Itu bukan ayah saya!

Friday, January 13, 2017 Ana 0 Comments




Itu bukan ayah saya!



Assalamualaikum & salam sejahtera....

"Adi, Adi, Papa kat sini!"

Kuat laungan seorang bapa yang berdiri di sebelah saya sambil melambai-lambai anaknya dari luar pagar sekolah. Anak kecil yang dipanggil Adi itu berlari-lari anak menarik beg sekolah berodanya menuju ke arah bapanya sambil tersengih.

Meriah pula saya perhatikan suasana di luar pagar sekolah sejak dua tiga hari ini.

Sejak kebelakangan ini, ada sedikit perbezaan dalam jumlah ibu bapa atau penjaga yang tunggu anak habis waktu sekolah. Selalunya tak ramai ibu bapa yang datang jemput anak masing-masing. Bertambah lah geng-tunggu-anak-luar-pagar-sekolah macam saya.

Semuanya gara-gara kisah yang tersiar di Facebook dua hari yang lalu. Sebenarnya sebelum kisah ini muncul di FB lagi ia telah berlegar-legar di kalangan whatsapp ibu bapa sekolah tersebut.

"Hati-hati dengan anak anda. Ingatkan anak anda supaya tak ikut orang tak dikenali yang datang jemput mereka. Baru-baru seorang lelaki telah datang ke kelas anak saya dan mengaku anak saya sebagai anaknya dan hendak dibawa balik. Anak saya menangis-nangis tak mahu dan bagi tahu pada cikgu yang itu bukan ayahnya. Cikgu kelas kemudiannya telefon saya untuk pastikan sama ada suami saya datang ke sekolah untuk ambil anak"

awas penculik kanak-kanak


Lebih kurang begitulah bunyinya kisah tersebut. Menakutkan juga baca insiden yang macam ini. Tapi bila fikir-fikirkan semula tak kan sampai begitu berani penculik hendak penculik kanak-kanak. Sampai datang ke sekolah dan masuk ke kelas? Bukan ke nanti mudah di cam kan wajah nya? Bila saya baca antara komen di FB mengenai insiden ini ialah lelaki tersebut bukanlah penculik tapi merupakan cleaner di sekolah tersebut. Ada versi lain pula cerita ini nampaknya. Betulkah ada rancangan hendak menculik atau hanya salah faham?

Tidak mustahil kes penculikan boleh berlaku di sekolah dengan trend ibu bapa sekarang yang berkongsi pelbagai maklumat mengenai anak-anak mereka di media sosial.

Jika benar lelaki itu ialah penculik, mujur kanak-kanak itu bertindak bijak tidak mengikutnya pulang. Tindakan bijak cikgu itu untuk telefon ibu kanak-kanak itu juga wajar dipuji.

Tidak pasti pula saya apa kesudahan kisah ini. Yang pastinya ia telah meningkatkan sikap berhati-hati ibu bapa dan penjaga mengenai keselamatan anak-anak mereka. Tak terkecuali juga saya yang menjemput anak saudara dari sekolah. Rasa cuak tetap ada bila kelibat anak saudara tidak kelihatan sedangkan loceng habis waktu sekolah telah lama berbunyi (5 minit pun rasa lama menunggu!). Kembali rasa lega bila akhirnya nampak anak saudara melambai-lambai tangan dari jauh...

Tiba-tiba terdengar suara seorang lelaki melaung memanggil seseorang. Kuat betul laungannya. Hampir kesemua yang menunggu di luar pagar sekolah menoleh ke arah lelaki tersebut. Lelaki berkulit gelap itu nampaknya sedang memanggil seseorang dalam kawasan sekolah. Panggil anak nya kah? Kuat sampai seakan-akan sedang marah sahaja bunyinya. Risau juga saya jika lelaki itu kurang waras. Pantas saya lihat di kakinya. Kenapa nak lihat kaki? Ha, itu 'petua' saya kalau nak tau orang itu waras atau tidak. Kalau masih memakai alas kaki, pada saya orang itu masih waras sebab masih tahu hendak jaga kakinya daripada rasa sakit memijak batu jalan yang panas.

Ah, lelaki itu masih waras. Tidak lama selepas itu nampak beliau berjalan memimpin tangan anaknya melintas jalan...

Macam-macam yang berlaku dalam dunia hari ini. Apa yang kita tak sangka akan berlaku, tidak mustahil akan berlaku. Penculik masuk ke sekolah hingga sampai ke kelas, tidak mustahil juga untuk berlaku. Sama-sama kita berwaspada dan berhati-hati selagi mampu...





0 comments: