Nak beg plastik atau nak jimat 20 sen?
Nak beg plastik atau nak jimat 20 sen?
Assalamualaikum & salam sejahtera.....
Setiap kali saya baca di akbar atau tonton berita di tv mengenai masalah rungutan orang ramai terpaksa bayar 20 sen untuk beg plastik di Selangor mulai 1 Januari yang lalu, saya tertanya-tanya sendiri dalam hati.
Tiada paksaan kan untuk pengguna bayar 20 sen itu? Kalau kita memang tak nak bayar lebih 20 sen untuk beg plastik setiap kali keluar beli barang, maka awal-awal lagi siap sedia bawa beg sendiri dari rumah. Tujuan dikenakan caj 20 sen itu pun pada fahaman saya ialah untuk galakkan orang ramai tidak gunakan/minta beg plastik bagi tujuan pemeliharaan dan lebih prihatin dengan isu alam sekitar. Mungkin pelaksanaannya yang agak mengejut buatkan ramai pengguna yang mengeluh. Tapi, itu lah. Tiada paksaan pun untuk bayar caj 20 sen itu, Pilihan ada di tangan pengguna. Tak nak bayar 20 sen, bawa beg sendiri dari rumah, Senang kan?
Bukan semua barang yang dibeli tidak akan diberikan plastik secara percuma. Antara yang dikecualikan ialah barangan jenis makanan dan tumbuh-tumbuhan, produk ubat-ubatan, hidupan akuatik, makanan daging mentah, makanan untuk haiwan, sayur-sayuran dan biji benh yang tidak dibungkus (rujuk di sini).
Sumber : sinarharian.com.my |
Bagi peniaga pula, saya kurang pasti sama ada terdapat undang-undang atau penguatkuasaan mengenai caj 20 sen ini, Kalau peniaga tak kenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pengguna, adakah peniaga akan dikenakan tindakan? Pusat beli belah berhampiran rumah saya tidak atau masih belum lagi mengenakan caj 20 sen bagi beg plastik (kecuali pada hari Sabtu). Di sebuah pasaraya di Bangi pula hanya mengenakan caj 20 sen untuk sehelai beg plastik yang digunakan pada hari Sabtu. Maksudnya jika anda beli barang di pasaraya tersebut pada hari Sabtu dan anda perlukan 5 beg plastik untuk isi barang-barang yang dibeli, anda hanya di caj 20 sen sahaja dan bukannya RM1.
Ada peniaga yang kena kan caj dan ada yang tak kenakan caj bagi beg plastik, Mungkin belum betul-betul dikuatkuasakan larangan penggunaan beg plastik ini? Daripada apa yang dilaporkan sebelum ini, larangan penggunaan plastik telah menjadi salah satu syarat pembaharuan lesen dan denda maksima RM1,000 akan dikenakan jika melanggar syarat ini.
Ok, jom kita kembali semula kepada perkara pokok.
Matlamat asal mengenakan caj 20 sen untuk beg plastik adalah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan beg sendiri ketika membeli barang.
Kenapa nak kena guna beg sendiri?
Untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.
Kenapa nak kurangkan guna beg plastik?
Kerana beg plastik tidak mudah terurai dan ambil masa ratusan tahun untuk dilupuskan. Selain itu dapat juga mengurangkan longkang yang tersumbat disebabkan beg plastik, kurangkan pembebasan bahan penyebab kanser iaitu karsinogen apabila beg plastik dibakar serta kurangkan kes kematian penyu yang makan beg plastik yang disangkakan obor-obor.
Err...tapi boleh pula guna beg plastik jika bayar 20 sen? Adakah beg plastik yang dibeli dengan harga 20 sen akan mudah terurai dan dilupuskan?
Bagi mencapai matlamat memelihara alam sekitar, adalah lebih sesuai sekiranya 'dihapuskan' terus penggunaan beg plastik (dan bukannya dijual) dan disediakan alternatif seperti beg kertas atau kotak untuk mengisi barang. Mungkin sedikit sukar pada permulaannya, tapi alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil untuk dilakukan malah telah terbukti perlaksanaan yang berjaya di Melaka. Bermula dengan hari tanpa plastik pada Jumaat, Sabtu dan Ahad pada dan diakhirnya dilaksanakan hari tanpa plastik sepenuhnya di Melaka bermula Januari tahun lepas.
Nak beg plastik atau nak jimat 20 sen?
0 comments: