Sebiji cili yang 'gugur'....

Thursday, May 04, 2017 Ana 0 Comments



Sebiji cili yang 'gugur'....


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Eh, pokok cili saya dah berbuah?

Dah lama juga saya tanam pokok cili itu, kira-kira 3 bulan yang lepas. Disebabkan kurang penjagaan dari segi letakkan baja dan hanya menggembur tanah serta menyiram air saja maka pokok cili saya itu tidaklah begitu sihat rupanya. Batangnya kurus dan daun juga ada yang berlubang-lubang. Tambahan pula kadang-kadang nampak pula tetamu tak diundang iaitu siput b*bi dengan selambanya 'memanjat' pokok cili saya itu.


Macam tak percaya pula apabila nampak sebiji cili atas tanah dalam pasu pokok cili saya pagi tadi. Rasa tak percaya sebab pokok cili itu hampir hari-hari tanahnya saya gemburkan. Tak kan saya tak perasan pula sudah ada buahnya (sampai saya ada terfikir mungkin ada orang yang nak bergurau dan letakkan sebiji cili dalam pasu itu tapi bila fikir semula takkan lah ada orang yang nak main-main begitu). Tiba-tiba saja nampak ada sebiji cili yang dah 'gugur' di atas tanah.

Ini yang buat semangat nak jaga pokok cili baik-baik ni!



Selain pokok cili, saya ada juga tanam pokok kunyit, daun pandan, daun kari dan daun kesum. Pokok cili ditanam sebab hampir setiap minggu saya akan beli cili merah di pasaraya. Ada di sesetengah tempat 400g cili merah dijual dengan harga RM5, ada di sesetengah tempat cili merah dijual dengan harga RM8 untuk 500g dan ada pula di sesetengah pasaraya saya dapat beli cili merah dengan harga RM8 untuk 600g. Kunyit dan kari ditanam sebab tiap-tiap minggu mesti masak gulai atau kari kegemaran anak-anak saudara. Dah tak larat nak beli daun kari dan kunyit yang harganya tak pernah kurang seringgit di pasaraya. Nak gunanya sikit saja. Pokok daun kesum pula masih baru ditanam lepas rasa sedap makan sardin masak asam pedas yang saya cuba masak baru-baru ini (ok, masuk bakul angkat sendiri 😛) jadi ada kemungkinan akan selalu guna daun kesum selepas ini. Hajat di hati nak tambah sepasu dua lagi tanaman dengan pokok limau purut dan serai.

Minat nak bercucuk tanam semuanya datang lepas halaman rumah selamat di simen gara-gara kucing yang tak dijemput jadikan laman rumah sebagai tandas awam. Tanah yang tinggal sekangkang kera itu lah yang saya cucuk dan tanam. Semuanya dalam pasu kecuali pokok daun kari. Sayur-sayuran tak ada pula saya tanam sebab memang di rumah saya ini kurang yang berminat makan sayur (ok, ini tak bagus, jangan ikut ya).

Apabila pokok cili dah ada cili sebiji, baru lah terfikir nak cari cara-cara penjagaan pokok cili yang betul. Alang-alang menyeluk pekasam menanam biarlah sampai dapat hasilnya kan. Hasil mengoogle, banyak juga tips dan petua yang saya jumpa untuk menyuburkan pokok cili. Daripada penggunaan baja urea, baja buatan sendiri hinggalah kepada petua gunakan air basuhan beras atau perut ikan untuk menyiram pokok cili. Hasil mengoogle juga menemukan saya dengan fakta-fakta menarik mereka yang berjaya dengan penanaman pokok cili ini hingga mampu meraih pendapatan yang lumayan. Menarik untuk dijadikan sumber inspirasi walaupun untuk orang seperti saya yang hanya ada 2 pasu pokok cili 😊

Memang tak rugi berbakti kepada tanah. Selain dapat makan hasil tanaman yang segar, dapat juga jimatkan duit poket!




0 comments: