Tak boleh kah anggap homestay macam rumah sendiri?

Sunday, December 18, 2016 Ana 0 Comments



Tak boleh kah anggap homestay macam rumah sendiri?


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Petang semalam saya menemankan seorang sahabat untuk mengemas homestay beliau. Penyewa yang menyewa homestay nya untuk 2 hari 1 malam telah pun check out pada petang itu. Ramai juga yang menyewa homestay beliau pada bulan 12 ini. Yang terkini ialah rombongan pengantin lelaki dari Johor Bharu yang telah pun selamat bernikah pada hari Jumaat dan kenduri sebelah perempuan petang semalam.


Kata kawan saya ini, memang seronok bila ada ramai yang berminat untuk menyewa homestay.tapi dalam pada seronok itu, sempat juga beliau mengeluh bila mana mengenangkan pelbagai masalah yang dihadapinya sepanjang menguruskan homestay. Sahabat saya ini seorang yang sangat teliti. Setiap kali ada penyewa, beliau memang bersungguh-sungguh untuk pastikan seluruh kawasan rumah telah dibersihkan, segala keperluan (tuala mandi, sejadah, minuman 3 in 1, air mineral, sabun mandi) telah disediakan, cadar dan sarung bantal dipasang dengan kemas, sehinggalah bantal yang mencukup malah lebih untuk setiap bilik. Dan setiap kali ada penyewa, setiap kali itu juga lah beliau akan risau jika kemudahan dan keperluan yang disediakannya tidak mencukupi dan bimbang sama ada penyewa selesa atau tidak tinggal di rumahnya.

Masalah uruskan homestay


Paling tidak seronok ialah bila ada penyewa yang kurang mementingkan kebersihan. Saya sendiri saksikan ada penyewa yang meninggalkan homestay dengan sampah yang bertimbun. Pampers bayi tidak dimasukkan dalam plastik sampah dan terus saja diletakkan dalam ruang sampah di luar rumah. Sisa-sisa makanan bertaburan tidak dimasukkan dalam plastik yang diikat dengan ketat. Sisa makanan yang penuh dalam sinki di dapur. Cadar dan bantal yang kotor dengan kesan minyak dan coklat, bukan untuk satu dua bantal tetapi hampir setiap bantal dalam setiap bilik ada kesan kotoran!

Itu belum lagi masalah dengan penyewa yang rosakkan kemudahan dalam homestay tapi tidak memaklumkan tuan punya homestay. Sudah beberapa kali sahabat ini mengadu yang tombol pintu bilik di homestaynya terpaksa diganti baru kerana didapati rosak setelah penyewa check out. Entah apa lah yang dibuat oleh penyewa hingga rosak begitu. Ada juga penyewa yang cuai letakkan barang berharga di luar rumah hingga 'menjemput' pencuri untuk merosakkan pagar homestay untuk mencuri barang tersebut. Ada juga penyewa yang suka mengalih-alihkan barang dalam homestay malah ada penyewa yang pandai juga membuka pintu stor yang telah dikunci oleh tuan punya homestay!

Baca juga:
Pengalaman si pengusaha homestay


Mungkin bab masalah kotoran itu boleh lagi ditelan walaupun pahit. Masih boleh lagi diusahakan cara untuk menghilangkan kotiran tersebut. Saya pernah terbaca satu nasihat yang mengatakan tahap kebersihan seseorang itu boleh dilihat ketika menginap di hotel. Ramai yang gemar check out dari hotel dengan kebersihan bilik yang teruk sekali. Dalam nasihat itu ada mengatakan perbuatan andai dilakukan oleh seorang Muslim, secara tidak langsung memberi imej buruk kepada Islam itu sendiri. Diberikan contoh jika seseorang yang bernama Muhammad menyewa bilik hotel di luar negara dan meninggalkan hotel dengan keadaan bilik yang teruk sekali kebersihannya, apa agaknya pandangan pemilik itu kepada seorang Muslim? Dan kepada agama Islam itu sendiri?

Sama juga lah dengan homestay. Apa lah salahnya anggap homestay sebagai rumah sendiri? Err, anggap macam rumah sendiri bukan bermaksud buat sesuka hati di homestay. Di rumah sendiri pasti kita tak sanggup nak kotorkan bantal dan cadar dan tak akan rosakkan barang-barang dalam rumah kan?

Bab kebersihan dan keadaan kemudahan dalam rumah ditambah lagi dengan 'janji-janji manis penyewa' setiap kali hendak check in dan check out. Semasa buat booking, beria-ia hendak check in pada pukul 11 pagi. Bila tiba hari yang dijanjikan, jam sudah pukul 12 lebih pun masih belum muncul di homestay. Kasihan lah sahabat saya ini terintai-intai di tingkap menantikan si penyewa. Tidak baik lah buat begitu, tuan punya homestay pun ada urusannya juga. Ada juga penyewa yang janjinya akan check out pada jam 6 petang tapi sehingga azan Maghrib selesai berkumandang masih lagi belum keluar dari homestay. Pening kepala juga si sahabat ini dengan macam-macam kerenah penyewa homestaynya!

Banyak orang, banyak ragam. Harap-harap ragam yang banyak itu tidak 'membunuh' semangat sahabat saya ini untuk terus mengusahakan homestaynya itu....



0 comments: