Hidrogel, bukan untuk dimakan...
Hidrogel, bukan untuk dimakan...
Assalamualaikum & salam sejahtera...
Terbaca kisah seorang kanak-kanak yang terpaksa dibedah ususnya kerana termakan hidrogel atau water beads. (Baca lebih lanjut di sini).
Hidrogel adalah sejenis polimer yang menyerap air, yang mana setelah direndam dalam air, hidrogel ini akan kembang menjadi bebola yang anjal. Hidrogel ini dikatakan boleh mengembang hingga 400 kali saiz asalnya (atau sehingga sebesar bola golf!) apabila bersentuhan dengan air. Biasanya kita nampak hidrogel ini digunakan dalam pasu-pasu tumbuhan seperti bunga hiasan rumah. Fungsinya untuk menyerap, menyimpan air dan nutrisi bagi tanaman. Memang nampak menarik. Selain itu, hidrogel ini juga digunakan sebagai alat 'sensory' atau alat mainan pembelajaran untuk kanak-kanak. Adalah normal bagi kanak-kanak dalam tempoh awal pembesaran untuk memasukkan objek ke dalam mulut mereka. Hidrogel dengan warna yang terang dan cantik serta berwarna warni memang mudah untuk menarik perhatian kanak-kanak untuk dimasukkan ke dalam mulut!
Tapi bila dah termakan, pastinya hidrogel itu tidak lagi jadi satu perkara yang menarik.
Ngeri melihat bebola hidrogel itu yang kembang di dalam usus dan dikatakan menyebabkan usus kanak-kanak tersebut tersumbat. Selain itu, hidrogel di dalam usus ini juga menyebabkan dehidrasi, rasa ketidakselesaan yang teruk dan muntah-muntah.
Sumber : siakapkeli.my |
Saya pernah juga menghalang anak saudara yang ketika itu berusia 5 tahun hampir-hampir saja masukkan hidrogel ke dalam mulut. Siap marah-marah tanya anak saudara saya itu kenapa nak masukkan dalam mulut, tak tahu ke benda itu tak boleh dimakan. Memang bukan soalan yang bijak untuk ditanyakan kepada kanak-kanak yang berusia 5 tahun kan. Sampai menangis anak saudara itu dimarahi saya!
Isu membabitkan kanak-kanak yang termakan benda-benda yang tak sepatutnya bukan lah isu yang baru. Ingat lagi kes pada November tahun lalu yang mana seorang kanak-kanak berusia 4 tahun meninggal dunia kerana makan ubat pil darah tinggi yang disangkakannya 'gula-gula' kepunyaan neneknya?
Kanak-kanak, begitulah ragamnya. Di usia mentah yang masih tak kenal apa, hanya kepada ibu bapa atau penjaga lah yang diharapkan untuk menjaga keselamatan dan kebajikan mereka.
Semoga tiada lagi kes-kes kanak-kanak tersilap makan benda-benda yang berbahaya ini di masa hadapan....
0 comments: