Selamat datang Ramadan Kareem....
Selamat datang Ramadan Kareem....
Assalamualaikum & salam sejahtera.....
Hati yang selama ini bimbang tidak berkesempatan bertemu Ramadan sedikit tenang apabila azan Maghrib berkumandang menandakan dua belah kaki sudah melangkah ke bulan yang mulia ini. Bersyukur masih diberikan peluang dan kesempatan untuk merebut bonus dan ganjaran pahala berlipat ganda bagi menambah kekurangan dalam ibadah yang diamalkan selama ini. Mampukah agaknya peluang yang diberikan ini dimanfaatkan sebaik mungkin? Atau sekadar bersyukur di lisan tapi berat dalam perlaksanaan?Atau mungkin terselit rasa 'perasan' umur masih panjang dan masih akan diberi lagi peluang bertemu Ramadan tahun hadapan? (peringatan untuk diri sendiri) 😟
Begitulah yang dinamakan manusia. Kurang menghargai apa yang ada di depan mata. Apabila telah berlalu pergi bulan yang mulia baru mula hendak tertunggu-tunggu kemunculannya semua. Begitulah yang dinamakan manusia. Diberi peluang pada saat dan tika ini untuk merebut ganjaran yang tersedia tapi masih menantikan hari esok yang belum tentu akan menjadi milik kita.
Jom kita sama-sama berusaha gigih di bulan Ramadan ini untuk rebut pahala!
Usai solat Isyak tadi, solat sunat terawih telah bermula untuk malam pertama di bulan Ramadan ini. Apabila tiba-tiba rasa kurang rajin nak menunaikan solat sunat terawih, jom kita sama-sama sematkan di hati yang solat sunat terawih hanya ada di bulan Ramadan saja. Di bulan yang mana amalan sunat diberi balasan pahala amalan fardhu.Tiada lagi peluang untuk menunaikan solat sunat ini jika terdetik rindu di hati kepada solat terawih ketika bulan Syawal nanti. Tidak kah rasa rugi meninggalkan solat sunat yang istimewa ini begitu saja?
Waktu berbuka puasa ialah waktu yang ditunggu-tunggu dan pastinya waktu Maghrib sudah dihafal oleh setiap yang berpuasa sepanjang Ramadan ini. Bagaimana pula dengan amalan sunnah ketika berbuka puasa? Saya ada terbaca kisah di FB mengenai seorang yang berkemampuan untuk berbelanja mewah ketika berbuka puasa tetapi memilih untuk membawa ahli keluarganya berbuka puasa di masjid pada sepanjang bulan Ramadan. Bukan kerana ingin berjimat atau kedekut tapi ada sebab yang rasional di sebalik amalannya itu. Menurut beliau, apabila berbuka puasa di masjid, hidangan telah disediakan oleh pihak masjid dan tidak perlu pening kepala fikirkan menu berbuka lagi. Tapi apa yang paling penting menurut beliau ialah beliau serta ahli keluarganya dapat fokus melakukan amalan yang sangat digalakkan ketika berbuka puasa iaitu memperbanyakkan berdoa. Ya, waktu berbuka puasa ialah waktu mustajab doa. Rasanya ramai orang yang tahu perkara ini tapi pada waktu itu lah kebanyakan daripada kita sibuk bersiap sedia menyenduk nasi ke dalam pinggan atau menuang air oren ke dalam gelas 😛
Keistimewaan sebagai wanita yang 'ABC' di bulan Ramadan dan tak perlu berpuasa sepatutnya tidak disalahgunakan (teringat kes seorang wanita Muslim yang makan di khalayak ramai pada tahun lepas). Memang betul tidak boleh berpuasa tapi itu tidak bermakna boleh makan di tempat terbuka. Makan di tempat tersorok juga perlu lah 'logik' tempat tersorok yang dipilih itu. Makan nasi berlaukkan tempoyak hatta maggi kari sekali pun di sebalik tirai di surau pejabat tak dikira sebagai tempat tersorok ya. Aroma makanan itu akan menyelinap di setiap pelosok surau dan akan mengganggu jemaah yang lain. Begitu juga dengan makan 'menyorok' di laluan tangga kecemasan juga bukanlah pilihan 'port' yang sesuai. Jadi di mana wanita nak makan jika tak boleh berpuasa? Entah lah. Boleh tak agaknya tahan lapar dengan sekadar makan makanan ringan ketika di pejabat? Atau pun lakukan sebagaimana yang kawan sepejabat saya lakukan dulu iaitu makan dalam kereta di tempat letak kereta? 😎
Selamat datang Ramadan Kareem....
Jom sama-sama kita elakkan kesilapan-kesilapan yang biasa kita buat di bulan Ramadan dan 'upgrade' kan ibadah puasa kita tahun ini! 💪💪💪
Sumber : FB Dr Zaharuddin Abd Rahman |
0 comments: