Ada apa dengan rupa, gaya dan penampilan?
Ada apa dengan rupa, gaya dan penampilan?
Assalamualaikum & salam sejahtera...
Oh, ada banyak benda penting yang berkait dengan rupa, gaya dan penampilan. Dengan rupa yang cantik dan penampilan yang menarik, ia adalah bonus untuk mudah dapat lebih perhatian daripada orang lain. Dengan penampilan yang meyakinkan dan bergaya, lebih mudah untuk kata-kata seseorang itu dipercayai (betul ke?) dan jadi bonus jika individu itu ialah seorang jurujual.
Tapi, jangan sampai tertipu dengan penampilan. Apa yang ada di permukaan tak semestinya menggambarkan perkara yang sama di dasarnya. Itu lah yang berlaku dalam kisah yang dilaporkan di akhbar dan media sosial mengenai seorang lelaki di Thailand yang berpakaian lusuh dan penampilan tidak terurus ingin membeli motorsikal mewah Harley-Davidson baru-baru ini. Terperanjat besar jurujual apabila lelaki itu mengeluarkan wang tunai untuk bayar harga motorsikal tersebut!
Saya suka dengan cara lelaki itu sebenarnya. Maksud saya bukanlah suka berpakaian lusuh dan penampilan tak terurus tapi saya suka dengan 'kejutan' yang dibuat oleh lelaki itu. Secara tak langsung 'mengajar' kita untuk tidak mengadili seseorang berdasarkan luarannya sahaja.
Saya pernah juga berhadapan dengan situasi yang lebih kurang sama dalam 3 tahun yang lepas, semasa membeli belah persiapan dan baju raya. Teringin nak beli sepasang baju kurung yang pada saya sangat-sangat menarik corak dan warnanya sampai lama juga lah saya perhatikan dari jauh baju kurung yang diperagakan oleh patung di luar kedai tersebut. Bermula dengan pandang-pandang dan jeling-jeling dari jauh sehinggalah akhirnya saya berdiri di depan kedai, menghadap patung tersebut, terpesona dengan baju kurung yang berwarna ungu lembut dan bertanahkan warna putih itu. Mungkin agak lama juga saya 'menghayati' keindahan baju kurung itu sehinggakan ditegur oleh si jurujual.
"Akak masuk dalam lah kak, Kat dalam ni ada yang murah. Baju yang akak pegang tu harga dia lapan ratus"
😊
Belum sempat pun saya nak bertanya harga, si jurujual itu terlebih dahulu 'menganggarkan' yang saya tidak mampu memiliki baju impian yang saya pegang-pegang itu. Siap minta saya masuk ke dalam kedai untuk lihat baju lain yang lebih murah harganya. Mungkin 'penampilan' saya ketika itu tidak mencapai tahap seseorang yang mampu untuk beli baju kurung berharga lapan ratus agaknya?
Ketika itu saya masih makan gaji dan untuk hasrat untuk membeli baju idaman itu masih mampu untuk saya tunaikan dengan wang yang ada. Jika diikutkan hati dan perasaan yang mungkin terasa dengan kata-kata jurujual itu, (dan mungkin juga nak tunjukkan sedikit ego! 😎) mungkin terus saja saya ambil baju itu dan bayar.
Mujurlah saya masih mampu berfikir dengan waras. Baju kurung itu memang cantik dan dah lama saya perhatikan. Dan saya bukanlah seorang yang senang nak berkenan dengan sesuatu. Kebiasaannya jika keluar untuk membeli baju raya, saya akan pergi ke beberapa pusat membeli belah atau pun pusing Jalan Tunku Abdul Rahman beberapa kali dan pernah juga saya pulang dengan tangan kosong kerana tiada baju yang saya berkenan (adakah ini dinamakan cerewet? 😛). Tapi untuk membeli sepasang baju kurung dengan harga sebegitu mahal dan saya pula hanya akan memakainya sekali sekala buatkan saya rasa tidak berbaloi untuk membelinya. Lagipun dengan harga sebegitu saya boleh beli lebih daripada sepasang baju untuk 3 atau 4 tahun raya yang berikutnya!
Orang putih kata don't judge a book by its cover. Semuanya terpulang pada situasi, penilai dan si empunya diri yang dinilai. Yang mudahnya, cuba untuk bersangka baik dan layan semua orang sebagaimana kita mahu dilayan....
😊
0 comments: