nak ketawa sebab rasa macam ada perhimpunan pakaian beragam pelbagai warna pula esok?

(Eh, baju oren mana, baju oren? Bukan baju oren pun dikatakan akan berhimpun sama ke?)

Yang penting esoknya banyak jalan akan ditutup:

1. Kawasan sekitar Dataran Maybank, Bangsar
2. Kawasan sekitar Jalan Brickfields
3. Kawasan sekitar Masjid Negara dan Muzium Negara
4. Kawasan sekitar Sogo dan Dataran Merdeka
5. Kawasan sekitar Jalan Parlimen dan Bank Negara
6. Kawasan sekitar Pudu Sentral dan Central Market
7. Kawasan sekitar PWTC dan Chow Kit

Banyak kedai akan ditutup. Ramai orang tak keluar ke pusat bandar sebab tak nak terperangkap dengan kesesakan jalan yang dilencongkan. Pemandu teksi merungut tiada pelanggan. Sampah sarap akan bertaburan di kawasan perhimpunan. Pemilik premis yang terletak di kawasan-kawasan perhimpunan risau kalau-kalau berlaku kekecohan dan premis dirosakkan. Banyak acara-acara yang dah dirancang sekitar kawasan terlibat terpaksa dibatalkan. Malah KL Car Free Morning pada keesokkan hari nya (20/11) pun turut dibatalkan.

Baca juga:
Ada apa dengan Baju Kuning dan Tun M...

Bila banyak jalan terpaksa ditutup memang sangat menyusahkan dan saya faham sangat rasanya setelah banyak kali terlibat dengan masalah ketika jalan ditutup sebelum ini.

Daripada perhimpunan yang lalu, ada cerita peniaga restoran yang dapat keuntungan berganda bila peserta perhimpunan berkumpul di restorannya untuk menjamu selera. Daripada perhimpunan yang lalu, ada cerita yang pihak penganjur sediakan 'unit untuk kutip sampah' di kawasan perhimpunan.

Itu antara cerita yang saya dengar dan baca. Ada lagi cerita yang baik daripada perhimpunan-perhimpunan yang lepas?

4 tahun lepas ketika menghadiri aktiviti team building yang dianjurkan di sebuah hotel di pusat bandar, kami telah dibahagikan kepada warna merah, biru, hijau dan kuning. Saya dalam kumpulan merah maka berbaju warna merah lah saya ketika itu. Di penghujung aktiviti tersebut, kami semua diarahkan untuk keluar dari hotel dan berhimpun di sebuah lorong yang terletak tak jauh dari hotel tersebut. Dan ketika berhimpun itu kami bersorak kata-kata semangat dengan suara yang kuat sambil berjalan menuju ke hotel. Mujur waktu itu sudah agak lewat petang dan tidak ramai orang yang lalu lalang. Tapi orang ramai yang ada ketika itu dan kereta yang melewati 'perhimpunan' dan 'perarakan' kami memang memandang kami dengan pandangan yang semacam. Mana tidak nya, perhimpunan 'baju kuning dan baju merah yang sebenar' baru saja diadakan 2 minggu sebelum itu!

Berhimpun secara aman itu tak salah. Berhimpun sambil buat provokasi yang tak sepatutnya, itu yang salah.

Berhimpun secara aman itu tak salah. Berhimpun tanpa permit itu yang salah (susah sangat kah nak dapatkan permit?)

Berhimpun secara aman itu tak salah, Berhimpun sambil buang sampah merata-rata dan rosakkan kemudahan awam itu yang salah.

Berhimpun secara aman itu tak salah, Berhimpun dan bawa anak-anak kecil itu yang agak kurang sesuai. Perhimpunan sebegini bukan tempat permainan untuk anak-anak.

Jadi, anda dah pilih warna baju yang nak dipakai esok?

**Teringin nak tengok rakyat Malaysia berhimpun dengan satu warna baju saja. Mungkin tak akan jadi kenyataan satu hari nanti? **

😐😐😐




2 comments:

  1. Rakyat Malaysia di Malaysia tak sehati-sejiwa nak berhimpun dengan baju satu warna sahaja. Tapi kalau pergi oversea tu, ada je rakyat malaysia berhimpun pakai baju satu warna je. Tiap-tiap tahun pulak tu. Cuma kurang dapat liputan media la. Semua pakai putih je...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tertanya-tanya ada ke perhimpunan rakyat Malaysia di luar negara setiap tahun? Bila baca ayat sampai habis baru faham :)

      Semua pakai putih di perhimpunan yang paling agung..

      Delete