Siapa lagi yang boleh diharapkan?

Thursday, May 18, 2017 Ana 0 Comments



Siapa lagi yang boleh diharapkan?



Assalamualaikum & salam sejahtera.....

Sedih betul baca laporan akhbar mengenai seorang anggota polis berpangkat koperal yang ditangkap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah melibatkan rumah urut dan pusat judi haram (ada ke pusat judi halal?). Sejumlah besar wang tunai turut ditemui di rumah anggota polis itu. Masa kanak-kanak dulu bila sebut saja polis, maka yang terbayang ialah polis tangkap pencuri. Jadi kini bila ada kes polis pula yang ditangkap, apa sudah jadi dengan negara kita hari ini?

rasuah di mana-mana

Jika pihak yang diharapkan itu sudah tidak boleh dipercayai, maka ke mana lagi lah hendak diarahkan kepercayaan masyarakat dalam usaha membanteras jenayah hari ini? Mungkin tidak adil hendak menyamaratakan kesemua anggota keselamatan itu sebagai terlibat dengan rasuah. Tapi itu lah, kerana nila setitik , habis rosak susu sebelanga. Kerana sikap korup segelintir individu yang diamanahkan menjaga keselamatan itu, tak mustahil sudah terbit rasa ragu-ragu di hati anggota masyarakat hendak mengadu dan mengharapkan keadilan ditegakkan. Rakyat melaporkan kes jenayah kepada pihak berkuasa tetapi malang dengan ada nya individu yang sebegini, kes yang dilaporkan tidak pernah selesai kerana suapan wang ringgit telah menggelapkan mata.  Benar kah kes sebegini hanya melibatkan 'nila setitik?'

"Mesti banyak untung ni kan makcik, hari-hari habis licin kuih makcik ni saya tengok"

"Ada lah sikit. Itu pun kena kongsi dengan 'hantu' tu!"

Terkejut juga apabila saya dengar jawapan makcik jual kuih itu. Untung jual kuih kena kongsi dengan 'hantu'?

'Hantu' tu lah, tiap-tiap bulan datang kutip duit. Kalau tak bagi, memang tak dapat lah makcik jual kuih lagi kat sini"

Kasihan. Makcik yang mengerah tulang empat kerat jual kuih, ada pula pihak yang tak berhati perut senang-senang saja minta 'duit bulanan'.

Itu satu kes yang saya pernah dengar. Mungkin ada yang akan kata "Berapalah sangat 'hantu' itu dapat daripada makcik jual kuih tu". Saya tak tanya berapa yang perlu dibayar oleh makcik itu. Jika RM50 sekali pun jumlah nya, itu baru untuk satu gerai jual kuih. Belum campur lagi dengan gerai jual nasi ayam dara, gerai jual rojak dan cendol, gerai jual air mangga dan gerai-gerai lain yang berderet di situ!

Satu kes lagi ialah kes pekerja dari seberang yang menyewa sebuah rumah pangsa kepunyaan jiran saya. Apabila tiba hujung bulan waktu untuk kutip duit sewa, maka salah satu cerita sedih yang diceritakan penyewa itu ialah kisah dirinya dan isteri yang diperas ugut oleh pihak berkuasa kerana permit sudah tamat tempoh. Katanya, jika tidak mahu ditangkap, maka perlu bayar sejumlah wang kepada pihak tersebut. Dalam kes ini si penyewa itu sendiri yang seakan-akan 'membuka peluang' untuk diperas ugut sebegitu. Dan pihak yang tamak akan rebut peluang depan mata untuk cari 'pendapatan sampingan' dengan cara yang salah. Saya ada juga terfikir mungkin juga dalam kes ini si penyewa hanya mereka-reka cerita sebagai alasan untuk melewat-lewatkan membayar sewa. Tapi jika benar-benar berlaku maka bertambahlah satu lagi 'kes sedih' melibatkan amanah yang telah dikhianati. Siapa lagi yang boleh diharapkan?

Apa-apa pun, semua di atas ialah kes yang melibatkan pihak yang berkuasa dan dipercayai. Diamanahkan untuk melaksanakan tugas mengikut peraturan dan melindungi hak masyarakat tapi lain pula yang berlaku. Harapkan pagar, pagar makan padi.

Dalam perkara yang melibatkan kepercayaan, apabila sekali telah dikhianati, sukar untuk mudah percaya kembali!


0 comments: