Cerita sedih di tadika....

Thursday, January 05, 2017 Ana 0 Comments




Cerita sedih di tadika....


Assalamualaikum & salam sejahtera......


Hari ini dah masuk hari ke-3 sesi persekolahan dibuka untuk tahun 2017.  Masih ada lagi anak-anak yang menangis dan tak nak masuk ke kelas lagi ke agaknya?

Seorang sahabat yang menghantar anaknya ke sebuah tadika di Lembah Klang telah berkongsi satu cerita sedih dengan saya. Bukan mengenai anaknya yang tak mahu masuk ke kelas tadika tersebut. Anaknya dah tak hairan dah nak masuk kelas sebab ini dah tahun ke-3 anaknya di tadika tersebut. Dah biasa dan dah jadi 'abang long' kawasan. Jadi, apa cerita sedih di tadika tersebut?

cerita sedih di tadika


Kata sahabat saya ini, guru kelas anaknya itu mengadu beliau akan diberhentikan kerja pada penghujung bulan ini. Eh, kenapa pula? Kalau ikutkan cerita sahabat saya itu, guru tersebut merupakan seorang  guru yang bagus dan kebanyakan anak didiknya sesuai dengan cara didikannya dan mudah tangkap apa yang diajar. Kebanyakan ibu bapa juga suka dengan cara guru tersebut. Rupa-rupanya di sebalik senyum tawa antara guru-guru di tadika tersebut, ada cerita yang tak berapa best terpendam di hati guru kelas anak sahabat saya itu. Ada konflik dalaman yang mungkin melibatkan kes kroni di tadika tersebut. Guru itu dikatakan akan diberhentikan kerja kerana salah seorang guru yang lebih besar pangkatnya hendak membawa masuk anaknya bekerja di situ. Laa, macam itu pula? Saya tak arif mengenai cara pengambilan kerja di tadika sama ada melalui kementerian atau tidak, tapi tertanya-tanya juga saya boleh kah seorang guru itu diberhentikan kerja begitu saja oleh pihak tadika itu sendiri? Atas alasan apa? Tiada tempat kah untuk dibuat aduan?

Sahabat saya itu kasihan juga bila mendengarkan keluhan guru tersebut tetapi apa kan daya tidak banyak yang dapat dibantunya. Macam mana ya nak dibantu? Tanyakan pihak tadika kenapa berhentikan guru tersebut? Desak pihak tadika kekalkan guru tersebut atas sebab anak sudah serasi dengan cara guru tersebut?

Ok, katakan desakan ibu bapa berjaya dan guru tersebut tidak jadi diberhentikan kerja. Agak-agaknya selesa kah guru itu untuk terus mengajar di tadika tersebut?

Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Bagi guru tersebut, terima saja keputusan diberhentikan kerja adalah satu perkara yang sukar dan terus bekerja di tadika itu pun satu perkara yang sukar.

Tak sangka di tadika pun ada konflik sebegini rupa. Selama ini saya sangkakan kes-kes kroni, pilih kasih dan berat sebelah ini hanya berlaku di pejabat-pejabat sahaja. Ternyata silap sangkaan saya. Di institusi tadika yang kecil itu (yang sepatutnya tugas mendidik itu jadi agenda utama) pun ada juga kes begini.

Kasihan.

Di sebalik cerita anak-anak menangis di hari pertama persekolahan, ada juga cerita sedih guru yang menangis dalam diam.....





0 comments: