Tinggal lagi 21 hari untuk merayu..

Wednesday, May 10, 2017 Ana 0 Comments


Tinggal lagi 21 hari untuk merayu..


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Ada 21 hari lagi sebelum tempoh rayuan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tamat pada 31 Mei nanti.  Bagaimana dengan anda yang kecewa dengan status 'Tidak Lulus' dalam permohonan yang lalu, sudahkah anda buat permohonan rayuan?

Pada hari Selasa yang lepas, saya ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Wangsa Maju untuk membuat rayuan bagi pihak emak saya. Dalam perjalanan nak ke sana itu merungut-rungut juga lah sebab terpaksa buat rayuan sedangkan untuk 2 tahun yang sudah tiada sebarang masalah untuk permohonan yang sama. Sudah terbayang-bayang keadaan sesak orang ramai di bahagian hantar borang rayuan. Mesti beratur panjang dan kena habiskan masa yang lama di sana nanti. Dalam pada merungut-rungut itu sampai juga lah saya di LHDN. Kaunter rayuan BR1M terletak di tingkat 3. Ada beberapa orang yang sedang menunggu lif bersama-sama dengan saya dan saya penuh yakin mereka pun menuju ke tingkat 3. Tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Hanya saya seorang yang melangkah keluar dari lif apabila tiba di tingkat 3.


sudah buat rayuan BR1M?


Sampai di tingkat 3, toleh kiri dan kanan dan rasa macam salah tempat pula. Waktu itu jam lebih kurang pukul 3 petang dan suasana di situ sunyi sepi. Toleh kanan dan ternampak papan tanda di sebelah kanan menunjukkan arah kaunter BR1M. Sambil melangkah ke kaunter untuk minta borang (anda boleh download borang terlebih dahulu dan isi maklumat yang diperlukan sebelum pergi ke LHDN untuk mempercepatkan lagi urusan) rasa was-was pula bila situasi tak seperti yang saya jangkakan. Hampir tiada orang hingga saya sangkakan mungkin ke tempoh rayuan dah tamat atau mungkin ke kaunter telah ditutup. Dari jauh hanya kelihatan seorang sahaja pakcik yang sedang duduk di kawasan yang disediakan untuk mengisi borang rayuan dan saya adalah orang yang kedua mengambil tempat duduk tidak jauh dari pakcik tersebut. Selang 5 minit kemudian, datang seorang makcik bersama anak perempuannya duduk di sebelah saya.

"Adik dapat tak yang pertama dulu?" 

Soalan cepumas daripada makcik yang duduk di sebelah saya itu

"Oh, saya buat rayuan untuk mak saya ni makcik. Mak saya memang tak dapat langsung untuk kali ni, tahun-tahun sudah ok je"

"Makcik untuk tahun ni yang pertama dah dapat. Tiba-tiba untuk yang kali kedua ni dia minta isi borang rayuan pula. Bukan kali pertama dah dapat tu maksudnya memang makcik layak ke? Ni saja lah ni nak suruh kita buat kerja merayu-rayu!"

Saya tersenyum saja lah dengar rungutan makcik itu. Memang saya pun fikirkan perkara yang sama ketika membaca berita mengenai perkara ini dahulu. Wang BR1M diberikan secara berperingkat iaitu peringkat pertama pembayaran ialah pada bulan Februari yang lalu. Ada di antara permohonan yang gagal telah diluluskan dan pembayaran telah dibuat tetapi pemohon masih perlu mengemukakan penyata pendapatan perniagaan atau penyata akaun bank jika masih ingin menerima bayaran yang seterusnya pada bulan Jun dan Ogos. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka tidak akan menerima pembayaran kedua dan ketiga itu nanti. Tak pasti kenapa masih perlu buat rayuan sedangkan pembayaran pertama telah pun diluluskan.

Baca juga:
BR1M oh BR1M...
Bawa semua dokumen yang anda ada!

Saya tinggalkan makcik itu dan anaknya yang masih berbincang-bincang di mana kedai fotostat yang terdekat untuk buat salinan kad pengenalan pasangan sebagai dokumen sokongan. Kaunter pertama yang perlu saya singgah ialah kaunter semakan. Serahkan borang rayuan dan dokumen sokongan seperti penyata akaun bank dan jawab beberapa soalan seperti adakah mak saya bekerja lagi setelah pencen 😀 serta saya perlu tunjukkan di penyata akaun yang mana satu ialah amaun wang pencen yang mak saya terima setiap bulan. Kemudian saya diminta pula untuk ke kaunter serahan.untuk proses akhir dan pengesahan penerimaan borang. Tak sampai 5 minit, selesai sudah urusan rayuan BR1M bagi pihak emak saya...

Kalau selepas ini tidak lulus juga, tak tahu lah nak kata apa. Nak buat rayuan lagi tidak mungkin rasanya, Anggap saja lah tak ada rezeki 😊😊😊





0 comments: