Ikan siakap bakar di bazar Ramadhan...

Monday, May 29, 2017 Ana 0 Comments



Ikan siakap bakar di bazar Ramadhan...


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Ramai yang mengeluh harga makanan di bazar Ramadhan mahal, tapi kenapa beli juga?

Beli sebab nak mengisi perut? Oh, kalau begini, jika nak membeli di bazar Ramadhan, cukup saja sekadar nasi kosong dengan lauk yang ringkas. Tak perlu nak membeli roti John yang dikhabarkan berharga RM6 hingga RM9 mahupun ayam golek yang dilaporkan berharga RM20! 😮

Sebut pasal ayam golek yang dijual dengan harga RM20 seekor di bazar Ramadhan, petang tadi saya mencari-cari ikan bakar yang emak saya teringin nak makan. Dari rumah lagi emak dah pesan, kalau beli ikan bakar di bazar Ramadhan, jangan beli kalau harga nya lebih daripada RM10. Dan pesanan itu emak ulang-ulang lagi sewaktu saya dah mula start enjin kereta untuk ke bazar Ramadhan. Saya anggukkan saja walaupun dalam hati terasa macam saya akan 'gagal' nak patuhi pesanan emak itu.

Bazar Ramadhan yang terdekat dengan rumah saya terletak di Setiawangsa. Lagi 20 meter menghampiri bazar, kenderaan telah berderet panjang. Saya gagahkan juga pandu sampai betul-betul dekat dengan kawasan bazar, mujur ada petak letak kereta yang masih kosong. Jadi jika anda juga ingin berkunjung ke bazar Ramadhan di Setiawangsa, jangan risau jika dari jauh anda lihat deretan kenderaan yang panjang. Terus saja pandu dan jika ada rezeki akan ada petak letak kereta yang kosong dekat dengan bazar sebab kebanyakan pemandu biasanya apabila lihat kenderaan yang berderet-deret mula lah lencong ke tempat lain.

Ok, sekarang misi mencari ikan bakar bermula. Langkah kanan nampaknya apabila gerai yang kedua (jika anda bermula daripada gerai yang terletak berhampiran CIMB) ada menjual ikan bakar. Tidak terus membeli, saya survey dulu hingga ke hujung dunia  deretan gerai yang ada. Akhirnya saya kembali kepada gerai yang kedua tadi dan meninjau-ninjau ikan-ikan bakar yang ada.

"Yang ni berapa dik?"

"Yang tu ikan siakap kak. Saya baru je bakar tu"

"Berapa ringgit?"

"RM20"

"Oooo" (siap dengan gaya mulut apabila sebut "ooo" itu sebab nampak macam mahal benar harga ikan siakap itu dan tak padan dengan saiz nya)

"Yang itu pula?"

"Yang ni ikan terubuk. Satu RM10 kak" 

Lama juga saya termenung depan gerai tersebut (mujur tak ramai orang ketika itu). Berbelah bahagi antara pesanan emak dengan pilihan ikan yang ada depan mata. Dalam hati dah teringin nak makan ikan siakap itu tapi apabila fikir balik harganya buat saya berfikir 10 kali. Pada masa yang sama saya pun teringat yang ikan terubuk itu macam kecil saja dan lagipun ikan terubuk banyak tulang kan susah nak makan? Macam-macam lagi lah alasan sebab dah berat sebelah nak pilih ikan siakap.

Jadi ikan mana yang saya pilih? Ikan dalam gambar di bawah. Ikan yang buatkan saya kena leter dengan emak sebab tak dengar cakap dan beli ikan-bakar-yang-masa-di-gerai-tadi-saya-nampak-macam-besar-bila-sampai-rumah-nampak-kecil-pula dan mahal mengalahkan ayam golek yang berharga RM20 itu!



Dah tahu mahal, jadi kenapa beli juga? Dalam kes saya ini sebab saya fikirkan lebih baik belikan untuk emak saya ikan siakap yang walaupun mahal tapi lebih berbaloi (berbaloi ke?) berbanding ikan yang lain. Saya perasan juga saya ada pernah beli ikan siakap bakar di bazar yang sama pada tahun lalu juga dengan harga RM20 tapi dengan saiz ikan yang lebih besar.

Di bazar Ramadhan Setiawangsa tadi tiada pula saya nampak roti John yang dijual dengan harga yang mahal sehingga RM6 atau RM9. Roti John 'special' sungguh agaknya jika mahal sampai begitu sekali. Jika teringin sangat nak makan roti John, apa kata cuba buat sendiri dengan resepi mudah yang ditunjukkan oleh Sheila Rusly dalam rancangan kegemaran saya di bulan Ramadhan iaitu 'Ketuk-ketuk Ramadhan' tengahari tadi. Cuma dalam rancangan tadi ditukar nama roti John itu kepada roti Debab! 😃

Baca juga:
Rindu 'air biru' di bazar Ramadhan!


Jadi jika harga makanan di bazar Ramadhan dikatakan mahal, tak perlu mengeluh. Kuasa di tangan kita sebagai pembeli. Tiada siapa yang memaksa kita untuk membeli. Jika teringin juga, beli lah setakat yang perlu dan mungkin itu kali pertama dan terakhir kita akan membeli di gerai yang mahal itu.

Siakap senohong...gelama ikan duri..
Tak dapat nak tolong...ikan siakap bakar mahal tapi nak juga beli....😛



0 comments:

Tuan Mufti dan helmetnya!

Saturday, May 27, 2017 Ana 0 Comments



Tuan Mufti dan helmetnya!


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Beliau berusaha bersungguh-sungguh mencari jalan untuk menepati janji yang telah dibuat menghadiri program cerapan anak bulan Ramadhan di Menara Kuala Lumpur. Meredah kesesakan jalanraya dengan membonceng motorsikal meskipun sedar risiko keselamatan menunggang tanpa helmet.

Tidak meminta keistimewaan untuk diiring kenderaan pengiring (tiada kemudahan pengiring kah untuk individu sepenting beliau?) meskipun beliau selayak-layaknya untuk dapat kenderaan pengiring untuk mempercepatkan beliau tiba di tempat yang dituju.

Menyedari kesalahan tidak memakai helmet yang dilakukannya dan secara rendah diri memohon maaf sebelum ditegur.

Indah sungguh akhlak Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri!

mufti mohon maaf
Sumber : siakapkeli.my

Susah senang sama dirasa...

Melihat gambar di atas, perkara yang pertama terlintas di fikiran ialah gambaran polis dengan motorsikal atau kereta pengiring dengan bunyi siren (atau hon?) siap dengan isyarat tangan supaya pengguna jalanraya bergerak ke tepi atau memberi laluan kepada kereta khas membawa 'orang penting' yang mungkin sudah lambat nak hadiri mesyuarat atau ada urusan 'penting' yang lebih penting daripada urusan pengguna-pengguna lain di jalan raya ketika itu. Dan pengguna-pengguna lain hanya mampu melihat kereta khas itu meluncur laju sambil menyambung semula melayan perasaan geram terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Boleh tak agaknya 'orang penting' itu lakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Tuan Mufti (tapi pakai helmet lah)? Boleh tak agaknya 'orang penting' itu meredah kesesakan jalan raya dengan usaha sendiri tanpa bantuan pengiring?

Sekadar bertanya....😉



0 comments:

Selamat datang Ramadan Kareem....

Friday, May 26, 2017 Ana 0 Comments


Selamat datang Ramadan Kareem....


Assalamualaikum & salam sejahtera.....


Hati yang selama ini bimbang tidak berkesempatan bertemu Ramadan sedikit tenang apabila azan Maghrib berkumandang menandakan dua belah kaki sudah melangkah ke bulan yang mulia ini. Bersyukur masih diberikan peluang dan kesempatan untuk merebut bonus dan ganjaran pahala berlipat ganda bagi menambah kekurangan dalam ibadah yang diamalkan selama ini. Mampukah agaknya peluang yang diberikan ini dimanfaatkan sebaik mungkin? Atau sekadar bersyukur di lisan tapi berat dalam perlaksanaan?Atau mungkin terselit rasa 'perasan' umur masih panjang dan masih akan diberi lagi peluang bertemu Ramadan tahun hadapan? (peringatan untuk diri sendiri) 😟

Begitulah yang dinamakan manusia. Kurang menghargai apa yang ada di depan mata. Apabila telah berlalu pergi bulan yang mulia baru mula hendak tertunggu-tunggu kemunculannya semua. Begitulah yang dinamakan manusia. Diberi peluang pada saat dan tika ini untuk merebut ganjaran yang tersedia tapi masih menantikan hari esok yang belum tentu akan menjadi milik kita.

Jom kita sama-sama berusaha gigih di bulan Ramadan ini untuk rebut pahala!

Usai solat Isyak tadi, solat sunat terawih telah bermula untuk malam pertama di bulan Ramadan ini. Apabila tiba-tiba rasa kurang rajin nak menunaikan solat sunat terawih, jom kita sama-sama sematkan di hati yang solat sunat terawih hanya ada di bulan Ramadan saja. Di bulan yang mana amalan sunat diberi balasan pahala amalan fardhu.Tiada lagi peluang untuk menunaikan solat sunat ini jika terdetik rindu di hati kepada solat terawih ketika bulan Syawal nanti. Tidak kah rasa rugi meninggalkan solat sunat yang istimewa ini begitu saja?

Waktu berbuka puasa ialah waktu yang ditunggu-tunggu dan pastinya waktu Maghrib sudah dihafal oleh setiap yang berpuasa sepanjang Ramadan ini. Bagaimana pula dengan amalan sunnah ketika berbuka puasa? Saya ada terbaca kisah di FB mengenai seorang yang berkemampuan untuk berbelanja mewah ketika berbuka puasa tetapi memilih untuk membawa ahli keluarganya berbuka puasa di masjid pada sepanjang bulan Ramadan. Bukan kerana ingin berjimat atau kedekut tapi ada sebab yang rasional di sebalik amalannya itu. Menurut beliau, apabila berbuka puasa di masjid, hidangan telah disediakan oleh pihak masjid dan tidak perlu pening kepala fikirkan menu berbuka lagi. Tapi apa yang paling penting menurut beliau ialah beliau serta ahli keluarganya dapat fokus melakukan amalan yang sangat digalakkan ketika berbuka puasa iaitu memperbanyakkan berdoa. Ya, waktu berbuka puasa ialah waktu mustajab doa. Rasanya ramai orang yang tahu perkara ini tapi pada waktu itu lah kebanyakan daripada kita sibuk bersiap sedia menyenduk nasi ke dalam pinggan atau menuang air oren ke dalam gelas 😛

Keistimewaan sebagai wanita yang 'ABC' di bulan Ramadan dan tak perlu berpuasa sepatutnya tidak disalahgunakan (teringat kes seorang wanita Muslim yang makan di khalayak ramai pada tahun lepas). Memang betul tidak boleh berpuasa tapi itu tidak bermakna boleh makan di tempat terbuka. Makan di tempat tersorok juga perlu lah 'logik' tempat tersorok yang dipilih itu. Makan nasi berlaukkan tempoyak hatta maggi kari sekali pun di sebalik tirai di surau pejabat tak dikira sebagai tempat tersorok ya. Aroma makanan itu akan menyelinap di setiap pelosok surau dan akan mengganggu jemaah yang lain. Begitu juga dengan makan 'menyorok' di laluan tangga kecemasan juga bukanlah pilihan 'port' yang sesuai. Jadi di mana wanita nak makan jika tak boleh berpuasa? Entah lah. Boleh tak agaknya tahan lapar dengan sekadar makan makanan ringan ketika di pejabat? Atau pun lakukan sebagaimana yang kawan sepejabat saya lakukan dulu iaitu makan dalam kereta di tempat letak kereta? 😎

Selamat datang Ramadan Kareem....

Jom sama-sama kita elakkan kesilapan-kesilapan yang biasa kita buat di bulan Ramadan dan 'upgrade' kan ibadah puasa kita tahun ini! 💪💪💪


Sumber : FB Dr Zaharuddin Abd Rahman


0 comments:

Ke bazar Ramadhan ke kita tahun ini?

Wednesday, May 24, 2017 Ana 0 Comments



Ke bazar Ramadhan ke kita tahun ini?



Assalamualaikum & salam sejahtera....


2 hari saja lagi. Semoga kita semua dipanjangkan usia dan direzekikan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan pada tahun ini, Amin..

2 minggu pertama di bulan Ramadhan nanti ialah bersamaan dengan 2 minggu cuti persekolahan pertengahan tahun. Kebiasaannya dalam apa-apa hal sekalipun pastinya lebih meriah dengan gelagat anak-anak terutamanya di bulan puasa. Bagi anak-anak yang yang telah biasa berpuasa mungkin tiada masalah hendak meneruskan ibadah tersebut. Pastinya waktu menjelang petang adalah waktu yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak (bukan anak-anak saja, kita yang dewasa pun sama rasanya) sama ada menanti apa menu istimewa yang dimasak oleh ibu ataupun 'senarai menu' yang dah siap dirancang dalam kepala!

Bazar ramadhan
Sumber : www.kuala-lumpur.ws


Membeli juadah di bazar Ramadhan memang 'aktiviti' yang menyeronokkan bagi kebanyakan orang. Tapi ada juga yang kurang gemar nak bersesak-sesak dan hilang selera nak membeli dalam keadaan begitu.

"Mak ngah, nanti abang balik sekolah petang, abang nak balik rumah terus lah, abang tak suka pergi beli-beli kat pasar (bazar Ramadhan) tu"

"Eh, pergi pasar tu lah best abang. Abang boleh beli macam-macam. Abang kan dah penat puasa, abang boleh pilih lah kat pasar tu apa abang nak makan dan minum masa nak buka puasa nanti"

"Tak nak. Abang tak suka. Ramai orang"

"Abis tu abang nak makan apa je masa buka puasa nanti?"

"Abang suka ayam masak cili yang mak ngah masak tu"

"Makan tu je cukup?"

"Cukup. Abang suka yang tu je"

(*Ayam masak cili saya yang simple itu lah yang jadi kegemaran anak saudara. Belum masuk bulan puasa pun sudah dipesannya siap-siap untuk masak sebagai lauk berbuka nanti 😊)

Jika orang dewasa pun tak gemar nak bersesak-sesak, apa lagi kanak-kanak. Jadi kalau perlu juga nak ke bazar Ramadhan nanti, harap-harap kita juga tak jadi sebahagian daripada orang yang 'menyumbang' kepada kesesakan itu.

Buat senarai juadah yang hendak dibeli sebelum keluar rumah lagi. Jika sudah jejak kaki di bazar Ramadhan baru hendak fikir apa yang hendak dibeli maka kita pun secara 'automatiknya' akan berjalan lenggang kangkung sambil meninjau-ninjau di setiap gerai juadah apa yang berkenan di hati. Tak salah nak melenggang kangkung, tapi kena juga lah fikirkan jika lenggang-kangkung-kita-yang-sambil-bersembang-dan-gelak-ketawa itu akan menyusahkan orang lain yang mengejar masa.

Bazar Ramadhan bukan tempat yang sesuai untuk ber'jejak kasih'. Jumpa kawan lama, saudara jauh mahu pun kawan sepejabat yang kali terakhir kita jumpa ialah 30 minit yang lepas ialah perkara biasa di bazar Ramadhan. Perkara yang juga adalah perkara biasa ialah apabila kita jadikan pertemuan itu sebagai kesempatan untuk beramah mesra. Apa yang jadi sedikit luar biasa ialah apabila sesi beramah mesra selama 20 minit itu kita adakan di hadapan gerai ayam golek atau nasi beriyani yang penuh sesak dengan orang lain yang turut sama mengidamkan juadah itu. Bukan setakat beramah mesra bertanya khabar, malah ada sesi bertukar-tukar pendapat dan cadangan juadah apa yang sedap dan dibeli di gerai yang mana satu di bazar itu!

Jika boleh dielakkan untuk bawa bayi atau anak kecil ke bazar Ramadhan, maka lebih baik dielakkan. Pasti ibu bapa atau penjaga tidak mahu berhadapan dengan situasi anak-anak meragam dalam kesesakan orang ramai itu. Hendak pula anak 'mengamuk' sambil guling-guling di jalan raya kerana tidak dibelikan apa yang diminta. Sudah jadi adat orang Malaysia, maka akan sesaklah dengan orang ramai yang akan menjadi penonton drama sebabak itu nanti. Yang lebih penting ialah soal keselamatan anak-anak itu sendiri sekiranya ibu bapa leka memilih juadah tatkala perut masing-masing sedang berkeroncong ketika itu.

Kuih muih di bazar ramadhan
Sumber : www.kuala-lumpur.ws


Ke bazar Ramadhan ke kita tahun ini? Rancang perbelanjaan membeli juadah agar tidak membazir. Tak lupa juga untuk beli daripada gerai yang bersih untuk elak keracunan makanan. Saya pernah singgah di gerai bazar Ramadhan yang menjual roti John dan hanya perasan 'sesuatu' setelah selesai buat pesanan. Yang menyediakan roti John tersebut ialah si suami manakala yang membungkusnya ialah si isteri yang sambil-sambil melayan seorang anak di sisi. Ketika si isteri sedang membungkus itu lah saya perasan jari wanita tersebut berbalut plaster (mungkin jari nya luka). Dan ketika sedang 'merenung' plaster itu kebetulan datang pegawai (saya kurang pasti pegawai dari kementerian kesihatan atau pun pegawai penguatkuasa). Sambil bertanya-tanya kan soalan kepada si suami, akhirnya pegawai itu bertanyakan kepada si isteri soalan yang bermain di fikiran saya.

"Jari akak tu luka ke kak?"

"Ya, tapi sikit je ni, dah nak elok dah ni Cik"

"Akak bungkus roti John ni tak pakai sarung tangan, jari akak ada luka lagi. Ni salah ni kak"

"Alah, akak lupa lah Cik. Tadi ada akak pakai sarung tangan plastik tu"

Si pegawai siap keluarkan borang dan menulis sambil berpesan sesuatu kepada si suami tersebut. Sebaik saja pegawai itu beredar, pasangan suami isteri itu pun merungut tak puas hati.

"Ada je nak cari salah orang. Itu tak kena ini tak kena!"

Saya hanya tersenyum dan berlalu pergi membawa roti John yang dah siap dibayar sambil jari yang berbalut plaster itu masih terbayang di fikiran 😛

Ke bazar Ramadhan ke kita tahun ini? Pilihan di tangan kita. Buatlah pilihan yang bijak!


0 comments:

Kalau tak suka tengok, scroll saja laju-laju!

Monday, May 22, 2017 Ana 0 Comments


Kalau tak suka tengok, scroll saja laju-laju!


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Sedikit 'merimaskan' apabila buka FB dan yang kerap dilihat ialah wajah-wajah tertentu dengan selfie yang pelbagai. Sekali dua boleh juga diterima, tapi apabila sudah terlalu kerap dimuat naik gambar selfie, rasa tak seronok juga nak tengok.

Dalam bilik air, berdiri depan cermin, selfie dan upload. Di restoran tengah minum teh tarik, letak handphone di depan dan kemudian bergaya macam serius, ambil gambar dan upload. Dalam lif seorang diri, selfie dan upload. Ternampak kereta mewah masa tengah window shopping, selfie dan upload. Apabila komen 'menderu-deru' masuk barulah dijelaskan, 'bukan kereta I lah, I tumpang selfie je!'. Sampai pejabat awal, perkara pertama yang dibuat ialah on kan PC, selfie ala-ala khusyuk buat kerja atau ada 'masalah besar' yang tengah difikirkan, ambil gambar dan upload. Semuanya gambar seorang diri. Memang kaki ambil gambar /selfie betul lah!

Kenapa suka berselfie


Kenapa ya orang suka berselfie?

Selfie untuk menunjukkan rasa gembira atau suasana gembira ketika itu? Betul. Sebab belum pernah lagi saya jumpa selfie yang menunjukkan seseorang sedang sedih. Buat-buat muka sedih dan berselfie mungkin ada. Tapi betul-betul sedang bersedih menangis meraung meratap hiba dan tiba-tiba sempat pula berselfie mungkin sedikit pelik. Bagaimana pula dengan orang berselfie di tanah kubur pada pagi raya? Adakah selfie ini juga untuk menunjukkan rase gembira berada di tanah kubur? 🤔

Selfie untuk menunjukkan kecantikan atau tonjolkkan kelebihan yang dimiliki? Saya separuh setuju dengan yang ini. Sebabnya bukan semua gambar selfie itu tunjukkan muka yang cantik saja. Ada juga instafamous yang tak tunjuk wajah pun dalam foto yang dimuatnaiknya tapi mampu ada berjuta-juta followers. Ada juga yang buat mimik muka hodoh (err, buat muka itik / duck face itu dikira hodoh tak?) kemudian berselfie. Motif buat muka hodoh? Mungkin sebagai gurauan. Mungkin juga mengharapkan apabila selfie itu dimuatnaik ke FB nanti akan ada yang komen 'buat muka hodoh pun nampak comel!' 😋

Kenapa suka berselfie


Selfie untuk meningkatkan keyakinan diri? Kita tak boleh nak tipu diri sendiri yang kita sememangnya suka dan teruja bila gambar yang kita upload ke media sosial mendapat Like dan komen daripada orang yang melihatnya. Tambahan pula apabila ramai yang memuji wajah kita dalam gambar tersebut. "Eh, awak nampak slim dan cantik lah dalam gambar ni!', "Amboi, berseri-seri nampak, apa rahsianya?", "Wah, awak nampak makin muda lah, cepat share tips!". Sedikit sebanyak mungkin dapat meningkatkan keyakinan diri tapi biar lah tidak sampai jadi riak dan lupa diri pula!

Acara berselfie dijangka makin meriah sepanjang 2 bulan akan datang ini. Selfie dengan telekung/kopiah on the way untuk solat terawih. Selfie dengan hidangan mewah berbuka puasa di hotel 5 bintang. Selfie berbuka puasa bersama rakan sepejabat. Selfie berlatarbelakangkan bazar ramadhan yang sesak dengan orang ramai. Selfie solat aidilfitri di pagi raya. Selfie sesi bersalam-salaman bersama keluarga. Selfie sambil tayang baju raya hari pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Dan baaaaanyak lagi selfie yang akan muncul sepanjang sambutan Syawal selama sebulan itu nanti.

Kalau tak suka tengok, scroll saja laju-laju! 😊😊😊




0 comments:

Bawa semua dokumen yang anda ada!

Friday, May 19, 2017 Ana 0 Comments


Bawa semua dokumen yang anda ada!


Assalamualaikum & salam sejahtera....


Anda masih bujang? Anda tidak bekerja atau bekerja sendiri dengan pendapatan kurang daripada RM2,000? Anda dah memohon untuk Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tapi permohonan anda tak lulus? Permohonan anda tidak lulus dengan status '06' iaitu 'Semakan rekod agensi/maklumat pada borang mendapati pendapatan melebihi RM2,000?


rayuan br1m 2017



Jika anda menepati semua 'ciri-ciri' di atas, dan anda masih belum membuat rayuan atau baru bercadang untuk membuat rayuan tidak lama lagi, maka pastikan anda membawa dokumen-dokumen yang berikut, sebagaimana yang tertulis di dokumen BR1M:

Penyata Pendapatan Tahunan 2016 / Slip Gaji pemohon / pasangan / tanggungan bagi 3 bulan (Jan, Feb, Mac 2017)

rayuan br1m 2017


"Sekarang Cik tak bekerja?"

"Tak. Saya dah berhenti kerja tahun 2015"

"Cik ada bawa penyata KWSP?"

"Penyata KWSP?"

"Ya, penyata KWSP untuk tahun 2016"

"Oh, saya tak tahu pun kena bawa penyata KWSP. Kalau ikut info dokumen sokongan yang diperlukan untuk status tak lulus saya ni, saya kena bawa penyata akaun bank saja kan? Saya pun dah pernah call talian BR1M tanya dokumen apa kena bawa. Tak ada pun sebut pasal penyata KWSP"

"Kami perlu bukti yang Cik tak bekerja. Kalau ada penyata KWSP tu boleh lihat kalau ada caruman yang dibuat oleh majikan"

"Kalau EA form yang saya bawa ni boleh tak jadi bukti saya dah berhenti kerja?"

"EA form ni tahun 2015 Cik"

"Memang lah, sebab saya berhenti kerja tahun 2015"

"Kami masih perlu kan penyata KWSP Cik sebagai dokumen sokongan"


Baca juga:
BR1M oh BR1M...
Tinggal lagi 21 hari untuk merayu....


Jadi kalau anda pun sama kes status tidak lulus dengan di atas, sediakan salinan penyata KWSP untuk tahun 2016 sebagai dokumen sokongan (atau bawa saja semua dokumen yang anda 'rasa' kan perlu) untuk elak kan perlu berulang banyak kali ke kaunter BR1M ya!



0 comments:

Siapa lagi yang boleh diharapkan?

Thursday, May 18, 2017 Ana 0 Comments



Siapa lagi yang boleh diharapkan?



Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Sedih betul baca laporan akhbar mengenai seorang anggota polis berpangkat koperal yang ditangkap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah melibatkan rumah urut dan pusat judi haram (ada ke pusat judi halal?). Sejumlah besar wang tunai turut ditemui di rumah anggota polis itu. Masa kanak-kanak dulu bila sebut saja polis, maka yang terbayang ialah polis tangkap pencuri. Jadi kini bila ada kes polis pula yang ditangkap, apa sudah jadi dengan negara kita hari ini?

rasuah di mana-mana

Jika pihak yang diharapkan itu sudah tidak boleh dipercayai, maka ke mana lagi lah hendak diarahkan kepercayaan masyarakat dalam usaha membanteras jenayah hari ini? Mungkin tidak adil hendak menyamaratakan kesemua anggota keselamatan itu sebagai terlibat dengan rasuah. Tapi itu lah, kerana nila setitik , habis rosak susu sebelanga. Kerana sikap korup segelintir individu yang diamanahkan menjaga keselamatan itu, tak mustahil sudah terbit rasa ragu-ragu di hati anggota masyarakat hendak mengadu dan mengharapkan keadilan ditegakkan. Rakyat melaporkan kes jenayah kepada pihak berkuasa tetapi malang dengan ada nya individu yang sebegini, kes yang dilaporkan tidak pernah selesai kerana suapan wang ringgit telah menggelapkan mata.  Benar kah kes sebegini hanya melibatkan 'nila setitik?'

"Mesti banyak untung ni kan makcik, hari-hari habis licin kuih makcik ni saya tengok"

"Ada lah sikit. Itu pun kena kongsi dengan 'hantu' tu!"

Terkejut juga apabila saya dengar jawapan makcik jual kuih itu. Untung jual kuih kena kongsi dengan 'hantu'?

'Hantu' tu lah, tiap-tiap bulan datang kutip duit. Kalau tak bagi, memang tak dapat lah makcik jual kuih lagi kat sini"

Kasihan. Makcik yang mengerah tulang empat kerat jual kuih, ada pula pihak yang tak berhati perut senang-senang saja minta 'duit bulanan'.

Itu satu kes yang saya pernah dengar. Mungkin ada yang akan kata "Berapalah sangat 'hantu' itu dapat daripada makcik jual kuih tu". Saya tak tanya berapa yang perlu dibayar oleh makcik itu. Jika RM50 sekali pun jumlah nya, itu baru untuk satu gerai jual kuih. Belum campur lagi dengan gerai jual nasi ayam dara, gerai jual rojak dan cendol, gerai jual air mangga dan gerai-gerai lain yang berderet di situ!

Satu kes lagi ialah kes pekerja dari seberang yang menyewa sebuah rumah pangsa kepunyaan jiran saya. Apabila tiba hujung bulan waktu untuk kutip duit sewa, maka salah satu cerita sedih yang diceritakan penyewa itu ialah kisah dirinya dan isteri yang diperas ugut oleh pihak berkuasa kerana permit sudah tamat tempoh. Katanya, jika tidak mahu ditangkap, maka perlu bayar sejumlah wang kepada pihak tersebut. Dalam kes ini si penyewa itu sendiri yang seakan-akan 'membuka peluang' untuk diperas ugut sebegitu. Dan pihak yang tamak akan rebut peluang depan mata untuk cari 'pendapatan sampingan' dengan cara yang salah. Saya ada juga terfikir mungkin juga dalam kes ini si penyewa hanya mereka-reka cerita sebagai alasan untuk melewat-lewatkan membayar sewa. Tapi jika benar-benar berlaku maka bertambahlah satu lagi 'kes sedih' melibatkan amanah yang telah dikhianati. Siapa lagi yang boleh diharapkan?

Apa-apa pun, semua di atas ialah kes yang melibatkan pihak yang berkuasa dan dipercayai. Diamanahkan untuk melaksanakan tugas mengikut peraturan dan melindungi hak masyarakat tapi lain pula yang berlaku. Harapkan pagar, pagar makan padi.

Dalam perkara yang melibatkan kepercayaan, apabila sekali telah dikhianati, sukar untuk mudah percaya kembali!


0 comments:

Pindah rumah, puasa dan persediaan raya.....

Wednesday, May 17, 2017 Ana 0 Comments

Pindah rumah, puasa dan persediaan raya.....


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Berpindah rumah sebagai persediaan sambut puasa?

Lama juga saya tinggalkan blog dek kerana sibuk dengan urusan pindah memindah barang. Barang dah siap dipindahkan dan kini hanya tunggu untuk tandatangan kontrak dengan penyewa dan serahkan kunci.

Perjanjian sewa rumah


Barang yang dipindahkan tak lah banyak mana pun tapi penatnya boleh tahan. Banyak juga barang yang saya tinggalkan untuk bakal penyewa. Tak dapat bayangkan jika semua barang yang ada di rumah itu saya pindahkan. Dan tak dapat nak bayangkan kalau urusan pindah memindah ini dibuat masa bulan puasa. Ada juga orang yang 'terbuka' puasa nanti agaknya!

Pindah rumah sebelum puasa

Dalam pada berhati-hati memindahkan barang itu ada juga barang yang kurang 'sihat' lepas proses pemindahan. Meja makan yang pada asalnya elok saja tapi lepas pindah jadi bergoyang, kurang stabil. Rak tv yang pada asalnya kukuh saja terletak tapi lepas dipindahkan kakinya jadi seperti 'cacat' sedikit meskipun tak begitu ketara. Apa nak buat, terima saja lah. Mungkin juga selepas hampir 10 tahun barang-barang itu tak 'bergerak' dan duduk diam saja di rumah tiba-tiba dipindahkan pula naik lori jadi mungkin jadi satu 'kejutan'.

Baca juga:
Refinance rumah anda...
Sayang tak bertempat!

Urusan pindah memindah dah selesai tak bermakna dah habis kerja nak buat. Satu hal pula nak mengemas dan menyusun atur barang-barang yang dah dipindahkan itu. Dan apa yang paling penting ialah semangat nak berkemas itu bukan lah mudah nak dapat. Sekali dah bersemangat memang tak ingat makan dan minum dan akan terus mengemas dan mengemas dan mengemas hingga sudah. Nak mengemas pun makan masa sebab perlu kerah otak memaksimumkan ruang yang ada dalam rumah. Bagus juga pindah memindah barang sebelum puasa ini sekaligus dah siap susun atur rumah untuk sambut raya nanti.

Sebelum ketibaan bulan Ramadhan ini, selain bersedia dengan persiapan berkaitan dengan ibadah puasa, elok juga kita buat persediaan menyambut raya. Bukanlah bermaksud nak meminggirkan bulan Ramadhan tapi lebih kepada nak elakkan daripada bulan Ramadhan nanti kita disibukkan dengan membeli belah baju raya, buat kuih raya, cat rumah, kemas rumah dan sebagainya. Dengan membuat persediaan awal untuk raya maka dapatlah kita lebih fokus kepada ibadah puasa, tadarus Al-Quran, tarawih dan amal ibadat yang lain di bulan Ramadhan nanti.

Beli baju raya sebelum puasa


Mungkin itu juga lah persiapan si penyewa rumah saya itu yang merancang untuk berpindah rumah sebelum puasa dan dapat beraya di rumah sewa yang baru pada satu Syawal nanti.

Bulan Ramadhan akan tiba kurang 10 hari lagi. Sudah cukupkah persediaan anda kita untuk bulan Ramadhan nanti?


0 comments:

Ini rumah kami yang ketiga!

Saturday, May 13, 2017 Ana 0 Comments



Ini rumah kami yang ketiga!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Di FB tadi saya terbaca post seorang kenalan yang menulis begini:

"InsyaAllah, this will be our 3rd property"

Kenalan ini sudah lama tidak lama saya hubungi dan hanya saya 'stalk' khabar terkini beliau di FB. Beserta dengan postnya itu ialah gambar beliau bersama suaminya dan di belakangnya tersergam model kondominium dan nampaknya seperti sedang berada di sebuah show room. Hebat, baru saja menjangkau usia 30-an sudah mampu memiliki 3 buah rumah. Di saat ramai yang mengeluh harga rumah naik hingga hanya mampu tengok dan tak mampu milik, beliau perlahan-lahan mengorak langkah dalam mengumpul aset yang jadi impian setiap orang itu.

Melihatkan kehidupan yang dikongsikan kenalan ini dan suami di FB nampak ringkas saja. Beliau dan suami kedua-duanya bekerja di syarikat swasta dan si suami memandu GrabCar untuk menambah pendapatan sampingan. Baru memiliki seorang cahayamata. Perjalanan ke pejabat dari rumah yang terletak di Cyberjaya ke Kuala Lumpur ialah dengan 'merempit' berdua menaiki motorsikal. Kereta hanya digunakan untuk bersiar-siar bersama keluarga atau ketika memandu untuk GrabCar. Kenalan saya itu juga membuat bisnes online kecil-kecilan dengan menjual susu kambing dan produk kecantikan berasaskan bahan-bahan semulajadi. Antara kegemaran lain pasangan suami isteri ini selain 'memburu rumah' untuk dimiliki ialah menyertai pertandingan sama ada pertandingan online/atas talian mahu pun pertandingan yang diadakan di acara-acara tertentu. Dan sudah banyak kali rezeki memihak kepada mereka dengan menang baucer, wang tunai mahupun hadiah percutian. Apabila ditanya apa petua atau tips untuk menang, jawapannya mudah. Positif dan yakin saja boleh menang! 👍

beli rumah di usia muda

Seronok ikuti perjalanan harian mereka berdua. Daripada sebuah rumah di Cyberjaya, kemudiannya rumah kedua di Melaka dan baru-baru ini dalam proses membeli rumah di Sg Besi.sebagai rumah ketiga. Dengan perancangan kewangan yang betul, membeli rumah di usia muda adalah langkah yang bijak kerana harga rumah agak sukar untuk turun (tak mungkin akan turun?) dan semakin lama menunggu untuk memulakan langkah membeli rumah maka semakin tinggi harga yang perlu dibayar. Rumah yang saya beli pada tahun 2007 dengan harga RM247,000 kini telah naik 2 kali ganda harga pasarannya. Jiran belakang rumah menjual rumahnya dengan harga RM500,000 tanpa sebarang penambahan pada rumah tersebut. Bayangkan pula berapa harga yang boleh dijual untuk rumah yang telah ditambahbaik?

Kenapa menunggu lama untuk membeli rumah? Lain orang lain sebabnya. Sebab yang paling utama ialah wang yang masih belum mencukupi. Tak layak memohon pinjaman perumahan. Tanggungan yang banyak. Wang gaji banyak dihabiskan untuk bayaran bulanan pinjaman kereta yang-masa-beli-tak-fikir panjang-dan-nak-kereta-yang-mahal-dan-nampak-bergaya. Menunggu untuk beli rumah impian yang tersergam di kawasan perumahan elit. Terlalu banyak hutang terutamanya hutang pinjaman pendidikan atau hutang kad kredit. Mengamalkan gaya-hidup-mewah-biar-papa-asal-bergaya.

Tak salah nak melancong luar negara 4 atau 5 kali dalam setahun jika mampu tapi simpan juga lah sedikit dalam 'tabung ayam' itu simpanan untuk membeli rumah. Tak salah nak bergaya mewah dan berbelanja lebih untuk makan yang sedap-sedap tapi asingkan lah juga paling kurang 10% daripada gaji untuk simpanan.

Ada juga orang yang mampu dari segi kewangan tapi masih belum miliki rumah sendiri dan memilih untuk menyewa. Menyewa adalah gaya hidup terkini katanya? Dalam satu ceramah yang dikendalikan oleh seorang ustaz sempat pula beliau ceritakan mengenai seorang aktor lelaki yang dengan pendapatan beliau mampu untuk membeli lebih daripada sebuah rumah tapi memilih untuk menyewa sahaja. Harga sewa rumah yang dibayarnya juga mengejutkan kami di ceramah itu yang mendengarnya, iaitu lebih kurang RM5,000 sebulan! Err, saya pun dah tak ingat apa topik ceramah pada hari itu dan macam mana boleh termasuk pula cerita mengenai sewa rumah pelakon lelaki tersebut dalam ceramah ustaz tersebut 😀

Ada juga yang takut (takut?) atau kurang rajin untuk mulakan langkah beli rumah. Memang betul ada banyak proses yang terlibat seperti pinjaman dengan pihak bank, urusan dengan pihak peguam, urusan dengan syarikat perumahan dan lain-lain lagi tapi ikut saja proses dan prosedur yang diperlukan satu persatu dan bayangkan di akhir semua proses itu nanti ialah anda kini telah memiliki sebuah rumah. Tiada apa yang mudah di dunia ini. Semuanya perlukan usaha dan tindakan. Hatta hendak makan pun perlu gerakkan tangan menyuap ke mulut kan.

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Mulakan langkah untuk memiliki rumah idaman anda hari ini juga. Selagi belum bermula selagi itulah tak terjangkau rumah yang diidam-idamkan!

😊







0 comments:

Mintalah apa yang dihajati....

Thursday, May 11, 2017 Ana 0 Comments


Mintalah apa yang dihajati....


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Sumber : FB Nur El-Hikmah

Jom sama-sama kita kuatkan semangat untuk 
bangun qiam pada malam yang istimewa 
(malam Jumaat dan Nisfu Syaaban) ini (pesanan untuk diri sendiri!)

Jom sama-sama kita panjatkan doa pada yang Maha Berkuasa 
memohon sebanyak-banyaknya hajat yang terbuku di hati malam ini..

Jom sama-sama berpuasa sunat 3 dalam 1 
(sunat hari Khamis + sunat bulan Syaaban + sunat hari putih) 
pada esok hari..

15 hari lagi sebelum kaki melangkah ke bulan mulia yang ditunggu-tunggu..

Sempat kah kita melangkah ke bulan itu?

😟😟😟


0 comments:

Bayar RM30 je kak!

Thursday, May 11, 2017 Ana 0 Comments



Bayar RM30 je kak!


Assalamualaikum  & salam sejahtera...

Asalkan rajin, macam-macam cara boleh tambah pendapatan kan. Sebagai peniaga/penyedia perkhidmatan yang ada servis/perkhidmatan yang baik dan harga/upah/bayaran yang berpatutan, tak mustahil pelanggan kali pertama akan 'save' nombor anda dan mana tahu akan rekomen kan  pula perniagaan anda kepada orang lain.

Hari Wesak yang lepas saya habiskan dengan mengemaskan rumah di Bangi sebelum pindahkan barang-barang seperti karpet, meja makan, tv dan lain-lain barang yang penting. Seperti yang saya ceritakan dalam entry yang lalu (baca di sini), penyewa akan mula menyewa pada 1 Jun nanti dan barang penyewa akan mula dipindahkan ke rumah saya sebelum bulan puasa. Maklumlah, bulan puasa kurang sikit tenaga nak angkat-angkat barang ni. Menarik karpet dari bawah kaki sofa dan katil pun dah cukup semput dibuatnya, tak tahu lah macam mana kalau kerja-kerja mengemas ini saya lakukan di bulan puasa. Nampak saja sikit tapi perlu juga menyewa lori 1 tan untuk memindahkan barang-barang ini.

Selain kemas barang, saya juga kena pastikan rumah berkeadaan baik sebelum disewakan. Ada salah satu powerpoint yang rosak, tiada elektrik bila di 'on' kan dan perlu dibaiki. Tv yang dilekat di dinding juga perlu diturunkan dan dipasangkan semula pada stand nya semula dipindahkan. Jadi nya saya call tukang elektrik yang business card nya saya dapat dari sebuah kedai hardware.

"Assalamualaikum, ini Encik Amirul ke? Saya nak minta tolong checkkan powerpoint kat rumah saya ini ada satu yang rosak"

"Saya kat KL sekarang ni kak, kalau akak boleh tunggu lepas Zohor nanti saya sampai"

Maka menunggu lah saya hingga waktu Zohor. Ada juga tukang dari kedai hardware tapi yang lecehnya pekerja kedai itu perlu saya jemput dari kedai untuk ke rumah saya dan setelah selesai perlu pula saya hantar dia kembali ke kedai. Bukan tak boleh panggil tukang yang lain, tapi nombor tukang yang lain itu berat hati sikit saya nak hubungi, Tukang itu pernah datang untuk tukar lampu di luar rumah saya iaitu kerja yang tak sampai 5 minit (seingat saya dalam 2 minit dah siap) pun tapi upahnya RM50. Itu lah kali pertama dan terakhir saya hubungi beliau. Dalam handphone saya telah saya 'save' kan nama tukang itu sebagai 'tukang yang mahal' 😒, mana lah tahu kalau-kalau terpaksa juga saya hubungi jika memerlukan. Untuk Encik Amirul ini saya anggarkan mungkin mahal juga upahnya sebab ada syarikatnya sendiri siap dengan business cara jika hendak dibandingkan dengan tukang yang mahal itu tadi.

upah tukang elektrik


Setengah jam lepas waktu Zohor masih tiada bayang tukang itu kelihatan. Sekali lagi telefon berdering.

"Akak boleh tunggu sampai pukul 3 tak kak? Kat KL sekarang ni hujan. Atau pukul 3 tu dah lambat sangat ke kak?"

Sekali lagi saya menunggu hingga jam 3 petang. Lebih kurang 3:30 petang baru lah kelihatan Encik Amirul yang datang bersama dengan 2 lagi rakannya. Dalam hati sudah terdetik, mungkin kali ini upahnya lebih mahal sebab yang datangnya sampai 3 orang.

Selesai kerja-kerja membaiki dan tv juga dah selamat ditanggalkan dari dinding dah telah 'berdiri' dengan 'kaki' nya, saya pun bertanyakan berapa yang perlu dibayar.

"Mesti mahal kena bayar ni , datang sampai 3 orang..." Saya cuba berseloroh sambil mengira-ngira duit yang ada.

"Eh, tak ada lah kak, sikit je kerja ni. RM30 je kak"

Berulang kali juga lah saya bertanya untuk pastikan saya dengar jumlah yang yang betul. Biar betul, RM30 saja?

"Betul kak. Akak kalau ada nak betulkan apa-apa lagi boleh call saya. Company kami ni ada buat macam-macam. Wiring, atap bocor, cat rumah, lori untuk angkat barang pindah rumah, renovation dan macam-macam lagi. Call je kak, kami kerja 24 jam"

Wah, macam mana lah saya tak tahu pun kewujudan syarikat ini selama ini? Kerja 24 jam dan upahnya pun berpatutan. 2 orang rakan yang datang bersama Encik Amirul itu ialah pelajar praktikal di syarikat tersebut. Syarikat itu siap menyediakan rumah untuk mereka. Bagusnya!

Sudah pasti khidmat syarikat ini akan saya rekomen kepada sesiapa yang memerlukan. Berbanding si 'tukang yang mahal' dan si 'tukang yang perlu dijemput dari kedai', pasti lah saya pilih tukang yang efisien, murah dan kerja 24 jam dengan pelbagai khidmat yang disediakan seperti syarikat Encik Amirul!



0 comments:

Tinggal lagi 21 hari untuk merayu..

Wednesday, May 10, 2017 Ana 0 Comments


Tinggal lagi 21 hari untuk merayu..


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ada 21 hari lagi sebelum tempoh rayuan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tamat pada 31 Mei nanti.  Bagaimana dengan anda yang kecewa dengan status 'Tidak Lulus' dalam permohonan yang lalu, sudahkah anda buat permohonan rayuan?

Pada hari Selasa yang lepas, saya ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Wangsa Maju untuk membuat rayuan bagi pihak emak saya. Dalam perjalanan nak ke sana itu merungut-rungut juga lah sebab terpaksa buat rayuan sedangkan untuk 2 tahun yang sudah tiada sebarang masalah untuk permohonan yang sama. Sudah terbayang-bayang keadaan sesak orang ramai di bahagian hantar borang rayuan. Mesti beratur panjang dan kena habiskan masa yang lama di sana nanti. Dalam pada merungut-rungut itu sampai juga lah saya di LHDN. Kaunter rayuan BR1M terletak di tingkat 3. Ada beberapa orang yang sedang menunggu lif bersama-sama dengan saya dan saya penuh yakin mereka pun menuju ke tingkat 3. Tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Hanya saya seorang yang melangkah keluar dari lif apabila tiba di tingkat 3.


sudah buat rayuan BR1M?


Sampai di tingkat 3, toleh kiri dan kanan dan rasa macam salah tempat pula. Waktu itu jam lebih kurang pukul 3 petang dan suasana di situ sunyi sepi. Toleh kanan dan ternampak papan tanda di sebelah kanan menunjukkan arah kaunter BR1M. Sambil melangkah ke kaunter untuk minta borang (anda boleh download borang terlebih dahulu dan isi maklumat yang diperlukan sebelum pergi ke LHDN untuk mempercepatkan lagi urusan) rasa was-was pula bila situasi tak seperti yang saya jangkakan. Hampir tiada orang hingga saya sangkakan mungkin ke tempoh rayuan dah tamat atau mungkin ke kaunter telah ditutup. Dari jauh hanya kelihatan seorang sahaja pakcik yang sedang duduk di kawasan yang disediakan untuk mengisi borang rayuan dan saya adalah orang yang kedua mengambil tempat duduk tidak jauh dari pakcik tersebut. Selang 5 minit kemudian, datang seorang makcik bersama anak perempuannya duduk di sebelah saya.

"Adik dapat tak yang pertama dulu?" 

Soalan cepumas daripada makcik yang duduk di sebelah saya itu

"Oh, saya buat rayuan untuk mak saya ni makcik. Mak saya memang tak dapat langsung untuk kali ni, tahun-tahun sudah ok je"

"Makcik untuk tahun ni yang pertama dah dapat. Tiba-tiba untuk yang kali kedua ni dia minta isi borang rayuan pula. Bukan kali pertama dah dapat tu maksudnya memang makcik layak ke? Ni saja lah ni nak suruh kita buat kerja merayu-rayu!"

Saya tersenyum saja lah dengar rungutan makcik itu. Memang saya pun fikirkan perkara yang sama ketika membaca berita mengenai perkara ini dahulu. Wang BR1M diberikan secara berperingkat iaitu peringkat pertama pembayaran ialah pada bulan Februari yang lalu. Ada di antara permohonan yang gagal telah diluluskan dan pembayaran telah dibuat tetapi pemohon masih perlu mengemukakan penyata pendapatan perniagaan atau penyata akaun bank jika masih ingin menerima bayaran yang seterusnya pada bulan Jun dan Ogos. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka tidak akan menerima pembayaran kedua dan ketiga itu nanti. Tak pasti kenapa masih perlu buat rayuan sedangkan pembayaran pertama telah pun diluluskan.

Baca juga:
BR1M oh BR1M...
Bawa semua dokumen yang anda ada!

Saya tinggalkan makcik itu dan anaknya yang masih berbincang-bincang di mana kedai fotostat yang terdekat untuk buat salinan kad pengenalan pasangan sebagai dokumen sokongan. Kaunter pertama yang perlu saya singgah ialah kaunter semakan. Serahkan borang rayuan dan dokumen sokongan seperti penyata akaun bank dan jawab beberapa soalan seperti adakah mak saya bekerja lagi setelah pencen 😀 serta saya perlu tunjukkan di penyata akaun yang mana satu ialah amaun wang pencen yang mak saya terima setiap bulan. Kemudian saya diminta pula untuk ke kaunter serahan.untuk proses akhir dan pengesahan penerimaan borang. Tak sampai 5 minit, selesai sudah urusan rayuan BR1M bagi pihak emak saya...

Kalau selepas ini tidak lulus juga, tak tahu lah nak kata apa. Nak buat rayuan lagi tidak mungkin rasanya, Anggap saja lah tak ada rezeki 😊😊😊





0 comments:

Sayang tak bertempat!

Tuesday, May 09, 2017 Ana 0 Comments


Sayang tak bertempat!


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ingat lagi saya pernah cerita mengenai rumah yang saya refinance sekitar 2 tahun yang lalu?

Rumah yang terletak di Bangi itu saya beli pada tahun 2007. Masuk tahun ini dah 10 tahun usianya. Dalam tempoh 10 tahun itu hanya satu malam saja saya pernah bermalam di sana. Selebihnya saya hanya datang bertandang pada waktu pagi dan menjelang lewat petang saya pun pulang ke rumah di Ampang. Itu rutin saya setiap bulan sepanjang 10 tahun. Setiap kali ke rumah itu saya akan membersihkan apa yang patut, berkemas dan call abang Bangla untuk potong rumput. Halaman luas yang sesuai untuk main bola sepak atau bermain kejar-kejar dengan anak-anak itu memang ambil masa juga untuk dipotong rumputnya. Tapi setiap kali selesai rumput dipotong, mata memang seronok tak lepas memandang laman berumput yang siap saya tanam pokok cempedak, nangka dan pisang itu. Terselit juga puluhan pokok bunga kertas dalam pasu dan 2 pokok kemboja yang kadangkala malu-malu nak berbunga. Dalam rumah juga sudah lengkap dengan perabot, mesin basuh, peti ais, meja makan, katil, sofa malah tv yang lengkap dengan Astro.

Baca juga:
Refinance rumah anda...
Harga rumah akan turun?
Buat duit dengan rumah sewa
Hak milik strata, deposit rumah dan pinjaman bank yang tak diluluskan...

Sepanjang 10 tahun ini ramai juga yang bertanyakan mengapa tak disewakan sahaja rumah tersebut. Ada juga hasilnya daripada terbiar kosong. Dapat juga duit sewa rumah itu digunakan untuk bayar duit bulanan pinjaman perumahan. Jawapan saya ialah saya sayangkan rumah itu. Bimbang bila disewakan akan rosak atau penyewa tak jaga rumah itu macam saya menjaganya. Terbayang-bayang rumah yang tak terjaga dan laman yang semak samun dengan rumput panjang terbiar tak dipotong 🙁

Dengan jawapan 'sayang' saya itu, ramai juga yang tak setuju. Ada yang kata saya kurang bijak dengan biarkan rumah kosong sebegitu. Ada juga yang kata saya sayang tak bertempat. Malah yang lebih 'menakutkan' ialah ada seorang kenalan yang mengatakan saya ini kufur nikmat sebab tak gunakan nikmat rezeki mempunyai rumah tapi tak gunakan nikmat itu dengan sebaiknya 😓


Selepas 10 tahun, akhirnya saya ambil keputusan untuk melepaskan. Melepaskan rasa sayang yang tak bertempat itu dan rasa bimbang yang tak menentu itu dengan membuat keputusan untuk menyewakan rumah tersebut. Bulan Mei ini akan menjadi bulan terakhir saya bersantai-santai menonton tv di rumah tersebut. Mulai bulan depan, rumah itu sudah ada penyewa yang akan menjadi pemilik 'sementara' nya yang baru. Besar harapan saya agar rumah itu akan dijaga dengan sebaik mungkin oleh penyewa tersebut. Memang semua tuan rumah mengimpikan penyewa dari 'syurga' tapi bagi saya memadailah jika penyewa itu menjaga amanah dan mematuhi apa yang telah dipersetujui bersama dalam perjanjian sewaaan.

Menyewakan rumah itu adalah satu keputusan yang berat juga untuk saya lakukan. Apa tidaknya, kad laporan semasa di sekolah tadika pun masih saya simpan sebab sayang nak dibuang apa tah lagi rumah yang jauh lebih besar nilainya.

Ok. Ini dinamakan sentimental terlebih. Nampaknya terpaksa lah saya terima kenyataan dan kritikan orang yang katakan saya ini sayang tak bertempat!

Wang sewa bulanan saya minta tidak di bank in dan saya sendiri akan datang setiap bulan untuk mengambilnya. Tujuannya ialah agar saya masih berpeluang untuk intai-intai rumah itu setiap bulan 😊

Susah juga bila jadi orang yang sayang tak bertempat ini ya!


0 comments:

Ada apa dengan rupa, gaya dan penampilan?

Monday, May 08, 2017 Ana 0 Comments


Ada apa dengan rupa, gaya dan penampilan?



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Oh, ada banyak benda penting yang berkait dengan rupa, gaya dan penampilan. Dengan rupa yang cantik dan penampilan yang menarik, ia adalah bonus untuk mudah dapat lebih perhatian daripada orang lain.  Dengan penampilan yang meyakinkan dan bergaya, lebih mudah untuk kata-kata seseorang itu dipercayai (betul ke?) dan jadi bonus jika individu itu ialah seorang jurujual.

penampilan menarik tambah keyakinan

Tapi, jangan sampai tertipu dengan penampilan. Apa yang ada di permukaan tak semestinya menggambarkan perkara yang sama di dasarnya. Itu lah yang berlaku dalam kisah yang dilaporkan di akhbar dan media sosial mengenai seorang lelaki di Thailand yang berpakaian lusuh dan penampilan tidak terurus ingin membeli motorsikal mewah Harley-Davidson baru-baru ini. Terperanjat besar jurujual apabila lelaki itu mengeluarkan wang tunai untuk bayar harga motorsikal tersebut!

Saya suka dengan cara lelaki itu sebenarnya. Maksud saya bukanlah suka berpakaian lusuh dan penampilan tak terurus tapi saya suka dengan 'kejutan' yang dibuat oleh lelaki itu. Secara tak langsung 'mengajar' kita untuk tidak mengadili seseorang berdasarkan luarannya sahaja.

Saya pernah juga berhadapan dengan situasi yang lebih kurang sama dalam 3 tahun yang lepas, semasa membeli belah persiapan dan baju raya. Teringin nak beli sepasang baju kurung yang pada saya sangat-sangat menarik corak dan warnanya sampai lama juga lah saya perhatikan dari jauh baju kurung yang diperagakan oleh patung di luar kedai tersebut. Bermula dengan pandang-pandang dan jeling-jeling dari jauh sehinggalah akhirnya saya berdiri di depan kedai, menghadap patung tersebut, terpesona dengan baju kurung yang berwarna ungu lembut dan bertanahkan warna putih itu. Mungkin agak lama juga saya 'menghayati' keindahan baju kurung itu sehinggakan ditegur oleh si jurujual.

"Akak masuk dalam lah kak, Kat dalam ni ada yang murah. Baju yang akak pegang tu harga dia lapan ratus"

😊

Belum sempat pun saya nak bertanya harga, si jurujual itu terlebih dahulu 'menganggarkan' yang saya tidak mampu memiliki baju impian yang saya pegang-pegang itu. Siap minta saya masuk ke dalam kedai untuk lihat baju lain yang lebih murah harganya. Mungkin 'penampilan' saya ketika itu tidak mencapai tahap seseorang yang mampu untuk beli baju kurung berharga lapan ratus agaknya?

Ketika itu saya masih makan gaji dan untuk hasrat untuk membeli baju idaman itu masih mampu untuk saya tunaikan dengan wang yang ada. Jika diikutkan hati dan perasaan yang mungkin terasa dengan kata-kata jurujual itu, (dan mungkin juga nak tunjukkan sedikit ego! 😎) mungkin terus saja saya ambil baju itu dan bayar.

Mujurlah saya masih mampu berfikir dengan waras. Baju kurung itu memang cantik dan dah lama saya perhatikan. Dan saya bukanlah seorang yang senang nak berkenan dengan sesuatu. Kebiasaannya jika keluar untuk membeli baju raya, saya akan pergi ke beberapa pusat membeli belah atau pun pusing Jalan Tunku Abdul Rahman beberapa kali dan pernah juga saya pulang dengan tangan kosong kerana tiada baju yang saya berkenan (adakah ini dinamakan cerewet? 😛). Tapi untuk membeli sepasang baju kurung dengan harga sebegitu mahal dan saya pula hanya akan memakainya sekali sekala buatkan saya rasa tidak berbaloi untuk membelinya. Lagipun dengan harga sebegitu saya boleh beli lebih daripada sepasang baju untuk 3 atau 4 tahun raya yang berikutnya!


don't judge a book by its cover

Penampilan yang sederhana juga selalunya 'menyelamatkan' saya daripada didekati dan dihulur flyers oleh jurujual yang membuka booth di pusat membeli belah seperti jurujual rumah, produk kecantikan dan alatan rumah. "Buat rugi je hulur flyers kat minah, nampak macam tak mampu je!". Hehehe mungkin itu agaknya dialog dalam hati jurujual-jurujual tersebut bila saya lalu di depan mereka!

Orang putih kata don't judge a book by its cover. Semuanya terpulang pada situasi, penilai dan si empunya diri yang dinilai. Yang mudahnya, cuba untuk bersangka baik dan layan semua orang sebagaimana kita mahu dilayan....

😊

0 comments:

Pendakap gigi yang 'halal' atau yang 'haram'?

Friday, May 05, 2017 Ana 0 Comments



Pendakap gigi yang 'halal' atau yang 'haram'?


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Salam hari Jumaat, salam sayyidul ayyam. Jom kita perbanyakkan berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad saw..

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya


Terbaca laporan mengenai pengamal pergigian haram yang berani tawarkan perkhidmatan pergigian kosmetik seperti pasang pendakap gigi walaupun tak bertauliah. Macam mana lah agaknya perasaan individu ini. Tawarkan khidmat walaupun tak bertauliah dah terbukti salah, tambah lagi dengan tak fikir apa kesannya pada pelanggan yang gunakan khidmat mereka itu.

Tak dinafikan ada segelintir orang yang pasang pendakap gigi sebab nak bergaya. Saya pun tak pasti bahagian mana di gigi itu yang nampak bergaya  bila pakai pendakap gigi ini. Disebabkan nak bergaya itu lah kini telah ada pula pendakap gigi palsu. Macam-macam!



Ketika saya memakai pendakap gigi @braces suatu ketika dahulu (sudah tersangat lama), ia bukanlah satu proses yang mudah. Daripada mencabut gigi, mencetak acuan (moulding), memakai braces dan pemeriksaan gigi setiap bulan semuanya satu proses yang panjang. Untuk proses mencabut gigi itu 4 batang gigi saya yang sihat walafiat perlu dicabut untuk beri ruang pada gigi yang kurang tersusun. Dua gigi dicabut untuk satu temujanji dan dua lagi pada temujanji yang berikutnya. Dua gigi atas dan dua gigi bawah. Bergoyang jugalah kepala dibuatnya. Bukan mudah ya proses mencabut gigi yang sikit pun tak bergoyang itu.  Tak dapat nak bayangkan proses ini dilakukan oleh doktor gigi yang tak bertauliah.

Pemeriksaan setiap bulan untuk periksa keadaan gigi dan ketatkan metal braces itu juga bukan suatu proses yang seronok. Setiap kali lepas pemeriksaan itu memang rasa tak selesa nak makan. Belum ditambah lagi dengan cara nak menjaga kebersihan gigi yang dah dikelilingi dengan besi itu. Dua tahun memakai braces adalah satu pengalaman yang penuh suka duka 😁😁

"Eh, you tak puasa ke? I nampak ada sayur dekat gigi you!"

Begitulah komen seorang rakan seuniversiti non muslim yang menegur saya ketika kami sedang menunggu masuk ke dewan kuliah pada bulan puasa. Teguran yang lebih kepada 'pengumuman' disebabkan suara beliau yang agak kuat itu. Puas juga lah menahan malu bila orang di sekeliling memandang-mandang.

'Sayur' hijau yang dilihatnya itu bukanlah sayur sebenarnya. Ia adalah getah braces yang berwarna hijau.

Bagaimana ada orang yang boleh terlibat dengan doktor gigi haram ini? Mungkin juga disebabkan harga perkhidmatan yang ditawarkan agak murah. Kos pemakaian pendakap gigi saya dahulu jika tidak silap dalam lingkungan RM1500 - RM2500 di klinik swasta. Kini harga pendakap gigi jauh lebih mahal daripada itu. Niat asal nak guna khidmat klinik kerajaan terbantut selepas diberitahu ada senarai menunggu yang panjang.

Berbaloi ke guna khidmat pengamal pergigian haram hanya sebab nak dapatkan harga yang lebih murah?


"Kesan buruk atau komplikasi yang boleh berlaku adalah seperti kesakitan, infeksi, ulser mulut, gigi longgar, pergerakan gigi yang luar biasa, karies gigi, kehilangan gigi dan gusi yang bengkak serta bernanah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

"Lebih membimbangkan, kata Dr Noor Hisham, risiko dijangkiti virus HIV dan Hepatitis adalah tinggi kerana pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan dengan sempurna." (Sumber : astroawani.com)


Kalau ikutkan penerangan di atas memang sangat-sangat tak berbaloi!

Jadi kalau anda ada rancangan nak pakai pendakap gigi pastikan anda dapatkan khidmat doktor gigi yang betul. Periksa juga anggaran harga perkhidmatan membuat pendakap gigi (google pun boleh) yang terkini dan bandingkan dengan klinik yang anda pilih itu.  Jika harganya tidak logik iaitu sangat murah berbanding harga semasa, maka pilihan terletak di tangan anda. Nak harga yang murah dan risiko hadapi kesan buruk di tangan pengamal pergigian tak bertauliah atau pilih jalan selamat (dan duit lebih sedikit) dengan memilih doktor yang betul?

Pilihan di tangan anda. Braces yang 'halal' atau yang 'haram'?

Buat pengamal pergigian yang menjalankan perkhidmatan secara haram, ketahuilah anda mungkin akan menyebabkan kesengsaraan kepada individu yang lain disebabkan 'perkhidmatan lebih murah' yang anda tawarkan itu...


0 comments: