Gaji RM6,500 yang diidam-idamkan...

Friday, December 23, 2016 Ana 0 Comments

Gaji RM6,500 yang diidam-idamkan...


Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Minta gaji RM6,500 punca ramai graduan baru menganggur? Baca lebih lanjut di sini.

Gaji pertama saya ketika pertama kali merasa pengalaman bekerja ialah lebih kurang dalam beberapa ratus ringgit. Saya pun dah tak ingat berapa jumlahnya. Pertama kali bekerja itu ialah semasa latihan industri atau practical training ketika berada di tahun ketiga pengajian ijazah. Gaji dikira berdasarkan jumlah hari bekerja.

minta gaji tinggi antara punca graduan baru sukar dapat kerja
Sumber : mynewshub.cc


Selepas tamat pengajian pada tahun 2001, kebetulan zaman tersebut ialah zaman susah nak dapat kerja. Ada juga kawan-kawan yang berjaya dapat kerja sebelum hari konvokesyen lagi. Saya pula dapat kerja setelah 3 bulan selesai majlis konvo. Itu pun ialah kerja sementara iaitu Skim Sangkutan dan Latihan yang mana saya ditempatkan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Kompleks Dayabumi. Seingat saya ketika itu gaji juga dibayar mengikut berapa hari bekerja. Kerjanya pun tak sukar malah ada kalanya saya rasa macam tak bekerja sebab tak banyak kerja yang ditugaskan kepada kami yang berada dalam skim ini. Mungkin seronok pada sesetengah orang sebab kerja tak seberapa tapi dapat juga gaji, tapi pada saya keadaan seperti itu tak berapa nak seronok, rasa macam 'tak berapa diperlukan' di pejabat tersebut.

Setelah 3 bulan bekerja di KPDNKK dan pada masa yang sama tak berhenti hantar resume ke sana sini, akhirnya saya dapat panggilan daripada Maybank untuk hadiri temuduga. Seingat saya ada 2 peringkat ujian. Peringkat pertama ialah ujian IQ dan kedua ialah temuduga dengan panel penemuduga. Yang menariknya ialah hari ini pergi temuduga, esoknya dapat panggilan disuruh buat medical check up. Eh, ini kira dah diterima kerja lah ni kan?

minta gaji tinggi antara punca graduan baru sukar dapat kerja


Saya sendiri pun tak sangka diterima kerja. Ada kawan-kawan sekerja di KPDNKK yang kata mesti saya ini ada 'kabel' di Maybank sebab itu senang dapat kerja. Kalau betul lah saya ada kabel di Maybank sudah pasti dah lama saya minta kerja di sana dan tak perlu lah nak kerja sementara di bawah skim itu.

Gaji permulaan bagi graduan baru atau fresh grad di Maybank ialah RM2,300. Itu dulu, tahun 2002. Sekarang ini gaji fresh grad di Maybank dah banyak berubah tapi yang pastinya bukan RM6,500. Masa zaman saya dulu tak terfikir pun nak minta gaji tinggi-tinggi apa tah lagi gaji RM6,500 sebab saya sedar yang saya tak banyak (tak ada pun) pengalaman bekerja sebelum ini.  Bagi graduan yang dah ada banyak pengalaman bekerja mungkin tak salah nak demand minta gaji yang tinggi lebih-lebih lagi dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang ini. Tapi kalau minta gaji RM6,500 tanpa sebarang pengalaman bekerja, tidak kah itu permintaan yang agak kurang sesuai?

Adik-adik yang masuk bekerja tiga empat tahun selepas saya ramai juga yang selalu merungut gaji tak cukup. Setiap kali ada meeting dengan HR, isi gaji juga lah yang dibangkitkan. Isu yang tak pernah berkesudahan.

Minta gaji dinaikkan biar padan dengan usaha dan kerja yang dilakukan. Teringat satu insiden ketika bekerja dulu. Pada masa itu kami satu team sedang sibuk menyiapkan pengujian sistem untuk satu projek besar yang dateline nya tak lama lagi. Setiap orang buat tugas masing-masing dan turut sama ialah seorang pekerja baru yang juga seorang fresh grad. Ada juga tugas yang diberikan kepada pekerja baru tersebut tapi agak lambat disiapkan walaupun telah diberikan contoh dan tunjuk ajar sebelum itu.

Sedang semua orang sibuk dengan tugas masing-masing tiba-tiba pekerja baru itu bersuara.

"Ni semua kerja ni tak ada manual ke? Senang sikit nak buat kalau ada manual"

Lantas seorang pekerja senior yang tak puas hati pun bersuara.

"Hah nanti awak buat lah manual nya, boleh kita orang refer nanti"

Itu namanya sikap tunggu disuap. Semua nak disediakan, semua nak kena ada manual, semua nak kena ada depan mata. Nama nak cari sendiri, usaha tulis dan buat nota untuk rujukan sendiri memang tidak ada. Seorang fresh grad bukan kah patutnya semangat berkobar-kobar nak bekerja dan korek ilmu daripada pekerja senior? Tidak perlu lah hanya tunggu semuanya disediakan dan lepas itu merungut kata gaji sikit.

Bagi para siswa dan siswi, jika matlamat selepas graduasi ialah hendak kerja makan gaji dengan gaji yang besar, maka timba lah pengalaman dan tambah lah ilmu pengetahuan sebanyak yang mampu ketika masih di universiti. Bina kemahiran komunikasi dan kuasai bahasa kedua. Buka hati dan minda untuk belajar skil dan perkara yang baru. Sentiasa kemaskini diri dengan ilmu yang baru. Jadi lah pakar dalam sesuatu perkara atau kemahiran sehingga jika disebut akan perkara tersebut, anda lah orangnya yang dicari-cari. Bermula dari bawah dengan gaji yang rendah dan akhirnya memanjat perlahan-lahan ke kedudukan pangkat yang lebih tinggi pastinya lebih berbaloi dan bermakna.

Dan bila semua persediaan, kelengkapan dan ilmu (ilmu tak akan pernah cukup) telah ada maka tidak ada orang yang ragu-ragu untuk menerima permintaan gaji RM6,500 daripada anda!

 

0 comments: