Taktik menjual, iklan dan sandwich yang mahal...
Taktik menjual, iklan dan sandwich yang mahal...
Assalamualaikum & salam sejahtera...
"Akak..akak ingat saya lagi tak?"
Tengahari tadi selepas selesai sesi fisioterapi emak saya di Pusat Perubatan Naluri Wangsa Maju, saya singgah di Maybank cawangan berhampiran. Turun saja dari kereta yang saya letak agak jauh dari bank itu dan ketika melangkah ke arah bank, nampak dari jauh ada seorang pemuda sedang melambai-lambai ke arah saya.
Semakin hampir dengan bank tersebut, memang sah pemuda itu sedang melambai tangannya ke arah saya. Siapa pula ni? Saya rasa pemuda itu salah orang sebab saya memang confirm tak kenal pun beliau. Berkerut-kerut dahi saya melihat wajah pemuda yang berdiri di depan saya itu.
"Akak, akak ingat saya lagi tak?"
"Tak ingat!"
Laju saja saya menjawab sebab memang tak kenal pun.
"Ala, tak kan tak ingat kak? Tak apa, akak masuk bank dulu nanti saya ingatkan akak"
Saya pun terus saja masuk ke bank untuk berurusan. Di luar bank tersebut memang kebiasannya ada orang yang menunggu. Sama ada wakil dari rumah anak yatim yang memohon derma atau pun individu yang berbekalkan meja dan beberapa bunting untuk menjual produk-produk tertentu.
Sementara beratur menunggu giliran di mesin deposit wang, sempat juga saya intai-intai pemuda itu dari cermin kaca bank tersebut. Beliau kelihatannya sedang menjual satu produk lelaki yang saya tak pernah dengar jenamanya sebelum ini. Ada beberapa orang yang berminat dan membelek-belek produk yang dipamerkan itu. Memang sah lah gelagatnya tadi itu (yang berpura-pura kenal saya) ialah hanya taktiknya untuk menjual barang jualannya. Pertama kali saya jumpa penjual dengan taktik begini! (Dan pelik juga kenapa nak promosikan produk penjagaan peribadi untuk lelaki kepada saya).
Mungkin teknik menjual dan taktik 'ramah mesra' nya itu berkesan selama ini untuk menarik pelanggan. Tapi perlu berhati-hati juga kerana taktik yang 'kreatif' dan lain daripada yang lain itu mungkin juga tak disenangi oleh sesetengah orang. Jika ada orang yang luangkan masa untuk 'cuba mengingat si pemuda' itu dan akhirnya tersedar hanya lakonan si pemuda untuk menjual produknya, bukan ke hanya membuang masa dan boleh mengundang kemarahan?
Persaingan dalam dunia perniagaan menjadikan aktiviti menjual dan mengiklan pada zaman ini tidak sama seperti zaman dahulu lagi. Mungkin itu lah yang cuba dilakukan oleh pemuda itu iaitu keluar daripada kebiasaan dalam cara menjual. Begitu juga dengan bahasa pengiklanan. Jika dulu ayat pengiklanan adalah serius dan skema bunyinya, kini cara dan bahasa pengiklanan juga telah berubah mengikut peredaran zaman. Mengikut bahasa dan gaya anak muda masa kini (terpulang juga kepada produk yang diiklankan). Bahasa iklan juga lebih trendy, catchy dan kekal dalam ingatan bakal pelanggan. "Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?" Pasti kebanyakan orang tahu kan iklan apa tu? Tak kurang juga iklan yang sedikit 'rojak' dengan menggabungkan bahasa Melayu dan Inggeris dalam ayat iklannya mungkin untuk buat orang lebih mudah ingat akan produk tersebut.
Selain bahasa iklan yang sesuai, pengiklanan oleh duta di kalangan selebriti juga tak kurang berkesannya. Cuma yang tak best nya ialah ada juga produk-produk diiklankan oleh duta itu seperti tak kena dengan bidangnya. Tapi pada pendapat saya, untuk seorang ahli sukan menjadi duta kepada perisian antivirus atau produk berkaitan dengan pembinaan/kelengkapan rumah agak kurang berkaitan. Apa tah lagi watak animasi kanak-kanak yang dikenali dengan imej tidak berambut dijadikan pula duta untuk produk syampu bagi kanak-kanak 😯
Ayat yang gah dalam pengiklanan saja tak cukup tanpa servis perkhidmatan yang baik. Hari ini saya 'dikecewakan' apabila membeli makanan di salah sebuah kedai makanan yang popular dengan sandwich nya. Ada sedikit 'kejutan' apabila saya memesan sandwich yang biasa saya pesan sebelum ini..
"Akak nak roti yang mana kak?"
"Croissant"
"Kalau croissant kena tambah seringgit kak"
"Eh, tambah seringgit? Baru ke ni? Sebelum ni tak kena tambah seringgit pun?"
"Ya kak, sebelum ni tak ada"
"Kenapa kena tambah seringgit?"
""Tak tau kak"
Rasa tak puas hati apabila kena tambah RM1 itu bertambah-tambah lagi dengan jawapan "tak tau" yang selamba saja keluar dari mulut pekerja itu. Boleh ya jawab "tak tau" bila ditanya kenapa naik harga sampai RM1? Jawapan yang terlebih jujur daripada pekerja tersebut. Melihat pada papan menu di kaunter (yang selama ini saya tak perlu lihat sebab dah biasa buat pesanan sandwich yang sama) saya perasan ada dipaparkan mengenai tambahan RM1 itu. Memang itu lah nampaknya kali terakhir saya akan ke kedai sandwich itu.
Good product + Good marketing + Good service = Good business
😊
0 comments: