Terlajak kata buruk padahnya.....

Tuesday, April 25, 2017 Ana 0 Comments



Terlajak kata buruk padahnya.....


Assalamualaikum & salam sejahtera....

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa...

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya...

Nak buat orang ketawa bukan satu kerja yang mudah. Bukan semua orang rasa cerita lawak kita itu kelakar. Ya lah, rambut sama hitam tapi hati lain-lain kan?

Sesetengah orang tak perlu buka mulut pun nak bercerita tapi orang tengok mukanya pun dah ketawa (mungkin orang teringatkan personalitinya yang ceria, kelakar dan mudah mesra). Sesetengah orang pula ada banyak sekali koleksi cerita lawak dan itu lah yang jadi modalnya untuk bersembang dengan orang lain. Ada juga orang yang lawaknya daripada aksi atau lagak yang melucukan. Yang paling tak boleh diterima ialah lawak yang menyentuh sensitiviti tak kira lah sama ada berkaitan dengan peribadi, agama, bangsa mahu pun negara. Apa tah lagi lawak yang dianggap kurang sopan atau l*cah.




Saya tak pernah menonton rancangan 'Sukan Tak Sentral' kerana kurang minat nak menontonnya. Apabila timbul isu panas mengenai pengacara rancangan ini yang seperti mempermain-mainkan nama bapa kepada bekas pelari pecut negara, baru lah pertama kali saya melihat sepintas rakaman rancangan yang kurang bijak itu. Memang menyakitkan hati apabila menonton aksi pengacara tersebut. Tak dapat nak bayangkan perasaan mereka yang ada kaitan dengan nama individu yang dipermain-mainkan namanya itu.

Apa yang ada di fikiran pengacara tersebut ketika itu hanya dia seorang saja yang tahu. Mungkin tak berniat nak menjatuhkan maruah dan sekadar berlawak tapi malangnya lawak beliau tidak kena tempat. Mungkin ketika itu beliau rasa sangat-sangat teruja dan idea berlawak mencurah-curah dalam kepala lalu terus laju diterjemahkan kepada kata-kata tanpa sempat ditapis.

Jika pengacara itu yang terkhilaf, hairan juga bagaimana semua krew yang terlibat turut sama terkhilaf dan tidak perasan aksi tidak sensitif itu ketika proses suntingan (ada proses suntingan kan untuk rancangan yang dirakam?).  Ini bukan siaran langsung. Tak mungkin lah semua krew yang terlibat rasa aksi itu kelakar dan sesuai disiarkan untuk tontonan ramai?

Ini bukanlah pertama kali berlaku sesuatu yang sensitif dijadikan bahan lawak (juga oleh individu-individu lain). Bukan pertama kali nama orang tertentu dijadikan bahan ketawa. Mungkin selama ini perkara itu hanya diketawakan sepintas lalu dan tiada yang ambil tindakan maka ramai yang terleka dan terlepas pandang. Dan semakin ramai yang mula jadikan jenaka sebegini sebagai modal menarik perhatian ramai.

Pengacara yang dimaksudkan itu pernah saya tonton berperanan sebagai hos sebuah rancangan motivasi atau kerohanian di samping seorang ustaz yang terkenal. Elok saja lakunya dalam rancangan itu. Saya percaya beliau mampu menyesuaikan diri dengan rancangan yang pelbagai dan kontroversi yang berlaku mungkin benar-benar akibat terlepas cakap (akibat terlalu 'teruja' ) atau masih bolehkah dianggap sebagai slip of the tongue? Insiden ini sesungguhnya menjadi dugaan besar buat pengacara yang baru 2 minggu melangsungkan perkahwinan itu.

Apa-apa pun nasi sudah menjadi bubur. Pengacara dan krew telah digantung tugas. Maaf sudah dipinta namun tidak diterima. Apa saja tindakan yang bakal dikenakan harus diterima dengan berlapang dada. Apa yang berlaku pastinya jadi pengajaran yang sangat berguna bukan saja buat pengacara, krew yang terlibat, stesen tv malah untuk kita semua.


Terlajak kata buruk padahnya namun tidak perlu lah dihentam kiri dan kanan akan si pelaku hingga tiada maaf bagimu dan bagaikan tiada esok untuknya.

Hari ini ia berlaku kepada si pengacara, mungkin esok lusa kita pula yang terlepas kata...


0 comments: