Duit palsu, ATM dan mesin deposit tunai...

Tuesday, January 31, 2017 Ana 0 Comments




Duit palsu, ATM dan mesin deposit tunai...



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Setiap kali masukkan duit dalam mesin deposit tunai di cawangan bank, insiden duit tak diterima atau di reject oleh mesin itu perkara biasa. Setiap kali berlaku macam itu, saya hanya cuba gosok-gosokkan duit yang di reject itu dan cuba masukkan sekali lagi. Dan kebanyakkan masa nya, duit yang di reject itu akan diterima oleh mesin tersebut. Dan tak kurang juga ada kalanya duit yang di reject itu 'kekal' di reject dan memang tak diterima oleh mesin deposit tunai tersebut. Cara mudahnya cari saja duit lain dalam dompet untuk ganti duit itu.

Tak pernah pula saya terfikir nak periksa duit yang di reject itu dengan pihak bank. Saya fikir mudah saja. mungkin mesin deposit tunai itu ada masalah untuk terima duit tersebut. Baru hari ini 'terbuka mata' dengan berita yang dilaporkan mengenai duit palsu yang di reject oleh mesin deposit tunai, Dan duit itu pula baru saja dikeluarkan dari sebuah mesin ATM sebuah bank yang lain. Boleh baca di sini untuk berita penuh.

Sumber : bnm.gov.my


Saya pernah juga buat perkara yang sama. Keluarkan duit dari ATM Bank Islam dan depositkan melalui mesin deposit tunai Maybank. Pernah juga berlaku beberapa kali duit kertas yang masih baru dan 'keras' itu di reject oleh mesin deposit tunai tapi dengan kaedah konvensional 'gosok-gosok-duit-kertas-itu-dengan-tangan'  akhirnya berjaya depositkan kesemuanya setelah beberapa percubaan. Tak terfikir pula kemungkinan duit yang di reject itu adalah duit palsu.

Bahaya juga kes macam ini, Macam mana kalau duit RM100 yang dikeluarkan dari ATM tadi digunakan untuk beli barang? Dan di kedai itu pula peniaga telah imbas duit not RM100 kita itu dan didapati duit itu palsu. Satu hal pula nak buktikan duit itu kita baru saja keluarkan dari ATM. Bertambah rumit jika duit itu pula dah berhari-hari kita keluarkan dari mesin ATM dan kita pun dah tak ingat sama ada duit itu dari ATM atau dari tukaran duit semasa membeli barang di pasar semalam?

Baca juga:
Yang sedih dan lucu di mesin ATM...

Macam mana duit palsu boleh dikeluarkan dari mesin ATM sebuah bank? Mungkin kah duit palsu itu datangnya daripada duit yang dimasukkan melaui mesin deposit tunai juga? Mesin deposit tunai yang telah dilengkapi dengan mekanisma untuk kenal pasti duit palsu mungkin ada yang mempunyai masalah dan gagal untuk mengesan duit-duit palsu ini. Atau mungkin juga mesin tersebut hanya dapat kenal pasti duit palsu yang tertentu sahaja. Mungkin 'si pemalsu duit'  atau sindiket duit palsu ini sentiasa bergerak pantas untuk hasilkan duit palsu yang lebih 'canggih' dan sukar untuk dikesan. Di sesetengah negara maju dilaporkan bahawa mesin deposit tunai sentiasa dinaiktaraf (upgrade)  dari semasa ke semasa supaya berupaya untuk mengesan duit-duit palsu 'terkini '.

Bagaimana pula dengan mesin deposit tunai di Malaysia? Adakah sentiasa dinaiktaraf mesin dan software nya?

Duit palsu, ATM dan mesin deposit tunai. Adakah kita perlu buat 'ujian' ketulenan duit setiap kali keluarkan duit dari ATM selepas ini? 😟😟😟



0 comments:

Arahan yang 'bijak' daripada Tuan Presiden!

Sunday, January 29, 2017 Ana 0 Comments



Arahan yang 'bijak' daripada Tuan Presiden!


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Teringin nak tahu apa tindakan atau arahan terkini Tuan Presiden, Donald Trump yang dah 9 hari dilantik.

arahan trump cetus huru hara


Sakit hati juga bila baca apa yang dilaporkan di Astro Awani ini:

1. Trump pada Jumaat mengenakan empat bulan sekatan terhadap pelarian yang datang ke Amerika Syarikat. 
Bagaimanapun, beliau berkata, AS akan memberi pengecualian kepada pelarian Syria yang beragama Kristian. (Sumber:  AstroAwani.com)

Nampak  sangat ketidakadilan Tuan Presiden di situ. Kalau betul-betul nak amalkan 'America First' dan jaga sungguh-sungguh kepentingan dan kebajikan rakyat Amerika hingga nak sekat pelarian atau orang asing datang ke Amerika Syarikat, mengapa ada pengecualian pula dari segi agama yang dianuti oleh "si pelarian" itu?

"From this day forward it's going to be only America first"

Walaupun semua tindakan yang diambil oleh Tuan Presiden dikatakan adalah demi kebaikan rakyatnya, tapi nampaknya seperti lebih kepada hendak memencilkan negara AS (tak nak bercampur dengan orang lain) itu sendiri.

Baca juga:
Dah selesai angkat sumpah, apa selepas ini?

Hasil dari tindakan yang 'bijak' itu, maka berlakulah tunjuk perasaan di lapangan terbang di 11 negeri di AS, berlaku lah kekecohan bagi penumpang yang mempunyai visa yang sah tapi tidak dibenarkan masuk ke negara itu, berlaku lah persoalan sama ada larangan yang sama turut dikenakan terhadap anak kapal penerbangan yang mendarat di lapangan terbang negara itu dan pelbagai isu lain.

tunjuk perasaan di lapangan terbang AS


Tindakan Tuan Presiden yang menghalang kemasukan ke AS bagi rakyat dari 7 negara Islam (Iraq, Iran, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yaman) turut mendapat kecaman dari peneraju syarikat-syarikat mega di AS sendiri seperti CEO Apple, Netflix, AirBNB dan Facebook.  Yang paling menarik ialah Mahkamah Persekutuan AS sendiri telah mengeluarkan perintah menghalang penghantaran pulang kumpulan pelarian dan pendatang yang mempunyai dokumen sah untuk memasuki negara tersebut.

canada sedia terima pelarian


Macam kelam kabut saja pentadbiran di bawah Tuan Presiden yang baru ini.

Dengan perlaksanaan arahan eksekutif yang terkini itu, akan tercapai kah slogan "Make America Great Again" yang dilaung-laungkan Tuan Presiden semasa kempen pilihanraya yang lalu?

Sakit hati dengan arahan yang 'bijak' daripada Tuan Presiden!



0 comments:

Marah betul nampaknya!

Saturday, January 28, 2017 Ana 0 Comments



Marah betul nampaknya!



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Perasaaan marah itu timbul bila kita tak puas hati terhadap sesuatu perkara. Tidak lah salah untuk berasa marah sekali sekala (marah terhdap perkara yang betul, bukan suka-suka nak marah!) tetapi bila rasa marah itu dah tak dapat dikawal hingga memudaratkan maka sudah masanya untuk cuba cari jalan penyelesaian!

Ambil masa untuk marah.
Bila terasa nak marah, cuba kita 'lengah-lengahkan' rasa nak tunjukkan perasaan marah itu. Cakap lebih senang daripada buat kan? Saya pun tak terbuat cara ini, Dah rasa nak marah memang akan terus naik marah, tak sempat lah nak control lagi marah itu. Antara contoh ambil masa untuk marah ialah cuba buat kiraan dari 1 hingga 10. Mungkin lepas habis kira hingga 10, rasa marah dah sedikit reda dan tak berapa nak 'berapi' sangat api kemarahannya. Maka kita akan lebih rasional dalam tindakan yang diambil.


Tidak berlebihan dalam luahkan rasa marah
Bagi sesetengah orang, rasa marah itu diluahkan melalui leteran atau bebelan terhadap perkara atau seseorang yang menimbulkan rasa tak puas hatinya. Bagi sesetangah orang yang lain pula, rasa marah itu ditunjukkan dengan cara menghentak kaki atau menghempas barang (atau pinggan mangkuk melayang!)  atau hempas pintu baru dapat diredakan rasa marahnya. Yang bahayanya ialah apabila rasa marah itu diekspresikan dengan cara yang salah seperti mendera atau mencederakan orang lain. "Just because you are angry, it doesn't mean that you have to be cruel".


Macam kes dalam akhbar di bawah ini, tak tahu lah siapa yang lebih marah betul nampaknya. Sama ada si suami yang marah sangat dengan isteri sampai pergi merompak bank (macam pelik saja bunyinya!) atau si isteri yang selalu marah-marah sampai si suami tak tahan dan redakan tension dengan pergi merompak bank (memang pelik cara lepaskan tekanan itu!)

Akibat terlalu marah



Fokus untuk cari penyelesaian masalah yang menimbulkan kemarahan
Kadang-kadang perkara yang nampak remeh bagi kita boleh juga menyebabkan kemarahan bagi orang lain. Bukan semua orang boleh terima keadaan bila mana keadaan sesak di hadapan eskalator tapi di situ lah berkumpulnya satu geng sembang hendak berborak. Bukan semua orang boleh terima keadaan bila mana keadaan berasak-asak di bazar Ramadhan tapi di tengah laluan itu lah berkumpulnya geng makcik nak bertepuk tampar tanya khabar bila terserempak. Daripada kita naik marah atau naik angin dengan situasi tersebut, apa kata kita fokus cari penyelesaiannya. Daripada kita buang masa marah-marah di situ, cari saja laluan lain untuk teruskan perjalanan kita. Kan dah settle masalah? Jimat masa dan jimat tenaga (marah pun perlukan tenaga yang banyak!).


Jika kita pernah dengar atau selalu dengar orang cakap "Marah betul nampaknya!" kepada kita, jom sama-sama kita belajar mengawal rasa marah sebelum jadi tabiat dan lebih mudarat.

Cakap @ tulis memang senang tapi nak amalkan belum tentu semudah itu ....😁😁😁😁😁


0 comments:

Hujan, banjir dan gelombang kedua...

Friday, January 27, 2017 Ana 0 Comments



Hujan, banjir dan gelombang kedua...



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Hujan turun lagi.

Sudah jadi rutin setiap petang bumi akan dibasahi hujan sejak seminggu yang lalu. Seronok dengan cuaca sejuk yang mendamaikan. Seronok juga melihat pokok dan bunga-bungaan disirami segar disirami hujan. Tapi dalam rasa seronok itu, teringat juga kepada mangsa banjir yang pastinya diselubungi rasa bimbang setiap kali mendengar titik-titik hujan mula menimpa bumbung rumah mereka...

Terasa seperti baru saja mula nak kongsi rasa gembira dengan berita banjir mulai surut di negeri-negeri pantai Timur, kini negeri-negeri seperti Pahang, Johor, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan pula mulai dilanda banjir gelombang kedua yang dibawa oleh angin bertiup dari China melintasi Laut China Selatan. Merisaukan juga bila gelombang kedua ini dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi akan berlaku sepanjang bulan Januari sehingga Mac.

banjir gelombang kedua
Sumber : bharian.com.my


Banjir terburuk yang pernah saya alami sepanjang hidup saya hanyalah setakat air yang naik ke paras lutut, ketika saya tinggal di Gombak sekitar tahun 90-an. Itu pun dah rasa cukup risau ketika itu. Kagum dengan mangsa banjir yang tabah mengharungi banjir terburuk di Kelantan (khususnya Kuala Krai) pada penghujung tahun 2014 yang lalu. Kagum juga dengan semangat sukarelawan yang tak kenal erti lelah membantu menguruskan keperluan mangsa banjir. Termasuk juga seorang sahabat saya yang turut serta dalam misi membantu mangsa banjir di Kelantan yang dianjurkan oleh pihak syarikat. Di saat ramai kakitangan syarikat yang sedang bersukaria menghabiskan cuti pada hujung tahun (termasuklah saya!), sahabat itu tidak kisah untuk meluangkan masanya bagi meredah banjir dan lumpur untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Di waktu-waktu banjir begini, selain daripada bantuan daripada pelbagai pihak yang tidak putus-putus, seandainya kawasan anda terlibat (atau berisiko terlibat dengan banjir) dengan banjir  elok juga jika ambil berat dengan perkara-perkara berikut:


1. Berpindah segera ke pusat pemindahan setelah mendapat arahan
- Banyak juga laporan akhbar yang saya baca mengenai mangsa banjir terkejut dengan paras air yang naik mendadak. Jika hujan turun tidak henti-henti di tempat anda, buat persiapan yang sewajarnya dan bersiap sedia berpindah ke tempat yang lebih selamat setelah diarahkan.


2. Tidak kembali ke rumah yang masih ditenggelami banjir.
- Memang sedih melihat barang-barang peralatan rumah rosak kerana tidak sempat dipindahkan ke tempat yang lebih tinggi. Tapi perlu diingat juga, barang yang rosak boleh dicari ganti, nyawa yang hilang tidak akan kembali lagi. Tak berbaloi menggadai nyawa untuk selamatkan barang jika ada bahaya yang menanti. Tunggu arahan daripada pihak berkuasa sebelum bertindak kembali semula ke rumah masing-masing.


3. Jangkakan perkara buruk yang mungkin akan terjadi
- Bukannya hendak ajak berfikiran negatif. Cuma untuk lebih berwaspada dan proaktif menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Saya sangat sedih baca laporan akhbar mengenai seorang guru vokasional yang maut setelah keretanya dihanyutkan arus banjir yang deras. Dilaporkan guru tersebut pada mulanya mengekori sebuah kereta pacuan empat roda meredah air banjir sebelum kereta itu berhenti secara tiba-tiba. Akibatnya, kereta guru tersebut terdedah kepada air yang deras sebelum dihanyutkan dan tidak sempat menyelamatkan diri.
- Walaupun anda mengagak seperti dapat meredah air banjir yang nampak masih 'cetek', adalah lebih selamat untuk tidak berbuat demikian.


4. Pastikan tahu di mana anak-anak anda berada
- Kanak-kanak dan bermain air adalah perkara yang tak dapat dipisahkan. Air boleh juga disamakan seperti api. Semasa kecil menjadi kawan, bila besar menajdi lawan. Mungkin seronok bila bermain air banjir yang setakat paras lutut tapi perlu fikir panjang bila nak main air banjir yang dah capai paras pinggang, apa tah lagi bila dah capai paras dada.


5. Pantau kebersihan tempat pemindahan
- Dalam keadaan pusat pemindahan yang menampung ratusan atau ribuan mangsa banjir, mungkin timbul juga masalah untuk memastikan tahap kebersihan tempat tidur mahupun makanan yang dibekalkan. Sumber air bersih turut jadi cabaran dalam usaha memastikan kebersihan terjaga. Sesukar mana sekalipun, kebersihan perlu juga diutamakan untuk mengelakkan timbul pula masalah kesihatan seperti cirit birit, keracunan makanan mahu pun penyakit kulit.


Hujan, banjir dan gelombang kedua...semoga mangsa-mangsa banjir terus tabah menghadapi dugaan....


اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَام وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَا بِتِ الشَّجَرِ 

 “Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah ditimpakan bencana ke atas kami. Ya Allah, turunkannya di dataran tinggi, bukit-bukit, lembah-lembah serta tempat tumbuhnya pokok-pokok”.  [Al-Bukhari, Muslim].
(Sumber : abuanasmadani.blogspot)



0 comments:

Perjuangan ini bukanlah hak Musa seorang.....

Friday, January 27, 2017 Ana 0 Comments



Perjuangan ini bukanlah hak Musa seorang...



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya



Tak banyak yang nak saya tulis pagi ini cuma sedikit coretan daripada ketibaan saudara Musa Nuwayri di KLIA yang ditonton di FB live malam tadi. Terima kasih kepada PU Rahmat bersama Yayasan Amal Terengganu yang sudi kongsikan temubual bersama saudara Musa terutama buat followers yang tertanya-tanya ingin tahu perkara sebenar yang berlaku. Pun begitu, mungkin perlukan sedikit masa untuk dapatkan gambaran sebenar daripada saudara Musa.


Sumber : FB Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan


Baca juga :
Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi

Selain gembira tengok saudara Musa yang masih bersemangat teruskan perjuangan, yang saya paling suka ialah kata-kata bapa Musa iaitu Prof Kamaruzaman Yusoff yang turut sama ditemubual oleh PU Rahmat (anda boleh tonton di sini)


"...terus berikan sokongan kepada perjuangan kemanusiaan yang tak ada tempoh masanya dan merentasi sempadan supaya kita dapat meneruskan perjuangan ini..."

"Perjuangan ini bukanlah hak Musa seorang, tapi hak seluruh manusia yang inginkan keharmonian, keselamatan dan memastikan supaya dunia berada dalam keadaan selamat, boleh diduduki oleh semua makhluk Allah SWT di muka bumi ini..."

Terbaik!


*Kita semua boleh dan mampu berjuang, dalam cara kita sendiri!*

 

0 comments:

Buat saudara Musa Nuwayri, semoga anda akan terus kuat!

Thursday, January 26, 2017 Ana 0 Comments



Buat saudara Musa Nuwayri, semoga anda akan terus kuat!


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Musa Nuwayri.

Bukan nama kecil di kalangan anak-anak Syria di bumi Jordan. Bagi anak-anak ini, beliau lah abang, dan beliau lah ayah bagi mereka. Pertubuhan NGO Tangisan Syria Di Bumi Jordan yang telah diasaskan oleh beliau telah banyak berbakti untuk membantu pelarian Syria di bumi Jordan.

Tangisan syria di bumi jordan
Sumber : FB Musa Nuwayri


Terkejut bila baca berita di FB beliau pagi ini. Kelibat dan 'wajah kesayangan hamba' anak-anak Syria ini kini tiada lagi di bumi Jordan. Beliau dihalau keluar dari bumi Jordan ketika pengajiannya tinggal berbaki beberapa bulan saja lagi.

Tangisan syria di bumi jordan
Sumber : FB Musa Nuwayri


Punca dan alasan beliau dihalau keluar?

Kerana beliau membantu pelarian Syria di Jordan...

😖😖😖😢😢😢


Tangisan syria di bumi jordan
Sumber : FB Musa Nuwayri


Sekolah KITA untuk anak-anak Syria di Jordan pasti akan meneruskan apa yang telah diasaskan oleh Musa dan sahabat-sahabat beliau. Anak-anak Syria yang telah dianggapnya sebagai anak kandung itu pasti akan merindui beliau.

Baca juga :
Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi


Kembalinya Musa ke tanah air bukan penamat kepada perjuangan Tangisan Syria Di Bumi Jordan. Pasti ada hikmahnya di sebalik apa yang berlaku.

Perjuangan dan pengorbanan seorang anak muda yang merantau menimba ilmu dan berbakti pada masa yang sama. Tak ramai yang mampu (atau mahu) menggalas tanggungjawab seberat itu di usia muda belia. Semoga lebih ramai 'Musa Nuwayri' yang akan dilahirkan selepas ini.

Perjuangan beliau pasti akan diteruskan.

Follow Musa Nuwayri di FB beliau (Musa Nuwayri) dan FB Tangisan Syria Di Bumi Jordan.

Buat saudara Musa Nuwayri, anda telah melakar sejarah dan kisah anda yang tersendiri.

Buat saudara Musa Nuwayri, yakinlah apa yang terjadi ada hikmahnya yang tersirat.

Buat saudara Musa Nuwayri, semoga anda akan terus kuat!

*Bagi anda yang berkelapangan boleh bersama-sama sambut ketibaan saudara Musa Nuwayri di KLIA jam 9:30 malam ini*

0 comments:

Tulis blog baik untuk kesihatan?

Thursday, January 26, 2017 Ana 0 Comments



Tulis blog baik untuk kesihatan?



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Semalam seharian hujan turun tak berhenti. Mudah betul nak demam waktu hujan-hujan (walaupun tak mandi hujan!) dan cuaca sejuk begini. Ditambah pula dengan batuk dan selesema, maka lengkaplah satu pakej. Sama-sama lah kita jaga kesihatan dalam cuaca tak menentu ini. Saya ada terbaca yang menulis blog itu baik untuk kesihatan. Betul ke ni?


jom tulis blog


Tulis blog baik untuk kesihatan kerana...

1. Dapat luahkan apa yang terpendam dalam hati dalam bentuk penulisan. Pada amsa yang sama dapat meningkatkan kualiti penulisan kita. Tulis blog lebih kurang macam tulis diari/jurnal juga. Tak kira lah apa yang hendak diluahkan, sama ada luahan hati, pendapat, idea mahu pun kritikan. Di saat anda gembira, sedih, marah dan ada rasa 'membuak-buak' nak luahkan apa dalam hati, maka capailah handphone/laptop anda dan mula tulis blog! Tapi perlu berhati-hati juga supaya apa yang diluahkan itu tak terlalu mengikut perasaan dan terlebih emosional pula.



Tulis blog baik untuk kesihatan kerana...

2. Dengan menulis blog, kita mula praktikkan apa yang kita tulis. Contoh mudah ialah jika kita hendak mula menabung atau menyimpan wang. Mulakan dengan menulis cara-cara menyimpan wang. Tulis setiap langkah yang kita buat untuk menyimpan wang contohnya seperti kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, simpan 10 peratus daripada gaji, menabung mengikut warna duit kertas (simpan wang guna cara ini memang seronok!) dan lain-lain lagi. Secara tak langsung kita akan termotivasi untuk terus amalkan apa yang kita tulis di blog. Ditambah pula bila ada pembaca yang turut serta ikuti 'perjalanan' anda dalam usaha menyimpan wang dan beri komen dari semasa ke semasa. Pasti anda akan lebih bersemangat nak menabung dan tunjukkan hasil tabungan anda setelah mengikut tips yang anda kongsikan dalam blog itu kan. Anda nak kurus?  Mulakan tulis blog mengenai cara-cara diet hari ini juga!



Tulis blog baik untuk kesihatan kerana...

3. Selain dapat memberi manfaat secara fizikal (seperti contoh simpan wang dan berdiet di atas), tuls blog juga dapat memberikan manfaat dari segi mental. Tulis blog bukan saja dapat melatih otak kita untuk terus sentiasa berfikir dan mencari idea-idea baru, ia juga dapat memberikan satu kepuasan dan kegembiraan bila mana apa yang kita tulis itu memberi manfaat dan dapat membantu pembaca blog kita. Apa tah lagi kalau apa yang kita tulis itu dijadikan panduan oleh pembaca sehingga berjaya capai apa yang diinginkan. Seronok kan dapat membantu!



Tulis blog baik untuk kesihatan kerana...

4. Dapat melatih dan membentuk disiplin diri. Contohnya, kita telah tetapkan dan janji pada diri sendiri nak tulis sekurang-kurangnya 2 entry untuk satu hari. Mungkin pada mulanya agak sukar, tetapi lama kelamaan kita akan dapat melatih diri untuk bahagikan masa cari idea untuk menulis. Disiplin kan diri untuk sediakan masa update blog. Mana tahu sampai mampu pula nak siapakan 5 entry untuk satu hari! Itu pun masih dikira sedikit sebab saya ada terbaca seorang blogger terkenal ini pada awal penulisan blog nya beliau tulis hingga 15 entry untuk satu hari!


Menulis blog itu baik untuk kesihatan....Jom tulis blog! 😊😊😊


0 comments:

Nak beg plastik atau nak jimat 20 sen?

Wednesday, January 25, 2017 Ana 0 Comments



Nak beg plastik atau nak jimat 20 sen?



Assalamualaikum & salam sejahtera.....


Setiap kali saya baca di akbar atau tonton berita di tv mengenai masalah rungutan orang ramai terpaksa bayar 20 sen untuk beg plastik di Selangor mulai 1 Januari yang lalu, saya tertanya-tanya sendiri dalam hati.

Tiada paksaan kan untuk pengguna bayar 20 sen itu? Kalau kita memang tak nak bayar lebih 20 sen untuk beg plastik setiap kali keluar beli barang, maka awal-awal lagi siap sedia bawa beg sendiri dari rumah. Tujuan dikenakan caj 20 sen itu pun pada fahaman saya ialah untuk galakkan orang ramai tidak gunakan/minta beg plastik bagi tujuan pemeliharaan dan lebih prihatin dengan isu alam sekitar. Mungkin pelaksanaannya yang agak mengejut buatkan ramai pengguna yang mengeluh. Tapi, itu lah. Tiada paksaan pun untuk bayar caj 20 sen itu, Pilihan ada di tangan pengguna. Tak nak bayar 20 sen, bawa beg sendiri dari rumah, Senang kan?

Bukan semua barang yang dibeli tidak akan diberikan plastik secara percuma. Antara yang dikecualikan ialah barangan jenis makanan dan tumbuh-tumbuhan, produk ubat-ubatan, hidupan akuatik, makanan daging mentah, makanan untuk haiwan, sayur-sayuran dan biji benh yang tidak dibungkus (rujuk di sini).

beg plastik di caj 20 sen di selangor
Sumber : sinarharian.com.my


Bagi peniaga pula, saya kurang pasti sama ada terdapat undang-undang atau penguatkuasaan mengenai caj 20 sen ini, Kalau peniaga tak kenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pengguna, adakah peniaga akan dikenakan tindakan? Pusat beli belah berhampiran rumah saya tidak atau masih belum lagi mengenakan caj 20 sen bagi beg plastik (kecuali pada hari Sabtu). Di sebuah pasaraya di Bangi pula hanya mengenakan caj 20 sen untuk sehelai beg plastik yang digunakan pada hari Sabtu. Maksudnya jika anda beli barang di pasaraya tersebut pada hari Sabtu dan anda perlukan 5 beg plastik untuk isi barang-barang yang dibeli, anda hanya di caj 20 sen sahaja dan bukannya RM1.

Ada peniaga yang kena kan caj dan ada yang tak kenakan caj bagi beg plastik, Mungkin belum betul-betul dikuatkuasakan larangan penggunaan beg plastik ini? Daripada apa yang dilaporkan sebelum ini, larangan penggunaan plastik telah menjadi salah satu syarat pembaharuan lesen dan denda maksima RM1,000 akan dikenakan jika melanggar syarat ini.

Ok, jom kita kembali semula kepada perkara pokok.

Matlamat asal mengenakan caj 20 sen untuk beg plastik adalah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan beg sendiri ketika membeli barang.

Kenapa nak kena guna beg sendiri?

Untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.

Kenapa nak kurangkan guna beg plastik?

Kerana beg plastik tidak mudah terurai dan ambil masa ratusan tahun untuk dilupuskan. Selain itu dapat juga mengurangkan longkang yang tersumbat disebabkan beg plastik, kurangkan pembebasan bahan penyebab kanser iaitu karsinogen apabila beg plastik dibakar serta kurangkan kes kematian penyu yang makan beg plastik yang disangkakan obor-obor.

Err...tapi boleh pula guna beg plastik jika bayar 20 sen? Adakah beg plastik yang dibeli dengan harga 20 sen akan mudah terurai dan dilupuskan?

Bagi mencapai matlamat memelihara alam sekitar, adalah lebih sesuai sekiranya 'dihapuskan' terus penggunaan beg plastik (dan bukannya dijual) dan disediakan alternatif seperti beg kertas atau kotak untuk mengisi barang. Mungkin sedikit sukar pada permulaannya, tapi alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil untuk dilakukan malah telah terbukti perlaksanaan yang berjaya di Melaka. Bermula dengan hari tanpa plastik pada Jumaat, Sabtu dan Ahad pada dan diakhirnya dilaksanakan hari tanpa plastik sepenuhnya di Melaka bermula Januari tahun lepas.

Nak beg plastik atau nak jimat 20 sen?

Jom kita sama-sama  #BebasPlastik mulai hari ini!


0 comments:

Anugerah Juara Lagu ke-31 milik 'Lelaki Teragung'!

Monday, January 23, 2017 Ana 0 Comments


Anugerah Juara Lagu ke-31 milik 'Lelaki Teragung'!



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Tahniah Lelaki Teragung!

lelaki teragung menang AJL31

Terlepas tonton persembahan pertama dari Akim & The Majistret dengan lagu 'Obses' dalam Anugerah Juara Lagu (AJL31) tadi. Apabila tonton rakaman yang di share di FB, err...macam kurang menarik konsep yang dibawakan dalam persembahan lagu 'Obses' ini. Sebenarnya takut tengok solekan wajah Akim macam itu!

Persembahan Aiman Tino yang disertai lakonan Arja Lee dan seorang wanita, nampak agak kosong di pentas sebesar AJL ini. Bukan lah maksud saya perlu dipenuhkan pentas itu dengan segala macam props atau pelakon dan sketsa baru pentas tak nampak 'kosong'. Black dengan persembahan lagu 'Anugerah Terindah' dan 'Terakhir' dendangan Sufian Suhaimi membuktikan kekuatan vokal mampu menguasai pentas yang gah itu.

Lagu 'Setia' dendangan pasangan Awi Rafael dan Elizabeth Tan tak berapa nak menangkap di telinga. ditambah pula dengan corak persembahan yang kurang menarik berbanding pasangan Hafiz -Misha  dan Alif Satar - Shila Amzah untuk lagu berentak perlahan. Pasangan duet Mawi dan Syamsul Yusuf memberikan persembahan yang sangat bertenaga dengan lagu 'Kalah Dalam Menang' Hebat juga Syamsul ni rap ya! Pasangan Hafiz - Misha yang masing-masing pernah memanagi kategori vokal terbaik sebelum ini berjaya pulang dengan kemenangan di tempat kedua kategori lagu terbaik.

AJL31 kalah dalam menang

Persembahan 'penuh pentas' daripada kumpulan Khalifah mengembalikan nostalgia kepada persembahan Noraniza Idris di AJL suatu ketika dulu. Lengkap dengan kumpulan dikir barat, pasangan ibu bapa dan ayam dalam sangkar di atas pentas, ternyata semua itu tidak sia-sia apabila kumpulan Khalifah dipilih memenangi anugerah Persembahan Terbaik dengan wang hadiah RM12,000 yang diundi oleh penonton melalui laman web, menewaskan Hazama yang juga memberikan persembahan menarik melalui lagu Di Amaran Mama. Projektor Band dengan lagu 'Sudah Ku Tahu' yang turut menyelitkan drama dalam persembahan juga tewas kepada kumpulan Khalifah namun masih mampu tersenyum bila mendapat tempat ketiga kategori lagu terbaik.

AJL31 - Khalifah menang persembahan terbaik


Satu-satunya persembahan yang buat bulu roma meremang malam ini ialah dari Dayang Nurfaizah dengan lagu 'Lelaki Teragung'. Suara emas Dayang memang tak dinafikan lagi berjaya mengindahkan lagu yang menjadi soundtrack drama '7 Hari Mencintaimu' itu. Tak perlu banyak gimik, aksi, prop mahupun lakonan di atas pentas, persembahan penuh jiwa daripada Dayang itu akhirnya berjaya memenangi lagu terbaik dan juga vokal terbaik, mencipta hatrick setelah turut menang vokal terbaik pada AJL30 dan AJL29 yang lepas.


AJL31 - dayang nurfaizah vokal terbaik

AJL31 - dayang nurfaizah vokal terbaik

Tahniah 'Lelaki Teragung'!

Lagu : Lelaki Teragung
Komposer: Natasyah 
Lirik: Iman Imran

Ku sesali 
Kerna pernah cuba 
Sakiti hatimu 
Sedang diri ini 
Tidak mampu 
Untuk hidup tanpa 
Cintamu di sisi 

Cinta lelaki teragung 
Membuat aku berbahagia 
Kaulah kekasih di dunia 
Dan di syurga 
Oh kekasih

Kembalikan 
Cinta yang pernah ada 
Dalam hatiku 
Walau dirimu pernah terluka 
Ku akui segalanya salahku 

Cinta lelaki teragung 
Membuat aku berbahagia 
Kaulah kekasih di dunia 
Dan di syurga


Meskipun kesetiaan 
Yang selalu dipersia 
Namun engkau tidak pernah lelah 
Untuk bertahan 
Ku mengerti kini semua 
Demi cintamu kepadaku 
Padaku 

Kasih 
Pabila bersama 
Dunia terasa sempurna 
Jangan tinggalkan diriku 
Oh sayangku

Cinta lelaki teragung 
Membuat diriku berbahagia 
Engkaulah kekasih di dunia 
Dan di syurga 




0 comments:

Tahun Baru Cina, tol dan kad yang tertinggal...

Sunday, January 22, 2017 Ana 0 Comments




Tahun Baru Cina, tol dan kad yang tertinggal...



Assalamualaikum & salam sejahtera....


Tahun Baru Cina dah tak lama lagi.

Tinggal kurang dari seminggu saja untuk buat persiapan terakhir. Persiapan bukan saja untuk masyarakat Tionghua yang akan menyambutnya, tapi juga turut sama 'dikongsi' oleh kaum lain untuk buat persiapan balik ke kampung halaman mahu pun melancong ke dalam dalam atau luar negara.

Antara yang turut membantu kesibukan orang ramai untuk buat perjalanan jauh pulang ke kampung ialah syarikat konsesi tol yang akan berikan diskaun pada tarik-tarikh tertentu sempena Tahun Baru Cina nanti.

diskaun dan rebat tol sempena tahun baru cina 2017

Antaranya ialah:

1. Kumpulan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak)
- Tarikh pemberian diskaun : 28 Jan 2017 (dari 00:00 tengah malam hingga 23:59 malam)
- Diskaun bagi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) : RM 0.60 (semua kelas kenderaan)
- Diskaun bagi Lebuhraya Sprint : RM 0.20 (semua kelas kenderaan)
- Diskaun bagi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) : 10 peratus (untuk kenderaan kelas satu sahaja)


2. Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS)
- Tarikh pemberian rebat: 27 & 30 Jan 2017, 3 & 4 Feb 2017 (dari 00:00 tengah malam hingga 06:00 pagi)
- Lebuhraya Utara-Selatan (NSE)
- Lebuhraya ELITE
- Rebat 50% bagi kenderaan kelas satu yang menggunakan PLUSMiles, Touch 'n Go dan SmartTag
- Pengguna lebuhraya masih perlu membayar kadar tol yang biasa dan rebat akan dikreditkan ke dalam kad elektronik pengguna apabil menambah nilai (top-up) kad mereka di pusat khidmat pelanggan di antara 15 Feb dan 14 Mei 2017


3. ANIH Berhad
- Tarikh pemberian diskaun : 28 Januari 2017 (dari 00:00 tengah malam hingga 23:59 malam)
- Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak
- Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1
- Diskaun 10% bagi semua kelas kenderaan yang membuat pembayaran tol secara elektronik.

diskaun dan rebat tol sempena tahun baru cina 2017
Sumber : utusan.com.my


Tambah nilai kad elektronik anda sebelum memulakan perjalanan untuk elakkan sebarang kesulitan dalam perjalanan. Bukan semua orang bernasib baik seperti kawan saya. Beliau dan isterinya yang agak kelam kabut pada suatu pagi secara tak sengaja telah terlupa dan tertinggal kad elektronik di rumah. Bila baru perasan kad elektronik tiada dalam kereta? Ketika beberapa meter saja lagi nak sampai di mesin pembaca kad di lorong Touch n' Go itu.

Waktu pagi dengan kebanyakan warga kota mengejar masa hendak ke pejabat, pasti dah terbayang kan barisan kenderaan yang beratur panjang di belakang kereta kawan saya itu yang dah mula panik.
Tak dapat nak gambarkan kalau saya yang berada di tempat kawan saya ketika itu. Mesti dah berpeluh-peluh dengar bunyi hon dari kenderaan di belakang yang menanti giliran.

Perkara paling menarik berlaku pada kawan saya pada pagi 'bertuah' itu. Dari cermin pandang belakang keretanya, beliau nampak pemandu wanita dari kereta yang menunggu di belakang keluar dari kereta dan menuju ke arah keretanya. "Habislah, paling kurang pun mesti kena marah ni!" Begitulah lebih kurang kata-kata kawan saya ini.

Apa yang berlaku selepas itu?

Kawan saya yang panik-dan-terus-jadi-blur-tak-tahu-nak-buat-apa-terus-duduk-saja-dalam-kereta-tunggu-petugas-tol-datang itu dah siap turunkan cermin tingkap dan redha saja lah dengan apa yang akan dikatakan oleh pemandu dari kereta belakang itu.

Sebaik saja pemandu wanita itu berdiri di tepi pintu keretanya, kawan saya tak berhenti-henti minta maaf dan ceritakan apa yang berlaku. Apa reaksi pemandu wanita itu?

Pemandu wanita berbangsa Tionghua itu hanya tersenyum dan pergi ke mesin pembaca kad itu lalu menyentuh kad Touch n' Go beliau. Bukan itu saja, beliau juga menolak untuk menerima bayaran daripada kawan saya.

Pemandu wanita itu memang seorang yang berfikir panjang. Boleh saja beliau pilih untuk marah-marah kawan saya itu atau petugas tol yang belum tiba, tapi beliau pilih untuk fokus dan selesaikan masalah secepat mungkin. Masalahnya sekarang ialah kawan saya tak ada kad dan palang tak boleh buka dan barisan kenderaan yang menunggu dah panjang. Marah-marah akan dapat menaikkan palang itu? Tidak. Penyelesaiannya mudah saja. Sentuh kad Touch n' Go! Hasilnya, barisan panjang kenderaan yang menunggu kini dah mula bergerak.

Jadikan tambah nilai kad elektronik sebagai salah satu perkara dalam senarai semak sebelum memulakan perjalanan. Bukan semua orang bertuah dapat jumpa pemandu baik hati seperti wanita itu!

Rancang perjalanan anda dan bertimbangrasa di jalanraya, semoga anda akan selamat tiba....



0 comments:

Dah selesai angkat sumpah, apa selepas ini?

Saturday, January 21, 2017 Ana 0 Comments




Dah selesai angkat sumpah, apa selepas ini?



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Donald Trump selesai angkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 di Capitol Hill, Washington DC jam 1 :15 pagi (waktu Malaysia) tadi.

Sejarah tercipta di mana beliau merupakan presiden pertama negara tersebut yang tidak pernah berkhidmat sebagai tentera atau memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Dah selesai angkat sumpah, apa selepas ini?

"From this day forward it's going to be only America first"

Arah untuk kaji semula beban perundangan Obamacare (Affordable Care Act) yang diperkenalkan pada tahun 2010 di bawah pentadbiran Obama..

Donald Trump angkat sumpah presiden AS ke-45


Pecat 80 duta AS (yang dilantik Obama) yang berada di luar negara tanpa sediakan senarai pengganti.

AS secara rasmi tarik diri daripada perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Donald Trump angkat sumpah presiden AS ke-45



Berubahkah imej Amerika di mata dunia dengan perlantikan Donald Trump? Donald Trump penyelamat atau....?




Selain perubahan-perubahan di atas dan disulami dengan bantahan serta tunjuk perasaan di pelbagai negara, dijangkakan banyak lagi yang 'menarik' akan berlaku selepas ini. 'Menarik' untuk 'ditonton' bukan saja untuk warga AS, malah untuk seluruh warga dunia.

Donald Trump angkat sumpah presiden AS ke-45


Kita tunggu dan lihat...

BAca juga:
Arahan yang 'bijak' daripada Tuan Presiden!


'Kagum' dengan kemampuan Trump melangkah sejauh ini sehingga akhirnya menjadi Presiden AS? Think Like A Champ, klik sini untuk tahu rahsia nya!








0 comments:

Sekarang baru saya faham perasaan pelanggan!

Friday, January 20, 2017 Ana 0 Comments



Sekarang baru saya faham perasaan pelanggan!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Perlu 'dikejar' baru lah dapat jawapan.

Teringat kisah lebih seminggu yang lalu. .

Pagi-pagi lagi dah dapat sms makluman prepaid akan tamat pada hari itu. Login ke Maybank2u, pilih Prepaid Topup with Pin. Isi info dan pilih jumlah Topup RM30 dan confirm. Account debited. Transaction successful. Tunggu reload pin dihantar ke handphone.

Tunggu seminit.

Tunggu dua minit.

Tunggu lima minit.

Tunggu 5 jam.

Tak ada. Tak ada reload pin yang diterima.

Ada masalah nak terima sms ke handphone ni? Bila cuba hantar dan terima sms dari handphone lain ok saja, tak ada masalah.

masalah beli topup prepaid di m2u


Nak tak nak kena lah hantar email kepada call centre Maybank. Kenapa tak call saja kan lebih cepat? Tak nak. Bil saya untuk bulan lepas agak tinggi disebabkan panggilan ke call centre Digi untuk selesaikan masalah double charge atas broadband saya. Masalah double charge disebabkan pihak sana, saya pula yang kena tanggung bil telefon yang tinggi.

Hantar email kepada call centre Maybank dan dengan segera nya dapat reply. Email reply yang standard. Ok lah tu, tandanya email saya diterima dan harap-harap nya sedang diambil perhatian dan saya akan dapat reload pin saya tak lama lagi. Harap-harap nya lah.

masalah beli topup prepaid di m2u


Kalau ikutkan email di atas, Maybank akan reply issue saya itu dalam masa 3 hari. Maka saya dengan penuh kesabaran menunggu lah selama 3 hari.

Tiga hari dah berlalu. Tak ada sebarang bayang email dari Maybank dalam inbox saya.

Hantar email lagi. Sekali lagi dapat email reply yang standard. Sebiji sama setiap patah perkataan seperti email yang lalu. Saya harapkan bila saya hantar email untuk kali kedua ini dapatlah sedikit maklumat tambahan atau sekurang-kurangnya ayat menyedapkan hati seperti 'we have escalated your issue to the relevant department' atau pun 'we are in the midst of investigating your issue and will update you on the status as soon as possible'.

Saya tunggu lagi 3 hari bekerja selepas hantar email kedua. Sekali lagi saya hantar email untuk bertanyakan status isu dan kali ini saya lebih tegas dan dah kurang ayat 'mesra-pelanggan' seperti email pertama. Sekali lagi, saya terima email yang sama seperti di atas!

Terpaksa juga nampaknya minta tolong dan menyusahkan seorang sahabat dan melalui pertolongan beliau, akhirnya semalam saya dapat panggilan daripada call centre Maybank dan dapat juga Reload Pin yang ditunggu-tunggu.

Kecewa juga bila hadapi perkara sebegini dengan syarikat lama saya bekerja. Saya pun tak harapkan dapat respons pantas hanya sebab saya ex-Maybanker cuma email reply itu agak tak memuaskan hati. Rasa seperti isu yang saya laporkan tak diendahkan dan email auto reply itu buat saya rasa macam tak ada orang yang baca pun email aduan tersebut.

Baru sekarang saya tahu macam mana perasaan pelanggan bila lambat dapat respons untuk aduan masalah yang mereka hadapi. Sebelum ini semasa saya yang berada di bahagian IT selalu juga merungut bila call centre selalu follow up issue daripada customer. Merungut itu bukan sebab tak suka nak siasat punca masalah dan cari cara jalan nak selesaikan tapi merungut sebab kadang kala tak cukup tangan dan masa nak siasat isu-isu yang dilaporkan.

Bila diri sendiri dah jadi pelanggan baru tahu macam mana rasanya! Itu pun baru tunggu 6 hari nak dapat respons, dah rasa 'tension', belum lagi macam sesetengah customer yang berbulan-bulan baru dapat respons!

Diharap akan ada penambahbaikan dalam cara menguruskan aduan dari pelanggan di masa akan datang....

Kata-kata 'kita tak akan tahu apa yang dilalui oleh seseorang melainkan kita berada di tempatnya' memang sangatlah ada benarnya.

Bila dah terkena pada diri sendiri, sekarang baru saya faham perasaan pelanggan!

0 comments: