Kad debit baru, BR1M 2017 dan zakat pendapatan....

Thursday, December 08, 2016 Ana 0 Comments



Kad debit baru, BR1M 2017 dan zakat pendapatan....


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Tahun 2016 semakin menghampiri penghujungnya, Cepat betul masa berlalu. Pejam celik pejam celik dah sampai hujung tahun, Nanti pejam celik pejam celik, dah sampai tahun 2020 pula.

menjelang akhir tahun 2016

Menghampiri hujung-hujung tahun ini selain menghabiskan cuti bagi mereka yang bekerja, ada juga beberapa perkara yang tarikh tamatnya atau dateline ialah pada hujung bulan Disember 2016 ini. Antaranya ialah:


1. Penukaran kad debit yang ada sekarang kepada kad debit baru yang gunakan konsep Pin & Pay. Tarikh akhir tukar kad : 31 Disember 2016

Kad debit yang baru ini memerlukan pin untuk pengesahan bayaran ketika buat belian berbanding tandatangan yang digunakan sekarang. Cara menukar kad debit yang baru ialah dengan pergi ke kaunter cawangan bank yang berdekatan. Hanya Maybank (yang saya tahu) yang setakat ini menyediakan kemudahan tukar kad debit baru melalui 3 cara iaitu pergi sendiri ke kaunter, permohonan secara online melalui Maybank2u dan penukaran melalui kiosk ekspress yang disediakan di lokasi-lokasi tertentu. Saya ada juga terbaca yang CIMB juga telah sediakan kemudahan permohonan tukar kad secara online melalui cimbclicks.com.my, betul ke?

Lokasi kiosk ekspres kad debit Maybank
Lokasi kiosk ekspres kad debit Maybank


Tarikh akhir penukaran kad debit ialah pada 31 Disember 2016. Tapi ada juga bank yang telah meletakkan notis mengenai kemungkinan kad debit yang sedia ada tidak boleh digunakan selepas 20 Disember 2016 dan ada juga bank yang mengingatkan pelanggan untuk menukar kad debit mereka sebelum 18 Disember 2016 ini. Bank juga telah melanjutkan waktu operasi di sesetengah cawangan dan ada juga yang beroperasi 7 hari seminggu (seperti CIMB dan Bank Islam)  khas untuk proses penukaran kad ini.



2. Permohonan baru dan kemaskini maklumat BR1M untuk tahun 2017. 
Tarikh akhir 31 Disember 2016

Kalau anda layak untuk menerima BR1M atau anda memang penerima BR1M sebelum ini, pastikan anda telah membuat permohonan atau kemaskini maklumat anda, samada secara online di ebr1m.hasil.gov.my atau dengan mengisi borang dan hantar ke cawangan LHDN yang berdekatan.

"Saya ialah penerima BR1M untuk tahun-tahun yang lepas. Saya tak ada apa maklumat yang berubah dan tak ada apa nak di update pun, perlu kemaskini juga ke?"

Perlu. Sekali pun tiada apa maklumat yang berubah, anda perlu juga lakukan pengemaskinian. Jika anda kemaskini secara online, di akhir proses nanti akan ada Akuan Pengesahan untuk anda pastikan maklumat anda sah dan kemaskini yang berjaya akan memaparkan mesej permohonan anda telah berjaya dihantar.

Permohonan baru dan kemaskini BR1M 2017 secara dalam talian atau menggunakan borang telah bermula pada 5 Disember 2016 dan akan berakhir pada 31 Disember 2016 ini.



3. Pembayaran zakat pendapatan untuk dapat pelepasan cukai pendapatan tahun 2016
Tarikh akhir : 31 Disember 2016

Bulan Disember selalunya merupakan bulan yang paling sibuk untuk kakitangan di pusat zakat. Kebanyakan kaunter zakat (atau semua?) akan dibuka setiap hari termasuk pada cuti umum sepanjang bulan Disember setiap tahun untuk memberi peluang kepada orang ramai yang ingin membayar zakat pendapatan.

Pembayaran zakat pendapatan akan membolehkan anda mendapat pelepasan cukai pendapatan untuk tahun semasa. Memang telah saya praktikkan sejak mula perlu isi borang BE lagi, hasilnya saya tak pernah lagi bayar cukai pendapatan selama saya bekerja kerana selalunya kiraan cukai saya akan dapat cukai terlebih bayar. Err, tapi janganlah niat bayar zakat itu semata-mata sebab nak dapat rebat cukai, balik kepada tujuan asal berzakat iaitu nak mensucikan harta yang kita perolehi....



4. Promosi-promosi jualan akhir tahun

Selain tarikh akhir untuk 'perkara-perkara serius' di atas, ada beberapa perkara lain yang juga tarikh akhirnya penghujung bulan ini.

Anda suka melancong? Promosi akhir tahun Malaysia Airlines yang bermula pada 2 November yang lalu akan berakhir pada 31 Disember ini. Untuk yang 'kaki berjalan' semestinya menantikan promosi-promosi sebegini.

Anda peminat kain ela? Nak buat persiapan raya awal untuk tahun depan? Gedung kain Jakel ada lebih 1 juta meter kain yang perlu dihabiskan dengan diskaun hingga 90%, Promosi jualan akhir tahun telah pun bermula sejak 25 November yang lalu. Yang ini terlajak sikit tarikh akhirnya iaitu sehingga 2 Jan 2017 nanti.

Kalau nak senaraikan di sini jualan akhir tahun memang panjang berjela senarainya.

Tinggal lebih kurang 3 minggu saja lagi sebelum 31 Disember 2016. Dalam pada seronok menghabiskan cuti akhir tahun itu, jangan lupa tandakan pada kalendar anda atau sediakan senarai semak apa yang perlu dibuat sebelum akhir tahun ini ya!


0 comments: