Saya tak nak gemuk!

Thursday, April 20, 2017 Ana 0 Comments



Saya tak nak gemuk!


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Betul lah tu, siapa yang nak berbadan gemuk dan gempal atau dalam kata lain, obes kan? Sejak kebelakangan ini ada beberapa artikel di akhbar yang kebetulannya menulis mengenai masalah yang sama yang ada kaitan dengan terlebih berat badan ini.

saya tak gemuk
Sumber : FB Kaki Viral

Masalah berat badan atau obesiti ini bukan lah masalah yang baru. Dah banyak kempen dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun badan persendirian untuk meningkatkan kesedaran keburukan obesiti. Namun semua itu masih belum cukup untuk mengelak daripada Malaysia menjadi antara negara di Asia yang mempunyai ramai penduduk dengan masalah obesiti dan menduduki tangga ke-6 di peringkat dunia sebagai negara yang mempunyai penduduk dengan tahap obesiti tinggi.

Punca obesiti? Itu semua orang dah tahu tapi mungkin juga kita pura-pura tak tahu. Di antaranya ialah makan secara berlebihan, kurang bersenam atau tidak aktif dalam kehidupan seharian, makan makanan tak berkhasiat  seperti makanan segera dan pengambilan gula secara berlebihan. Obesiti yang tidak terkawal boleh menyumbang kepada penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi dan diabetes.

Bomba bantu lelaki 300kg ke hospital- Sumber : sinarharian.com.my 16 Mac 2017
Bomba, JPAM bantu bawa pesakit seberat 250kg ke hospital - Sumber : mstar.com.my, 21 September 2016
Panggil bomba pindah pesakit obes 250kg - Sumber : sinarharian.com.my 31 Mac 2016
Bomba bantu turunkan lelaki seberat 180kg - Sumber : kosmo.com.my, 18 Mac 2016
Tak muat masuk ambulans, lelaki 180kg diangkut bomba ke hospital - Sumber : themalaymailonline, 30 Disember 2015

Berita-berita seperti di atas sudah tak asing lagi di negara kita ini kan. Menyedihkan juga kerana disebabkan kegagalan seseorang individu untuk mengelak daripada menjadi obes (walaupun ada juga dikatakan obesiti yang berpunca daripada faktor genetik/keturunan), bukan sahaja menyusahkan diri nya sendiri malah turut sama memberi masalah kepada ahli keluarga untuk menguruskannya.

Bukan semua individu yang gemuk itu tidak sihat. Malah tak hairan juga ada individu yang kurus mempunyai kadar kolesterol yang lebih tinggi berbanding individu yang gemuk. Salah satu kemungkinan puncanya ialah orang yang kurus anggap dirinya sihat dan akan makan apa saja hingga tak sedar dinding arteri semakin menebal dan saluran semakin sempit disebabkan kolesterol yang semakin tinggi.

Ok, punca-punca obesiti kita dah tahu, bagaimana pula dengan cara-cara mengatasinya? Yang ini pun kita semua dah tahu tapi susah nak amalkannya. Tapi tak mustahil nak lakukannya jika ada semangat dan azam yang kuat untuk turunkan berat badan, untuk dapatkan berat badan yang ideal serta badan yang lebih sihat dan cergas. Dah banyak bukti yang kita lihat sama ada di media massa mahupun media sosial yang paparkan individu yang sanggup tak makan nasi selama 3 tahun, sanggup jadi pengunjung gimnasium yang setia, sanggup dedikasi berjogging setiap pagi tanpa gagal sebelum ke tempat kerja dan banyak lagi kisah-kesah kejayaan yang lain. Semuanya semata-mata untuk mendapatkan berat badan yang diidam-idamkan.

Jadi langkah pertama yang paling penting ialah set kan matlamat atau tujuan utama kenapa kita hendak kurangkan berat badan. Nak lebih langsing supaya dapat pakai baju lebih ketat? (ok, yang ini kurang bagus matlamatnya!). Nak lebih sihat dan tak termengah-mengah mengejar kawan-kawan yang dah jauh di depan setiap kali keluar ke restoran yang hanya beberapa meter jauhnya dari pejabat? Nak kurangkan sakit di lutut yang setiap hari menjerit dalam diam dek kerana tak mampu lagi menderita menanggung berat badan kita yang berlebihan? Nak elakkan risiko menghidapi penyakit tiga serangkai yang sememangnya diwarisi dalam salasilah keturunan keluarga kita selama ini?

Apa juga matlamatnya, pastikan matlamat itu diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Tulis besar-besar di atas kertas dan tampal di tempat yang anda akan nampak setiap hari seperti di cermin. Sesuatu yang visual lebih mudah untuk diingati berbanding perkara yang hanya disematkan dalam hati. Jadikan ia pembakar semangat (seperti ada orang yang membeli baju dengan saiz yang lebih kecil sebagai motivasi untuk lebih bersemangat kurangkan berat badan suapaya dapat pakai baju tersebut!) setiap kali timbul rasa ingin mengalah dan teringin nak makan lebih daripada yang sepatutnya.

sauna boleh bakar kalori

Selain daripada bersenam dan mengawal pemakanan, mungkin juga boleh mencuba cara lain seperti bersauna. Pagi tadi saya ke Pusat Perubatan Naluri di Wangsa Maju. Ternampak iklan di bunting mengenai kebaikan sauna yang ada disediakan di pusat perubatan ini. Bersauna selama 30 minit boleh membakar sehingga 2400 kalori bersamaan dengan 8 bungkus nasi lemak! Berbanding dengan mengawal pemakanan dan bersenam, kaedah ini (bersauna) memerlukan sedikit perbelanjaan. Ada juga kebaikannya bila perlu membayar kerana sedikit sebanyak dapat juga buatkan anda fikir dua kali bila hendak beli lebih makanan yang tidak diperlukan. Kan lebih baik disimpan wang itu untuk bersauna!

Bacaan Body Mass Index (BMI) atau Indeks Jisim Badan saya kini berada di antara paras normal dan terlebih berat 😛. Jika tak kawal pemakanan, mungkin boleh jadi terlebih berat dan tak mustahil mendaki menuju ke arah paras obesiti.

Saya tak nak gemuk. Gemuk tapi sihat, masih boleh diterima. Apa yang penting, jom kita sama-sama amalkan pemakanan yang sihat (susah juga saya nak amalkan!) dan yang paling-paling penting elakkan daripada kurus atau kurangkan berat badan dengan cara yang salah seperti menggunakan ubat kurus atau diet yang terlalu ekstrem.

Katakam TIDAK kepada Obesiti. Gemuk is not awesome!



0 comments: