Hujan, banjir dan gelombang kedua...
Hujan, banjir dan gelombang kedua...
Assalamualaikum & salam sejahtera...
Hujan turun lagi.
Sudah jadi rutin setiap petang bumi akan dibasahi hujan sejak seminggu yang lalu. Seronok dengan cuaca sejuk yang mendamaikan. Seronok juga melihat pokok dan bunga-bungaan disirami segar disirami hujan. Tapi dalam rasa seronok itu, teringat juga kepada mangsa banjir yang pastinya diselubungi rasa bimbang setiap kali mendengar titik-titik hujan mula menimpa bumbung rumah mereka...
Terasa seperti baru saja mula nak kongsi rasa gembira dengan berita banjir mulai surut di negeri-negeri pantai Timur, kini negeri-negeri seperti Pahang, Johor, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan pula mulai dilanda banjir gelombang kedua yang dibawa oleh angin bertiup dari China melintasi Laut China Selatan. Merisaukan juga bila gelombang kedua ini dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi akan berlaku sepanjang bulan Januari sehingga Mac.
Sumber : bharian.com.my |
Banjir terburuk yang pernah saya alami sepanjang hidup saya hanyalah setakat air yang naik ke paras lutut, ketika saya tinggal di Gombak sekitar tahun 90-an. Itu pun dah rasa cukup risau ketika itu. Kagum dengan mangsa banjir yang tabah mengharungi banjir terburuk di Kelantan (khususnya Kuala Krai) pada penghujung tahun 2014 yang lalu. Kagum juga dengan semangat sukarelawan yang tak kenal erti lelah membantu menguruskan keperluan mangsa banjir. Termasuk juga seorang sahabat saya yang turut serta dalam misi membantu mangsa banjir di Kelantan yang dianjurkan oleh pihak syarikat. Di saat ramai kakitangan syarikat yang sedang bersukaria menghabiskan cuti pada hujung tahun (termasuklah saya!), sahabat itu tidak kisah untuk meluangkan masanya bagi meredah banjir dan lumpur untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.
Di waktu-waktu banjir begini, selain daripada bantuan daripada pelbagai pihak yang tidak putus-putus, seandainya kawasan anda terlibat (atau berisiko terlibat dengan banjir) dengan banjir elok juga jika ambil berat dengan perkara-perkara berikut:
1. Berpindah segera ke pusat pemindahan setelah mendapat arahan
- Banyak juga laporan akhbar yang saya baca mengenai mangsa banjir terkejut dengan paras air yang naik mendadak. Jika hujan turun tidak henti-henti di tempat anda, buat persiapan yang sewajarnya dan bersiap sedia berpindah ke tempat yang lebih selamat setelah diarahkan.
2. Tidak kembali ke rumah yang masih ditenggelami banjir.
- Memang sedih melihat barang-barang peralatan rumah rosak kerana tidak sempat dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi. Tapi perlu diingat juga, barang yang rosak boleh dicari ganti, nyawa yang hilang tidak akan kembali lagi. Tak berbaloi menggadai nyawa untuk selamatkan barang jika ada bahaya yang menanti. Tunggu arahan daripada pihak berkuasa sebelum bertindak kembali semula ke rumah masing-masing.
3. Jangkakan perkara buruk yang mungkin akan terjadi
- Bukannya hendak ajak berfikiran negatif. Cuma untuk lebih berwaspada dan proaktif menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Saya sangat sedih baca laporan akhbar mengenai seorang guru vokasional yang maut setelah keretanya dihanyutkan arus banjir yang deras. Dilaporkan guru tersebut pada mulanya mengekori sebuah kereta pacuan empat roda meredah air banjir sebelum kereta itu berhenti secara tiba-tiba. Akibatnya, kereta guru tersebut terdedah kepada air yang deras sebelum dihanyutkan dan tidak sempat menyelamatkan diri.
- Walaupun anda mengagak seperti dapat meredah air banjir yang nampak masih 'cetek', adalah lebih selamat untuk tidak berbuat demikian.
4. Pastikan tahu di mana anak-anak anda berada
- Kanak-kanak dan bermain air adalah perkara yang tak dapat dipisahkan. Air boleh juga disamakan seperti api. Semasa kecil menjadi kawan, bila besar menajdi lawan. Mungkin seronok bila bermain air banjir yang setakat paras lutut tapi perlu fikir panjang bila nak main air banjir yang dah capai paras pinggang, apa tah lagi bila dah capai paras dada.
5. Pantau kebersihan tempat pemindahan
- Dalam keadaan pusat pemindahan yang menampung ratusan atau ribuan mangsa banjir, mungkin timbul juga masalah untuk memastikan tahap kebersihan tempat tidur mahupun makanan yang dibekalkan. Sumber air bersih turut jadi cabaran dalam usaha memastikan kebersihan terjaga. Sesukar mana sekalipun, kebersihan perlu juga diutamakan untuk mengelakkan timbul pula masalah kesihatan seperti cirit birit, keracunan makanan mahu pun penyakit kulit.
Hujan, banjir dan gelombang kedua...semoga mangsa-mangsa banjir terus tabah menghadapi dugaan....
اللَّÙ‡ُÙ…َّ ØَÙˆَالَÙŠْÙ†َا Ùˆَلاَ عَÙ„َÙŠْÙ†َا، اللَّÙ‡ُÙ…َّ عَÙ„َÙ‰ الآكَام Ùˆَالظِّرَابِ، ÙˆَبُØ·ُونِ الأَÙˆْدِÙŠَØ©ِ، ÙˆَÙ…َÙ†َا بِتِ الشَّجَرِ
“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah ditimpakan bencana ke atas kami. Ya Allah, turunkannya di dataran tinggi, bukit-bukit, lembah-lembah serta tempat tumbuhnya pokok-pokok”. [Al-Bukhari, Muslim].
(Sumber : abuanasmadani.blogspot)
(Sumber : abuanasmadani.blogspot)
0 comments: