Amboi, baru darjah satu dah ada handphone!

Wednesday, November 23, 2016 Ana 0 Comments



Amboi, baru darjah satu dah ada handphone!


Assalamualaikum & salam sejahtera.....


Baru darjah satu dah ada handphone?

Beruntung sungguh anak-anak zaman ini. Baru darjah satu dah ada handphone. Bukan handphone biasa, tapi smartphone.

"Mak Ngah, malam nanti Abang hantar whatsapp ya!"

Seronok sungguh anak saudara saya (yang panggil dirinya Abang) yang baru beli smartphone Isnin yang lalu. Sekejap sekejap berbunyi handphone saya menandakan ada mesej baru masuk. Asyik betul hantar mesej whatsapp, macam jauh sangat pula, padahal ketika itu saya di dapur dan anak saudara saya itu ada di ruang tamu!

smartphone - keperluan atau kehendak
Sumber: samsung,com


Nostalgia pula kenangan lalu bila saya mula-mula ada handphone sendiri. Mula ada handphone sendiri bukannya ketika di tingkatan satu apa tah lagi ketika darjah satu. Seingat saya, saya mula ada handphone ketika berada di tahun 3 di universiti. Wah, beza sungguh dengan anak-anak zaman sekarang, macam langit dengan bumi.

Sebelum ada handphone itu, memang setiap malam bila nak call emak, maka akan setia lah saya berdiri dalam barisan panjang bersama-sama penghuni hostel kampus yang lain yang juga nak buat panggilan guna telefon awam (public phone). Barisan bertambah panjang bila telefon awam nya ada 3 tapi yang boleh guna cuma satu saja. Nak telefon mak punya pasal, sanggup beratur walaupun kadang kala sampai satu jam menunggu tiba giliran.  Ketika itu bekalan duit syiling memang sentiasa ada di samping guna kad prabayar Uniphonekad. Kalau 20 sen tu boleh bersembang dalam masa satu minit kalau tak silap.


telefon awam masih relevan
Sumber : sinarharian.com.my


Zaman sekarang ini susah dah nak jumpa telefon awam yang guna kad prabayar, kebanyakannya terima duit syiling saja, Telefon awam pun dah susah nak jumpa dah sebenarnya. Kalau ada pun dah tinggal pondok atau telefon yang dah tak berfungsi.  Zaman sekarang memang pelik kalau tak ada handphone kan. Budak darjah satu pun dah ada handphone!

Handphone pertama saya ialah Nokia 3210. Masa itu ada Nokia inipun rasa macam dah 'hebat' dah, Selain boleh main game 'Snake', antara hobi yang biasa dibuat dengan handphone ini ialah tukar-tukar ringtone. Cari kod ringtone dan gigih taip satu-satu dalam handphone. Kalau salah taip, sumbanglah bunyinya nanti. Budak-budak sekarang mana tahu apa maksud kod macam ini 32f2 32#d2 32f2 8#d2 32#d2 32#d2 kan!

Lepas Nokia 3210, beralih pula kepada Nokia 8210, kemudian Nokia 3230 dan akhirnya Nokia N96. Kenapa Nokia? Entah, mungkin sebab dah biasa dan selesa dengan handphone yang pertama maka kebanyakan handphone lama saya ialah Nokia. Saya pun bukan jenis yang suka bertukar-tukar handphone. Tukar hanya bila rosak dan tak boleh digunakan lagi. Sebab itu lah hingga tahun 2015 di saat kebanyakan orang dah gunakan Apple dan Samsung, saya masih lagi setia dengan N96. Hinggalah bila N86 itu 'tewas' setelah dimasuki air maka saya akhirnya beralih kepada Samsung sehingga ke hari ini.

"Malam ni aku buat group whatsapp, kau join tau. Nanti aku ajak kawan yang lain sekali ok?"

Amboi, memang kalah betul generasi saya dengan anak-anak zaman moden ni. Saya ingatkan pelik sangat lah bila anak saudara saya yang baru darjah satu itu dah ada handphone sendiri. Rupa-rupanya saya yang pelik (atau ketinggalan?) sebab ramai kawan-kawan sekelasnya pun dah ada handphone sendiri. Siap nak buat group whatsapp lagi. Siap rekod suara dan hantar kat whatsapp lagi. Siap rekod rancangan kartun di tv dan hantar video di whatsapp lagi. Memang saya penuh kekaguman betul dengan generasi Z ini!

Handphone dan manusia memang tak dapat nak dipisahkan, Selain fungsi utamanya untuk buat panggilan dan pesanan ringkas, handphone kini dah jadi mcam suatu perkara yang wajib dimiliki supaya tak ketinggalan dengan berita dunia dan perkembangan serta trend terkini. Tak dilupakan juga betapa 'wajibnya' untuk miliki handphone untuk berselfie! Maklum lah, zaman sekarang ini kan bila nak mula makan atau menjamu selera,  orang tak lagi mulakan dengan baca doa, tapi mulakan dengan 'pose' dengan makanan dan ambil gambar!

Eh, betul ke handphone dan manusia tak dapat nak dipisahkan? Kalau begitu, macam mana saya boleh saja survive dari zaman sekolah hingga ke tahun 3 di universiti tanpa handphone 'di sisi'? Alaaa,  itu zaman bila? Dulu lain sekarang lain! Kalau zaman ini tak ada handphone memang dipandang pelik sikit agaknya. Bukan setakat tak ada ada handphone akan dipandang pelik. Kalau ada handphone tapi handphone jenis Nokia 3310 pun orang pandang pelik juga!

Rasa macam nak cuba pula bagaimana rasanya satu hari tanpa handphone.....





0 comments: