Gurauan yang tak patut!

Saturday, April 01, 2017 Ana 0 Comments



Gurauan yang tak patut!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ada sesiapa yang mengenakan atau dikenakan atau terkena lawak April Fools' hari ini?

Eh, masih ada lagi ke orang yang tak matang dan suka 'bergurau' kena-kenakan orang pada setiap 1hb April?

Saya pernah termasuk dalam golongan yang tak matang itu. Tapi itu masa di zaman sekolah menengah. Dalam ramai-ramai kawan itu, ada lah seorang dua yang 'kreatif' dan banyak idea bila tiba tanggal 1 bulan April ini. Dan nak jadikan lebih 'kreatif', satu kelas di ajaknya turut serta dalam rancangannya itu. Apabila majoriti dalam kelas dah setuju dan 'teruja' nak buat idea kreatif itu, saya pun nak tak nak terjebak sama!

tak perlu ikut budaya april fools

Rancangannya sempena 1 April ialah nak kenakan cikgu. Tak ada cikgu yang spesifik. Mana-mana cikgu yang masuk untuk mengajar untuk subjek yang ada pada hari tersebut akan jadi 'mangsa' April Fools kami sekelas. Rancangannya mudah saja. Kami semua akan bertukar tempat duduk dalam kelas untuk hari itu. Jika sebelum ini pelajar A duduk di kerusi nombor 2 di barisan hadapan dan pelajar B duduk di kerusi nombor 4 di barisan paling belakang, maka kedua-dua pelajar ini akan saling tukar tempat duduk. Pada saya kalau setakat itu saja rancangannya, boleh lagi diterima. Mungkin cikgu akan pening kepala sikit bila tengok kedudukan pelajar dalam kelas dah berubah. Tapi idea kreatif itu tak terhenti setakat ini saja.

'Misi' untuk kenakan cikgu bermula bila cikgu mula bertanyakan soalan. Jika cikgu panggil nama pelajar A untuk jawab soalan, pelajar B yang akan berdiri dan jawab soalan tersebut sebab pelajar B yang duduk di tempat pelajar A dan konon-kononnya pelajar B ialah pelajar A!

Pening ke tak pening kepala cikgu macam itu? Pelajar lain yang dipanggil untuk jawab soalan tapi pelajar yang lain pula berdiri dan menjawabnya!

Saya punyalah berdoa supaya setiap cikgu yang masuk ke kelas tak akan bertanyakan soalan pada kami dan hanya mengajar atau tulis di papan hitam sahaja. Ketika pagi itu bermula, untuk 2 subjek yang pertama, tiada sesi cikgu panggil nama pelajar untuk jawab soalan. Malangnya, ketika subjek ketiga iaitu subjek Matematik, apa yang saya risaukan berlaku juga 😰.

Yang sedikit melegakan saya ialah saya bukan antara pelajar yang dipanggil untuk jawab soalan. Kasihan juga melihatkan riak wajah cikgu yang keliru dan terpinga-pinga ketika 'misi' itu berjalan. Akhirnya cikgu mula 'naik angin' dan kami sekelas menerima hukumannya. Kami diarahkan untuk tukar semula kepada tempat duduk asal kami dan dihukum berdiri sepanjang kelas diadakan. selama satu jam. Macam biasa, ketua darjah lah yang akan jadi wakil untuk memohon maaf atas perangai 'bukan-bukan' kami sekelas itu. Memang tak patut kami buat gurauan April Fools macam itu terhadap cikgu!

Itu kali pertama dan terakhir saya terlibat dalam bergurau mengenakan orang pada 1hb April...

Oh ya, kawan sekelas kami yang kreatif itu kini menyalurkan idea-idea kreatifnya kepada perkara yang betul. Beliau terlibat dalam penerbitan rancangan-rancangan berbentuk realiti seperti Amazing Race dan The Apprentice!

😊😊😊


 

0 comments: