Cincin tunang dan tepak sirih...

Sunday, April 02, 2017 Ana 0 Comments



Cincin tunang dan tepak sirih...



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Petang tadi saya menghadiri majlis tunang sepupu sebelah emak. Majlis ringkas saja tapi penatnya terasa sampai sekarang. Hmm..setakat tolong cucuk buah anggur dengan pencungkil gigi (yang kemudiannya dicucuk pada buah nanas oleh sepupu saya) yang merupakan salah satu daripada barang hantaran pun dah penat, nampak sangat terserlah faktor usianya!

Majlis yang sepatutnya bermula jam 3 petang akhirnya bermula pada pukul 4 lebih. Wakil daripada pihak perempuan yang memulakan bicara ialah seorang anak muda. Setelah dimulai dengan bacaan ummul kitab dan selawat beramai-ramai, wakil pihak lelaki mengunjukkan 2 bentuk cincin yang dibawa, satu untuk merisik dan satu lagi untuk bertunang. Cincin itu kemudiannya di 'pass' kan kepada ibu dan bapa pihak perempuan, pada saya nampak macam nak suruh check ok ke tak cincin tersebut. Pakcik dan makcik saya ok saja setuju. Err, ada ke orang yang bila tengok cincin itu akan komen kata tak berkenan dan sebagainya masa depan-depan orang ramai dalam majlis itu? Tak dapat saya nak bayangkan kalau jadi macam tu, malu lah pula pihak lelaki nanti.

Cincin tunang


"Sepatutnya tepak sirih ni dibuka dulu sebelum mulakan berbincang..."

"Kalau kat Johor, wakil kedua-dua belah pihak kena makan dulu sirih tu sebelum mula bincang apa-apa"

Saya angguk-angguk faham saja lah bila dengar suara-suara pakcik dan makcik sebab tak tahu pun ada fungsi rupa-rupanya tepak sirih yang dibawa itu. Wakil pihak perempuan yang jadi perantara pun mengaku tadi beliau tak tahu pun perlu buka dulu tepak sirih itu, Saya pun ingatkan tepak sirih sekadar barang yang wajib ada sebagai salah satu hantaran daripada pihak lelaki. Itu pun di zaman moden ini, atas permintaan pihak perempuan ada juga pihak lelaki yang tak jadikan tepak sirih atau sirih junjung sebagai barang hantaran. Sebaliknya, pihak lelaki diminta gantikan dengan barang lain sebagai hantaran. Alasannya, tiada orang pun yang nak makan sirih itu nanti. Boleh ya macam tu? 😯

Majlis bertunang zaman sekarang pun dah tak sama dengan zaman dulu-dulu. Kalau dulu, si bakal pengantin perempuan akan duduk dalam bilik tersipu-sipu malu mengintai di sebalik tirai kamar menantikan bakal ibu mertuanya menyarungkan cincin pertunangan. Majlisnya pun lebih ringkas dan lebih kepada sesi untuk berbincang mengenai wang hantaran, tarikh pernikahan, kenduri dan yang seumpamanya serta berkenalan antara kedua-dua belah pihak. Si perempuan pun tidak lah berhias bagai nak naik pelamin berkahwin ketika itu juga. Ala kadar saja untuk majlis sarung cincin yang ringkas. Berbeza dengan zaman sekarang, majlis tunang pun dah hampir macam majlis nikah. Bakal pengantin perempuannya tak duduk tunggu di bilik lagi dah sebab sekarang siap dah ada pelamin untuk majlis sarung cincin. Ada juga yang terlebih teruja, diadakan pula sesi bergambar bakal pengantin perempuan dengan bakal pengantin lelaki di pelamin tersebut.

Selain adat tepak sirih yang saya baru tahu hari ini, ada banyak lagi adat-adat yang berbeza mengikut negeri. Di Pulau Pinang, semasa majlis bertunang,  ada sesi suap gula buat bakal menantu manakala di sesetangah tempat di Melaka pula ada borang perjanjian pertunangan yang perlu diisi dan diserahkan semasa majlis bertunang.

Apa-apa pun adat yang diamalkan, selagi tak melanggar syarak dan menyusahkan mana-mana pihak, tidak lah ia menjadi satu kesalahan....

Tak sabar menantikan majlis kenduri kahwin pula, 4 bulan dari sekarang.....😊😊😊

 

0 comments: