Begitulah nasib benda percuma...

Saturday, April 22, 2017 Ana 0 Comments



Begitulah nasib benda percuma...



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Benda yang dapat secara percuma memang selalunya kurang atau susah untuk dihargai. Itulah nampaknya nasib ubat-ubatan yang diberi secara percuma di klinik dan hospital kerajaan.

"Beliau menarik perhatian apabila berkata pihaknya mendapat maklumat terdapat pesakit yang membuang ubat-ubatan di luar pagar klinik atau hospital kerana mereka berjumpa doktor semata-mata untuk mendapatkan sijil cuti sakit sahaja"- sumber : Astroawani.com

Ya, bukan semua orang yang ada sikap kurang baik ini. Tapi dek kerana segelintir individu yang berkelakuan sebegini tak mustahil satu hari nanti akan dikenakan pula caj bagi ubat-ubatan yang diberikan di klinik dan hospital kerajaan. Pada masa itu nanti akan kedengaran pula suara-suara tak puas hati termasuk juga daripada mereka yang membuang ubat-ubatan ini, iaitu mereka yang menjadi punca caj tersebut dikenakan!

ubat percuma dibuang begitu saja


Apabila saya ke Hospital Kuala Lumpur pada bulan lalu, keadaan di hospital memang penuh dengan orang ramai yang datang mendapatkan rawatan. Tak kira lah sama ada di bahagian pesakit luar, klinik ortopedik yang saya kunjungi mahu pun di bahagian pengimejan x-ray dan klinik-klinik lain yang terdapat di Kompleks Pakar dan Rawatan Harian HKL itu. Penuh dengan orang ramai. Dan tak ketinggalan juga bahagian yang menjadi 'tumpuan' ialah bahagian farmasi tempat mengambil ubat-ubatan.

Baca juga:
Salah ke jika kita beli sijil cuti sakit?

Melihat kembali bekalan ubat-ubatan yang 'sebakul' (saya tulis sebagai sebakul sebab banyak betul ubat yang dibekalkan) itu dan membaca pula laporan mengenai individu yang ada 'tabiat' membuang ubat kerana berjumpa doktor semata-mata untuk dapatkan sijil sakit sahaja buat saya sedikit geram.
Sebahagian daripada perbelanjaan besar kerajaan untuk membeli ubat-ubatan (2.6 billion 2.2 billion pada tahun lepas) dibazirkan begitu saja. Bukan saja membazir ubat yang diberi percuma tetapi juga membazirkan masa pesakit lain yang hendak berjumpa doktor. .

Mengapa jumpa doktor hanya untuk sijil sakit tapi buang ubat yang diberikan? Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah individu itu merupakan seorang yang bekerja dan tak sakit pun sebenarnya tetapi tidak pergi bekerja atas 'sebab-sebab tertentu' dan perlukan sijil sakit untuk menyokong tindakan ponteng kerja nya itu.

Ada sebab atau alasan yang lain? Ok, mungkin juga 'sebab-sebab tertentu' itu adalah sebab yang serius seperti ibu yang menjaga anak kecil yang sakit atau anak yang menjaga ibu bapa yang tidak sihat. Hendak pohon cuti mungkin sudah tiada baki cuti yang tinggal. Jika itu lah sebabnya, daripada membuang ubat percuma yang diberikan, mungkin boleh ditolak ubat yang diberikan oleh doktor dengan beri alasan (alasan lagi) sudah ada ubat yang sama dalam simpanan. Atau, entahlah. Fikirkan apa saja alasan untuk tidak diberikan ubat asalkan ubat itu tidak dibuang atau diperap saja dalam tempat ubat di rumah. Ya lah, ubat itu diberi percuma saja kan, jadi tak ada apa-apa perasaan mungkin semasa membuangnya

Jika ditakdirkan suatu hari nanti ubat percuma ini dikenakan caj pula, bukan saja golongan yang membuang ubat ini akan terkena malah mereka yang tidak bersalah dan sangat bergantung kepada ubat-ubatan percuma ini akan turut terkesan juga.

Bukan mudah untuk mengubah sikap ambil ringan dan tak hargai apa yang ada. Begitulah nasib benda yang diberi percuma (bukan terhad kepada ubat saja)....😡


 

0 comments: