Ke bazar Ramadhan ke kita tahun ini?

Wednesday, May 24, 2017 Ana 0 Comments



Ke bazar Ramadhan ke kita tahun ini?



Assalamualaikum & salam sejahtera....


2 hari saja lagi. Semoga kita semua dipanjangkan usia dan direzekikan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan pada tahun ini, Amin..

2 minggu pertama di bulan Ramadhan nanti ialah bersamaan dengan 2 minggu cuti persekolahan pertengahan tahun. Kebiasaannya dalam apa-apa hal sekalipun pastinya lebih meriah dengan gelagat anak-anak terutamanya di bulan puasa. Bagi anak-anak yang yang telah biasa berpuasa mungkin tiada masalah hendak meneruskan ibadah tersebut. Pastinya waktu menjelang petang adalah waktu yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak (bukan anak-anak saja, kita yang dewasa pun sama rasanya) sama ada menanti apa menu istimewa yang dimasak oleh ibu ataupun 'senarai menu' yang dah siap dirancang dalam kepala!

Bazar ramadhan
Sumber : www.kuala-lumpur.ws


Membeli juadah di bazar Ramadhan memang 'aktiviti' yang menyeronokkan bagi kebanyakan orang. Tapi ada juga yang kurang gemar nak bersesak-sesak dan hilang selera nak membeli dalam keadaan begitu.

"Mak ngah, nanti abang balik sekolah petang, abang nak balik rumah terus lah, abang tak suka pergi beli-beli kat pasar (bazar Ramadhan) tu"

"Eh, pergi pasar tu lah best abang. Abang boleh beli macam-macam. Abang kan dah penat puasa, abang boleh pilih lah kat pasar tu apa abang nak makan dan minum masa nak buka puasa nanti"

"Tak nak. Abang tak suka. Ramai orang"

"Abis tu abang nak makan apa je masa buka puasa nanti?"

"Abang suka ayam masak cili yang mak ngah masak tu"

"Makan tu je cukup?"

"Cukup. Abang suka yang tu je"

(*Ayam masak cili saya yang simple itu lah yang jadi kegemaran anak saudara. Belum masuk bulan puasa pun sudah dipesannya siap-siap untuk masak sebagai lauk berbuka nanti 😊)

Jika orang dewasa pun tak gemar nak bersesak-sesak, apa lagi kanak-kanak. Jadi kalau perlu juga nak ke bazar Ramadhan nanti, harap-harap kita juga tak jadi sebahagian daripada orang yang 'menyumbang' kepada kesesakan itu.

Buat senarai juadah yang hendak dibeli sebelum keluar rumah lagi. Jika sudah jejak kaki di bazar Ramadhan baru hendak fikir apa yang hendak dibeli maka kita pun secara 'automatiknya' akan berjalan lenggang kangkung sambil meninjau-ninjau di setiap gerai juadah apa yang berkenan di hati. Tak salah nak melenggang kangkung, tapi kena juga lah fikirkan jika lenggang-kangkung-kita-yang-sambil-bersembang-dan-gelak-ketawa itu akan menyusahkan orang lain yang mengejar masa.

Bazar Ramadhan bukan tempat yang sesuai untuk ber'jejak kasih'. Jumpa kawan lama, saudara jauh mahu pun kawan sepejabat yang kali terakhir kita jumpa ialah 30 minit yang lepas ialah perkara biasa di bazar Ramadhan. Perkara yang juga adalah perkara biasa ialah apabila kita jadikan pertemuan itu sebagai kesempatan untuk beramah mesra. Apa yang jadi sedikit luar biasa ialah apabila sesi beramah mesra selama 20 minit itu kita adakan di hadapan gerai ayam golek atau nasi beriyani yang penuh sesak dengan orang lain yang turut sama mengidamkan juadah itu. Bukan setakat beramah mesra bertanya khabar, malah ada sesi bertukar-tukar pendapat dan cadangan juadah apa yang sedap dan dibeli di gerai yang mana satu di bazar itu!

Jika boleh dielakkan untuk bawa bayi atau anak kecil ke bazar Ramadhan, maka lebih baik dielakkan. Pasti ibu bapa atau penjaga tidak mahu berhadapan dengan situasi anak-anak meragam dalam kesesakan orang ramai itu. Hendak pula anak 'mengamuk' sambil guling-guling di jalan raya kerana tidak dibelikan apa yang diminta. Sudah jadi adat orang Malaysia, maka akan sesaklah dengan orang ramai yang akan menjadi penonton drama sebabak itu nanti. Yang lebih penting ialah soal keselamatan anak-anak itu sendiri sekiranya ibu bapa leka memilih juadah tatkala perut masing-masing sedang berkeroncong ketika itu.

Kuih muih di bazar ramadhan
Sumber : www.kuala-lumpur.ws


Ke bazar Ramadhan ke kita tahun ini? Rancang perbelanjaan membeli juadah agar tidak membazir. Tak lupa juga untuk beli daripada gerai yang bersih untuk elak keracunan makanan. Saya pernah singgah di gerai bazar Ramadhan yang menjual roti John dan hanya perasan 'sesuatu' setelah selesai buat pesanan. Yang menyediakan roti John tersebut ialah si suami manakala yang membungkusnya ialah si isteri yang sambil-sambil melayan seorang anak di sisi. Ketika si isteri sedang membungkus itu lah saya perasan jari wanita tersebut berbalut plaster (mungkin jari nya luka). Dan ketika sedang 'merenung' plaster itu kebetulan datang pegawai (saya kurang pasti pegawai dari kementerian kesihatan atau pun pegawai penguatkuasa). Sambil bertanya-tanya kan soalan kepada si suami, akhirnya pegawai itu bertanyakan kepada si isteri soalan yang bermain di fikiran saya.

"Jari akak tu luka ke kak?"

"Ya, tapi sikit je ni, dah nak elok dah ni Cik"

"Akak bungkus roti John ni tak pakai sarung tangan, jari akak ada luka lagi. Ni salah ni kak"

"Alah, akak lupa lah Cik. Tadi ada akak pakai sarung tangan plastik tu"

Si pegawai siap keluarkan borang dan menulis sambil berpesan sesuatu kepada si suami tersebut. Sebaik saja pegawai itu beredar, pasangan suami isteri itu pun merungut tak puas hati.

"Ada je nak cari salah orang. Itu tak kena ini tak kena!"

Saya hanya tersenyum dan berlalu pergi membawa roti John yang dah siap dibayar sambil jari yang berbalut plaster itu masih terbayang di fikiran 😛

Ke bazar Ramadhan ke kita tahun ini? Pilihan di tangan kita. Buatlah pilihan yang bijak!


0 comments: