Kapcai itu tidak bersalah....

Wednesday, January 18, 2017 Ana 0 Comments


Kapcai itu tidak bersalah....


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Motorsikal kapcai (motorsikal bersaiz kecil) mungkin tidak akan dibenarkan masuk pusat bandar Kuala Lumpur bagi mengurangkan kadar pelepasan gas karbon, kata Menteri Wilayah Persekitaran, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Motorsikal kapcai dilarang masuk kuala lumpur
Sumber : sinarharian

Menurut beliau, larangan itu mungkin akan dilaksanakan bila telah ada kadar pengangkutan awam yang berpatutan kerana pada masa ini motorsikal jenis itu digunakan oleh kebanyakan individu yang berpendapatan rendah dan tak mampu membeli kenderaan lain.

Tak ada masalah dengan larangan itu yang pada masa yang sama dapat kurangkan jumlah kenderaan pada waktu puncak. Tapi selain kadar pengangkutan awam yang berpatutan, tuan menteri perlu juga lihat perkara-perkara yang berikut:

1. Tambang pengangkutan awam berpatutan tapi adakah mutu pengangkutan awam juga 'berpatutan'? Selagi masih ada rungutan dan aduan orang ramai mengenai kelewatan pengangkutan awam selagi itu lah usaha untuk menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam akan sukar capai matlamat nya. Naik pengangkutan awam juga bukannya boleh sampai terus ke destinasi yang dituju, ada kalanya perlu juga naik bas perantara atau pun LRT untuk sampai ke destinasi sebenarnya.

2. Kata tuan menteri, kebanyakan bandar tidak membenarkan motorsikal kapcai memasuki pusat bandar. Saya kurang pengetahuan tentang perkara ini, bandar yang mana kah itu? Mungkin boleh dikaji apa langkah yang diambil oleh pihak berkuasa bandar tersebut atau ke 'efisien' an pengangkutan awam di bandar yang dimaksudkan sebelum menguatkuasakan larangan itu.

3. Motorsikal kapcai bukan saja digunakan oleh golongan berpendapatan rendah tapi juga oleh kebanyakan warga kota yang mengejar masa. Kawan saya yang berpendapatan 5 angka tapi masih menunggang motorsikal kapcai ke pejabat setiap pagi dari Wangsa Maju ke Menara Maybank di pusat bandar. Semuanya untuk mengejar masa. Naik motorsikal (terutama motorsikal kecil) kan boleh mencelah antara kenderaan dan agak jarang lah akan tersangkut dalam kesesakan lalulintas kecuali ada kemalangan jalanraya hingga jalan terpaksa ditutup atau pun ketika jalan ditenggelami air ketika hujan lebat.

4. Selain jimat masa, motorsikal kapcai dengan saiz kecil nya itu mudah nak dicari-cari tempat parking nya. Ditambah pula dengan masalah tempat letak kereta yang tak mencukupi dan dah naik pula kadar bayaran nya. Motorsikal (sama ada kapcai atau bukan) juga jadi pilihan kerana dikecualikan daripada tol.

5. Larangan bertujuan untuk mengurangkan pelepasan gas karbon selain motorsikal kapcai sering digunakan oleh peragut untuk meragut di bandar. Kecil hati penunggang motorsikal kapcai bila baca kenyataan ini. Kenderaan yang paling banyak melepaskan gas karbon ialah motorsikal kapcai kah? Macam mana pula dengan lori angkut simen atau kereta yang berusia lebih 10 tahun dan jarang dihantar untuk penyelenggaraan dengan asap berkepul-kepul dari ekzos itu? Akan dikurangkan masuk pusat bandar juga tak? Dan bukan motorsikal kapcai yang perlu dipersalahkan dalam soal kes ragut serta tak perlu lah di sinonimkan motorsikal kapcai dengan meragut.


Katakan larangan ini akhirnya dilaksanakan juga dan tiada lagi kelibat motorsikal kapcai di pusat bandar. Namun hasil 'penyelidikan' menunjukkan kadar pelepasan karbon masih tinggi dan jalanraya di pusat bandar masih sesak seperti biasa. Apa pula selepas itu? Kenakan pula larangan kereta 'bersaiz kecil' masuk ke pusat bandar?

Kapcai itu tidak bersalah....






0 comments: