Talian telefon dan senyum yang mahal....

Saturday, December 17, 2016 Ana 0 Comments



Talian telefon dan senyum yang mahal....



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Murah-murahkan lah senyuman anda...

senyum itu sedekah


Baru-baru ini saya ke kaunter Telekom Malaysia di salah sebuah cawangannya di Kuala Lumpur. Tujuannya ialah untuk membayar tunggakan bil telefon talian tetap dan seterusnya menamatkan terus perkhidmatan tersebut. Saya memang tak gunakan talian tetap tersebut jadi rasa rugi juga membayarnya setiap bulan.

Bukan sengaja dibiarkan tertunggak bil tersebut. Panjang cerita sebenarnya. Dipendekkan cerita, akaun bagi bil talian tetap tersebut adalah di atas nama orang lain dan bukan atas nama saya. Pihak Telekom ada undang-undang yang mana hanya pemilik akaun sahaja yang boleh memohon untuk menamatkan sebarang perkhidmatan dengan Telekom Malaysia. Katanya pengesahan biometrik diperlukan untuk proses permohonan tamatkan perkhidmatan. Selain pemilik akaun, individu lain tidak dibenarkan untuk memohon menamatkan perkhidmatan kerana dibimbangi kes penipuan (fraud), katanya. Jika pemilik tidak dapat ditemui, maka cara lain untuk tamatkan juga perkhidmatan  ialah dengan pemohon membuat akaun sumpah di pesuruhjaya sumpah atau membuat laporan polis. Uish, itu sudah panjang cerita pula jadinya nanti.

Cara yang lain ialah dengan menunggu hingga akaun itu di tamatkan secara automatik dalam sistem. Ada 'pengorbanan' yang perlu dilakukan kalau guna cara ini iaitu terpaksa biarkan akaun tertunggak sehingga dapat bil akhir. Jika dalam tempoh belum dapat bil akhir dah buat bayaran, talian yang digantung akan disambung semula. Maka saya dengan rasa terpaksa, biarkan saja lah akaun itu tertunggak sehinggalah akaun itu digantung (barred) dan akhirnya ditamatkan (terminate). Dan dalam proses menunggu itu, bil masih bertambah dan bertambah dan bertambah. Rasa tidak adil juga bila bil masih bertambah bila akaun sudah digantung (maknanya tiada panggilan boleh dibuat dan diterima lagi menggunakan talian tetap tersebut). Selalu juga saya telefon Telekom untuk tahu status akaun. Bila diberitahu akaun telah digantung, saya tanyakan pula bila akaun akan ditamatkan. Ada banyak jawapan yang saya terima. Ketika di cawangan, katanya setelah akaun digantung, dalam masa sebulan akaun akan ditamatkan. Setelah sebulan, saya masih lagi terima bil yang bertambah dan bukannya bil warna merah (bermakna akaun telah ditamatkan). Bila tanya pada khidmat pelanggan, katanya tidak pasti berapa lama baru akaun akan digantung kerana semua itu sistem yang tentukan. Bila ditanya tidak boleh ada pengecualian kah? Tidak boleh katanya kerana semua sudah ditetapkan dalam sistem.

Tertanya-tanya juga dalam hati, sistem yang tentukan? Manusia yang cipta / bangunkan sistem atau sistem yang cipta manusia?

Kecewa juga sebab selama ini rekod bayaran bil bulanan saya tidak pernah terlewat (sebelum saya biarkan ia tertunggak) tapi bila minta sedikit 'jasa baik' untuk memudahkan talian ditamatkan, tiada yang dapat membantu,


terminate talian tetap telekom

Setelah 7 bulan, bil merah yang ditunggu-tunggu sampai juga akhirnya. Maka dengan 'gembiranya' saya bersama emak saya pun ke cawangan Telekom untuk settle kan semuanya. Gembira sebab akhirnya jumlah yang perlu dibayar tak bertambah lagi.

Masuk saja pintu cawangan tersebut saya terus ke kaunter pertanyaan,

"Cik, saya nak bayar bil yang tertunggak ni dan tamatkan terus perkhidmatan" (sambil tunjukkan bil warna merah di tangan)

(Sambil pandang bil merah di tangan saya ) "Oh, cik terus pergi kaunter tiga"

"Tak perlu ambil nombor giliran?"

"Tak perlu"

Di kaunter nombor tiga tiada staf yang bertugas. Lima saat kemudian datang staf yang bertugas dan matanya terus memandang pada bil merah di tangan saya. Beliau tidak duduk, terus saja berdiri sambil matanya menghadap ke skrin komputer untuk proses bayaran bil saya.

Emak saya cuba lah nak berbual bertanyakan soalan yang saya dan emak dah boleh agak jawapannya.

"Lepas saya bayar habis bil ni, talian tetap ni akan terus terminate kan? Takkan disambung balik kan?

Staf di kaunter itu angguk kan kepala, masih lagi berdiri sambil proses bayaran saya.

"Lama dah saya tunggu nak terminate line ni, ni akhirnya baru dapat bil merah" (Emak saya sambung berbual)

Tak ada respon dari staf tersebut,

Setelah selesai diproses bayaran saya dan diserahkan resit, saya dan emak pun beredar dari kaunter tersebut.

Dalam perjalanan menuju ke kereta, emak saya sempat berkata...

"Tak mesra pelanggan langsung Telekom ni..."

Ya. Bermula dari kaunter pertanyaan hinggalah ke kaunter nombor tiga, staf tersebut (yang kami berurusan dengannya) sedikit pun tidak memandang ke arah kami ketika berurusan, apa tah lagi nak 'hadiahkan' senyuman.

Mungkin sebab nampak bil warna merah di tangan saya.

Mungkin sebab akaun saya telah di terminate. Adakah jika saya datang untuk memohon talian tetap dipasang di rumah saya baru saya akan mendapat pandangan mesra dari staf tersebut?

Mungkin kot....atau mungkin juga staf tersebut ada masalah berat nak difikirkan maka tak sempat nak senyum atau bertanya itu ini pada pelanggannya macam saya.....

Berbeza dengan pengalaman saya ketika berurusan di kaunter Maybank untuk tutup akaun simpanan tempoh hari. Bukan satu, tapi dua akaun Maybank yang saya tutup. Apa sebabnya saya tutup akaun?

"Cik memang dah tak guna lagi ya akaun-akaun ni? Boleh saya tahu kenapa Cik nak tutup akaun?

"Sebab saya ada 3 akaun Maybank"

Ya. satu akaun dibuka sebelum bekerja, satu lagi semasa mula bekerja dan akaun ketiga ialah akaun staf semasa bekerja di Maybank.

Staf itu tersenyum saja sambil angguk-angguk kepala. Itu belum lagi saya beritahu saya ex-Maybanker bahagian IT, kalau saya beritahu mungkin panjang lebar pula bersembang agaknya pasal sistem!

Apa-apa pun, senyum itu adalah sedekah yang paling mudah. Tak perlu keluarkan duit pun!









0 comments: