Ikan siakap bakar di bazar Ramadhan...

Monday, May 29, 2017 Ana 0 Comments



Ikan siakap bakar di bazar Ramadhan...


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Ramai yang mengeluh harga makanan di bazar Ramadhan mahal, tapi kenapa beli juga?

Beli sebab nak mengisi perut? Oh, kalau begini, jika nak membeli di bazar Ramadhan, cukup saja sekadar nasi kosong dengan lauk yang ringkas. Tak perlu nak membeli roti John yang dikhabarkan berharga RM6 hingga RM9 mahupun ayam golek yang dilaporkan berharga RM20! 😮

Sebut pasal ayam golek yang dijual dengan harga RM20 seekor di bazar Ramadhan, petang tadi saya mencari-cari ikan bakar yang emak saya teringin nak makan. Dari rumah lagi emak dah pesan, kalau beli ikan bakar di bazar Ramadhan, jangan beli kalau harga nya lebih daripada RM10. Dan pesanan itu emak ulang-ulang lagi sewaktu saya dah mula start enjin kereta untuk ke bazar Ramadhan. Saya anggukkan saja walaupun dalam hati terasa macam saya akan 'gagal' nak patuhi pesanan emak itu.

Bazar Ramadhan yang terdekat dengan rumah saya terletak di Setiawangsa. Lagi 20 meter menghampiri bazar, kenderaan telah berderet panjang. Saya gagahkan juga pandu sampai betul-betul dekat dengan kawasan bazar, mujur ada petak letak kereta yang masih kosong. Jadi jika anda juga ingin berkunjung ke bazar Ramadhan di Setiawangsa, jangan risau jika dari jauh anda lihat deretan kenderaan yang panjang. Terus saja pandu dan jika ada rezeki akan ada petak letak kereta yang kosong dekat dengan bazar sebab kebanyakan pemandu biasanya apabila lihat kenderaan yang berderet-deret mula lah lencong ke tempat lain.

Ok, sekarang misi mencari ikan bakar bermula. Langkah kanan nampaknya apabila gerai yang kedua (jika anda bermula daripada gerai yang terletak berhampiran CIMB) ada menjual ikan bakar. Tidak terus membeli, saya survey dulu hingga ke hujung dunia  deretan gerai yang ada. Akhirnya saya kembali kepada gerai yang kedua tadi dan meninjau-ninjau ikan-ikan bakar yang ada.

"Yang ni berapa dik?"

"Yang tu ikan siakap kak. Saya baru je bakar tu"

"Berapa ringgit?"

"RM20"

"Oooo" (siap dengan gaya mulut apabila sebut "ooo" itu sebab nampak macam mahal benar harga ikan siakap itu dan tak padan dengan saiz nya)

"Yang itu pula?"

"Yang ni ikan terubuk. Satu RM10 kak" 

Lama juga saya termenung depan gerai tersebut (mujur tak ramai orang ketika itu). Berbelah bahagi antara pesanan emak dengan pilihan ikan yang ada depan mata. Dalam hati dah teringin nak makan ikan siakap itu tapi apabila fikir balik harganya buat saya berfikir 10 kali. Pada masa yang sama saya pun teringat yang ikan terubuk itu macam kecil saja dan lagipun ikan terubuk banyak tulang kan susah nak makan? Macam-macam lagi lah alasan sebab dah berat sebelah nak pilih ikan siakap.

Jadi ikan mana yang saya pilih? Ikan dalam gambar di bawah. Ikan yang buatkan saya kena leter dengan emak sebab tak dengar cakap dan beli ikan-bakar-yang-masa-di-gerai-tadi-saya-nampak-macam-besar-bila-sampai-rumah-nampak-kecil-pula dan mahal mengalahkan ayam golek yang berharga RM20 itu!



Dah tahu mahal, jadi kenapa beli juga? Dalam kes saya ini sebab saya fikirkan lebih baik belikan untuk emak saya ikan siakap yang walaupun mahal tapi lebih berbaloi (berbaloi ke?) berbanding ikan yang lain. Saya perasan juga saya ada pernah beli ikan siakap bakar di bazar yang sama pada tahun lalu juga dengan harga RM20 tapi dengan saiz ikan yang lebih besar.

Di bazar Ramadhan Setiawangsa tadi tiada pula saya nampak roti John yang dijual dengan harga yang mahal sehingga RM6 atau RM9. Roti John 'special' sungguh agaknya jika mahal sampai begitu sekali. Jika teringin sangat nak makan roti John, apa kata cuba buat sendiri dengan resepi mudah yang ditunjukkan oleh Sheila Rusly dalam rancangan kegemaran saya di bulan Ramadhan iaitu 'Ketuk-ketuk Ramadhan' tengahari tadi. Cuma dalam rancangan tadi ditukar nama roti John itu kepada roti Debab! 😃

Baca juga:
Rindu 'air biru' di bazar Ramadhan!


Jadi jika harga makanan di bazar Ramadhan dikatakan mahal, tak perlu mengeluh. Kuasa di tangan kita sebagai pembeli. Tiada siapa yang memaksa kita untuk membeli. Jika teringin juga, beli lah setakat yang perlu dan mungkin itu kali pertama dan terakhir kita akan membeli di gerai yang mahal itu.

Siakap senohong...gelama ikan duri..
Tak dapat nak tolong...ikan siakap bakar mahal tapi nak juga beli....😛



0 comments: