Ini rumah kami yang ketiga!
Ini rumah kami yang ketiga!
Assalamualaikum & salam sejahtera....
Di FB tadi saya terbaca post seorang kenalan yang menulis begini:
"InsyaAllah, this will be our 3rd property"
Kenalan ini sudah lama tidak lama saya hubungi dan hanya saya 'stalk' khabar terkini beliau di FB. Beserta dengan postnya itu ialah gambar beliau bersama suaminya dan di belakangnya tersergam model kondominium dan nampaknya seperti sedang berada di sebuah show room. Hebat, baru saja menjangkau usia 30-an sudah mampu memiliki 3 buah rumah. Di saat ramai yang mengeluh harga rumah naik hingga hanya mampu tengok dan tak mampu milik, beliau perlahan-lahan mengorak langkah dalam mengumpul aset yang jadi impian setiap orang itu.
Melihatkan kehidupan yang dikongsikan kenalan ini dan suami di FB nampak ringkas saja. Beliau dan suami kedua-duanya bekerja di syarikat swasta dan si suami memandu GrabCar untuk menambah pendapatan sampingan. Baru memiliki seorang cahayamata. Perjalanan ke pejabat dari rumah yang terletak di Cyberjaya ke Kuala Lumpur ialah dengan 'merempit' berdua menaiki motorsikal. Kereta hanya digunakan untuk bersiar-siar bersama keluarga atau ketika memandu untuk GrabCar. Kenalan saya itu juga membuat bisnes online kecil-kecilan dengan menjual susu kambing dan produk kecantikan berasaskan bahan-bahan semulajadi. Antara kegemaran lain pasangan suami isteri ini selain 'memburu rumah' untuk dimiliki ialah menyertai pertandingan sama ada pertandingan online/atas talian mahu pun pertandingan yang diadakan di acara-acara tertentu. Dan sudah banyak kali rezeki memihak kepada mereka dengan menang baucer, wang tunai mahupun hadiah percutian. Apabila ditanya apa petua atau tips untuk menang, jawapannya mudah. Positif dan yakin saja boleh menang! 👍
Seronok ikuti perjalanan harian mereka berdua. Daripada sebuah rumah di Cyberjaya, kemudiannya rumah kedua di Melaka dan baru-baru ini dalam proses membeli rumah di Sg Besi.sebagai rumah ketiga. Dengan perancangan kewangan yang betul, membeli rumah di usia muda adalah langkah yang bijak kerana harga rumah agak sukar untuk turun (tak mungkin akan turun?) dan semakin lama menunggu untuk memulakan langkah membeli rumah maka semakin tinggi harga yang perlu dibayar. Rumah yang saya beli pada tahun 2007 dengan harga RM247,000 kini telah naik 2 kali ganda harga pasarannya. Jiran belakang rumah menjual rumahnya dengan harga RM500,000 tanpa sebarang penambahan pada rumah tersebut. Bayangkan pula berapa harga yang boleh dijual untuk rumah yang telah ditambahbaik?
Kenapa menunggu lama untuk membeli rumah? Lain orang lain sebabnya. Sebab yang paling utama ialah wang yang masih belum mencukupi. Tak layak memohon pinjaman perumahan. Tanggungan yang banyak. Wang gaji banyak dihabiskan untuk bayaran bulanan pinjaman kereta yang-masa-beli-tak-fikir panjang-dan-nak-kereta-yang-mahal-dan-nampak-bergaya. Menunggu untuk beli rumah impian yang tersergam di kawasan perumahan elit. Terlalu banyak hutang terutamanya hutang pinjaman pendidikan atau hutang kad kredit. Mengamalkan gaya-hidup-mewah-biar-papa-asal-bergaya.
Tak salah nak melancong luar negara 4 atau 5 kali dalam setahun jika mampu tapi simpan juga lah sedikit dalam 'tabung ayam' itu simpanan untuk membeli rumah. Tak salah nak bergaya mewah dan berbelanja lebih untuk makan yang sedap-sedap tapi asingkan lah juga paling kurang 10% daripada gaji untuk simpanan.
Ada juga orang yang mampu dari segi kewangan tapi masih belum miliki rumah sendiri dan memilih untuk menyewa. Menyewa adalah gaya hidup terkini katanya? Dalam satu ceramah yang dikendalikan oleh seorang ustaz sempat pula beliau ceritakan mengenai seorang aktor lelaki yang dengan pendapatan beliau mampu untuk membeli lebih daripada sebuah rumah tapi memilih untuk menyewa sahaja. Harga sewa rumah yang dibayarnya juga mengejutkan kami di ceramah itu yang mendengarnya, iaitu lebih kurang RM5,000 sebulan! Err, saya pun dah tak ingat apa topik ceramah pada hari itu dan macam mana boleh termasuk pula cerita mengenai sewa rumah pelakon lelaki tersebut dalam ceramah ustaz tersebut 😀
Ada juga yang takut (takut?) atau kurang rajin untuk mulakan langkah beli rumah. Memang betul ada banyak proses yang terlibat seperti pinjaman dengan pihak bank, urusan dengan pihak peguam, urusan dengan syarikat perumahan dan lain-lain lagi tapi ikut saja proses dan prosedur yang diperlukan satu persatu dan bayangkan di akhir semua proses itu nanti ialah anda kini telah memiliki sebuah rumah. Tiada apa yang mudah di dunia ini. Semuanya perlukan usaha dan tindakan. Hatta hendak makan pun perlu gerakkan tangan menyuap ke mulut kan.
Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Mulakan langkah untuk memiliki rumah idaman anda hari ini juga. Selagi belum bermula selagi itulah tak terjangkau rumah yang diidam-idamkan!
😊
0 comments: