Tahun Baru Cina, tol dan kad yang tertinggal...

Sunday, January 22, 2017 Ana 0 Comments




Tahun Baru Cina, tol dan kad yang tertinggal...



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Tahun Baru Cina dah tak lama lagi.

Tinggal kurang dari seminggu saja untuk buat persiapan terakhir. Persiapan bukan saja untuk masyarakat Tionghua yang akan menyambutnya, tapi juga turut sama 'dikongsi' oleh kaum lain untuk buat persiapan balik ke kampung halaman mahu pun melancong ke dalam dalam atau luar negara.

Antara yang turut membantu kesibukan orang ramai untuk buat perjalanan jauh pulang ke kampung ialah syarikat konsesi tol yang akan berikan diskaun pada tarik-tarikh tertentu sempena Tahun Baru Cina nanti.

diskaun dan rebat tol sempena tahun baru cina 2017

Antaranya ialah:

1. Kumpulan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak)
- Tarikh pemberian diskaun : 28 Jan 2017 (dari 00:00 tengah malam hingga 23:59 malam)
- Diskaun bagi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) : RM 0.60 (semua kelas kenderaan)
- Diskaun bagi Lebuhraya Sprint : RM 0.20 (semua kelas kenderaan)
- Diskaun bagi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) : 10 peratus (untuk kenderaan kelas satu sahaja)


2. Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
- Tarikh pemberian rebat: 27 & 30 Jan 2017, 3 & 4 Feb 2017 (dari 00:00 tengah malam hingga 06:00 pagi)
- Lebuhraya Utara-Selatan (NSE)
- Lebuhraya ELITE
- Rebat 50% bagi kenderaan kelas satu yang menggunakan PLUSMiles, Touch 'n Go dan SmartTag
- Pengguna lebuhraya masih perlu membayar kadar tol yang biasa dan rebat akan dikreditkan ke dalam kad elektronik pengguna apabil menambah nilai (top-up) kad mereka di pusat khidmat pelanggan di antara 15 Feb dan 14 Mei 2017


3. ANIH Berhad
- Tarikh pemberian diskaun : 28 Januari 2017 (dari 00:00 tengah malam hingga 23:59 malam)
- Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak
- Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1
- Diskaun 10% bagi semua kelas kenderaan yang membuat pembayaran tol secara elektronik.

diskaun dan rebat tol sempena tahun baru cina 2017
Sumber : utusan.com.my


Tambah nilai kad elektronik anda sebelum memulakan perjalanan untuk elakkan sebarang kesulitan dalam perjalanan. Bukan semua orang bernasib baik seperti kawan saya. Beliau dan isterinya yang agak kelam kabut pada suatu pagi secara tak sengaja telah terlupa dan tertinggal kad elektronik di rumah. Bila baru perasan kad elektronik tiada dalam kereta? Ketika beberapa meter saja lagi nak sampai di mesin pembaca kad di lorong Touch n' Go itu.

Waktu pagi dengan kebanyakan warga kota mengejar masa hendak ke pejabat, pasti dah terbayang kan barisan kenderaan yang beratur panjang di belakang kereta kawan saya itu yang dah mula panik.
Tak dapat nak gambarkan kalau saya yang berada di tempat kawan saya ketika itu. Mesti dah berpeluh-peluh dengar bunyi hon dari kenderaan di belakang yang menanti giliran.

Perkara paling menarik berlaku pada kawan saya pada pagi 'bertuah' itu. Dari cermin pandang belakang keretanya, beliau nampak pemandu wanita dari kereta yang menunggu di belakang keluar dari kereta dan menuju ke arah keretanya. "Habislah, paling kurang pun mesti kena marah ni!" Begitulah lebih kurang kata-kata kawan saya ini.

Apa yang berlaku selepas itu?

Kawan saya yang panik-dan-terus-jadi-blur-tak-tahu-nak-buat-apa-terus-duduk-saja-dalam-kereta-tunggu-petugas-tol-datang itu dah siap turunkan cermin tingkap dan redha saja lah dengan apa yang akan dikatakan oleh pemandu dari kereta belakang itu.

Sebaik saja pemandu wanita itu berdiri di tepi pintu keretanya, kawan saya tak berhenti-henti minta maaf dan ceritakan apa yang berlaku. Apa reaksi pemandu wanita itu?

Pemandu wanita berbangsa Tionghua itu hanya tersenyum dan pergi ke mesin pembaca kad itu lalu menyentuh kad Touch n' Go beliau. Bukan itu saja, beliau juga menolak untuk menerima bayaran daripada kawan saya.

Pemandu wanita itu memang seorang yang berfikir panjang. Boleh saja beliau pilih untuk marah-marah kawan saya itu atau petugas tol yang belum tiba, tapi beliau pilih untuk fokus dan selesaikan masalah secepat mungkin. Masalahnya sekarang ialah kawan saya tak ada kad dan palang tak boleh buka dan barisan kenderaan yang menunggu dah panjang. Marah-marah akan dapat menaikkan palang itu? Tidak. Penyelesaiannya mudah saja. Sentuh kad Touch n' Go! Hasilnya, barisan panjang kenderaan yang menunggu kini dah mula bergerak.

Jadikan tambah nilai kad elektronik sebagai salah satu perkara dalam senarai semak sebelum memulakan perjalanan. Bukan semua orang bertuah dapat jumpa pemandu baik hati seperti wanita itu!

Rancang perjalanan anda dan bertimbangrasa di jalanraya, semoga anda akan selamat tiba....



0 comments: