Topi keledar dan kepala yang kebal

Wednesday, April 12, 2017 Ana 0 Comments


Topi keledar dan kepala yang kebal



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Saya tak memiliki motorsikal dan hanya pernah tumpang naik motorsikal kawan masa di universiti dulu. Pertama kali naik motor rasa takut juga. Dengan tak berapa nak pandai naik atas motor apabila pakai baju kurung memang jadi satu 'masalah kecil' nak melangkah naik atas motor itu.

Tapi yang pasti topi keledar @ helmet mesti ada di kepala. Itu memang tak pernah tinggal.  Tak ada kompromi dengan hal-hal keselamatan ini hatta nak ke kolej kediaman yang jarak tak berapa jauh daripada kolej saya sekali pun.

Jadi bila saya selalu sangat-sangat nampak orang dewasa yang tunggang motor dengan topi keledar lengkap di kepala tapi di depan atau di belakang nya ada pembonceng (biasanya anak kecil atau kanak-kanak) yang 'kosong' kepalanya tanpa topi keledar, saya rasa tersangatlah geram!

Hargai nyawa orang tersayang, pakai topi keledar
Sumber : sarawakiana.net


Macam mana pula boleh sampai hati biarkan kanak-kanak itu tanpa topi keledar sedangkan diri sendiri elok pula pakai dengan kemasnya di kepala?

Kepala kanak-kanak itu kebal agaknya dan tahan lasak serta boleh tahan hentakan sekiranya malang tak berbau dan berlaku kemalangan?

Seingat saya tak pernah lagi nampak orang dewasa yang menunggang motor tak pakai topi keledar tapi si pembonceng kanak-kanaknya pakai topi keledar.

Jika yang menunggang dan membonceng itu kesemuanya orang dewasa yang tak bertopi keledar, itu sudah lain ceritanya. Orang dewasa patutnya dah boleh berfikir panjang. Berbeza dengan kanak-kanak yang mengharapkan si penjaga melindunginya daripada sebarang perkara yang membahayakan. Tapi nampaknya si penjaga lebih utamakan keselamatan diri sendiri daripada orang di bawah jagaannya.

Mungkin ada yang akan kata ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang membonceng itu tak mampu nak belikan topi keledar. Bagi saya sehabis boleh usahakan lah juga untuk sediakan topi keledar dengan membeli yang paling murah (tak kisah lah topi keledar full face atau open face tapi masih ada pengesahan keselamatan SIRIM dan bukannya beli topi keledar yang terpakai). Jika dikatakan tak mampu nak beli, pada saya adalah lebih tak mampu nak hadapi penyesalan di kemudian hari jika perkara buruk berlaku dan boleh dielak sekiranya ada topi keledar yang melindungi kepala.

Hargai nyawa orang tersayang, pakai topi keledar


Berapa harga sebiji topi keledar yang paling murah?

Saya tak pasti.

Yang pastinya 'kepala' yang dilindungi dengan sebiji topi keledar itu tidak ternilai harganya...


0 comments: