Kekejaman ialah cara terbaik selesaikan masalah?

Tuesday, December 20, 2016 Ana 0 Comments



Kekejaman ialah cara terbaik selesaikan masalah?


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Video Duta Besar Rusia, Andrey Karlov di Turki ditembak oleh seorang lelaki ketika menghadiri pameran seni di Ankara itu saya ulang tonton banyak kali. Rasa macam tak percaya. Memang pada mulanya saya ingatkan itu hanya lakonan. Satu provokasi. Kan macam-macam video kreatif yang viral sekarang ini. Melihat duta tersebut terbaring dan si penembak menjerit kata-kata yang dikatakan ada kaitan dengan bantahan terhadap apa yang berlaku di Aleppo, hati mula terasa yang ini bukan lakonan.

Tapi video rakaman kes tembak itu memang bukan lakonan. Memang betul-betul terjadi. Macam mana agaknya perasaan jurukamera yang sedang merakamkan kejadian? Betul kah antara laporan yang saya baca, penembak itu dikatakan masuk ke tempat pameran sebagai seorang anggota polis? Betul kah antara laporan yang saya dengar penembak itu menjerit dan menyebut dalam bahasa Turki, "Jangan lupakan Aleppo" dan "Jangan lupakan Syria" selepas melepaskan tembakan? (audio kurang jelas).


*Penembak telah dikenalpasti sebagai Mevlut Mert Altintas, seorang anggota polis anti rusuhan di Turki*

duta besar rusia ditembak
Sumber : jawapos.com


Seluruh masyarakat dunia yang prihatin kecewa dengan kekejaman yang berlaku di Aleppo, Syria. Seluruh masyarakat dunia sedih melihat kemusnahan yang berlaku di Syria. Seluruh masyarakat dunia sedih melihat nasib anak-anak Syria yang sudah kekeringan air mata menangisi nasib menjadi mangsa perbalahan dan campur tangan kuasa besar dunia. Tapi adakah ini (menembak duta) caranya untuk menghentikan konflik yang berlaku?

Protes masyarakat dunia ke atas kuasa besar ini mungkin menghasilkan sedikit tekanan. Tetapi apa yang telah berlaku di Syria adalah peristiwa besar yang tak mudah untuk dilupakan,  Jika betul kes tembakan Duta Besar Rusia itu adalah cara menunjukkan rasa tidak puas hati dengan campur tangan Rusia di Syria, maka ia adalah satu tindakan yang kurang bijak. Ia tidak akan buatkan campur tangan itu berkurangan, malah dibimbangi akan menimbulkan masalah baru (mungkin masalah yang lebih besar?) dan kesan yang lebih teruk sama ada kepada mangsa konflik di Syria mahu pun kepada negara asal si penembak itu tadi.

Dunia semakin hari semakin 'gila'. Yang besar dan berkuasa akan berterusan menunjukkan 'kekuasaan' mereka'. Yang lemah akan terus ditindas dan dinafikan hak mereka.

Dalam pada semua ini berlaku, banyak mata yang memerhati dalam diam. Dan di antara yang memerhati dalam diam itu mungkin ada yang geram dengan apa yang berlaku maka mula menyimpan dendam. Dendam untuk menuntut bela ke atas kekejaman yang berlaku dan apa yang berlaku dalam kes tembakan itu mungkin salah satu akibat daripada dendam yang sudah tidak tertahan lagi.

Ia tak akan terhenti di situ. Selagi jalan kekejaman yang dipilih untuk selesaikan masalah, maka selagi itu lah kekejaman akan terus berlaku....

😢

 

0 comments: