Hari yang ditunggu-tunggu...

Sunday, April 16, 2017 Ana 2 Comments



Hari yang ditunggu-tunggu...



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Adakah hari yang ditunggu-tunggu semakin hampir?

Memandu kereta ke deretan rumah kedai yang berhampiran kini rasa lain macam sikit. Rasa macam meluncur laju saja, dah tak seperti dulu terangguk-angguk dalam kereta seperti naik kereta kuda (atau naik unta?). Jalan yang dulunya berlubang sana-sini, kini dah diturap rata. Bukan semua, masih ada lagi jalan-jalan berlubang yang 'ngeri' rasanya nak lalui terutamanya ketika hujan lebat dan terpaksa main teka teki dan agak-agak kedudukan lubang-lubang yang dipenuhi air itu untuk dielak ketika memandu.

Padang permainan kanak-kanak yang dulunya hanya ada jongkang-jongkit dan buaian serta beberapa buah kerusi untuk bersantai, kini turut berubah wajahnya. Bukan setakat permainan nya ditambah, sekarang dah ada juga peralatan senaman yang disediakan untuk kegunaan orang dewasa. Bagus lah. Harap-harap tak ada lagi akan ternampak orang dewasa turut sama berbuai-buai di buaian atau 'turun-naik' di jongkang-jongkit untuk kanak-kanak itu.

Tak lupa juga rumah-rumah pangsa yang nampaknya akan berwajah baru pada hari raya tahun ini. Cat yang kusam kini dalam proses penggantian cat baru. Kemudahan yang kurang kini ditambah dan diperbaiki lagi.

Adakah ini tanda-tanda atau simptom-simptom pilihanraya umum ke-14 (PRU14) akan muncul tak lama lagi?

Soalan yang lebih penting daripada itu ialah:

Adakah anda termasuk dalam senarai pemilih yang berdaftar untuk mengundi jika pilihanraya diadakan tidak lama lagi?

PRU14 semakin hampir?

Saya sudah 2 kali mengundi di pilihanraya umum setakat ini. Pertama kali pada tahun 2008 dan kali kedua pada tahun 2013. Pertama kali mengundi memang rasa teruja dan pada masa yang sama berdebar-debar juga. Takut tersalah pangkah atau tersalah masuk kertas undi dalam kotak. Terasa macam setiap langkah saya dalam bilik membuang undi itu diperhatikan orang (perasan!) 😎. Selesai saja mengundi untuk pertama kalinya itu terus saja bertukar sms dengan kawan-kawan yang lain yang sama-sama teruja ambil bahagian dalam pilihanraya umum untuk pertama kali dalam hidup.

Ketika mengundi di pilihanraya umum ke-13 pada tahun 2013 saya lebih rileks  😉sebab dah ada pengalaman mengundi 5 tahun sebelumnya itu. Tapi masih juga ada perasaan teruja bila mana pilihanraya tahun tersebut pertama kali diperkenalkan dakwat kekal yang dicalit pada jari pengundi untuk mengelak pengundi yang sama mengundi lebih dari sekali di 2 tempat mengundi yang berlainan. Saya ingat lagi di media sosial ketika itu penuh meriah dengan gambar jari-jari berwarna hitam yang dikongsi oleh netizen yang dah laksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Undi adalah rahsia. Dan saya juga kurang gemar bila didekati oleh perayu undi. Saya faham itu adalah tugas mereka untuk meraih undi tapi entahlah memang saya kurang gemar 'dirayu-rayu' begitu. Undi saya tak akan berubah dengan pujuk rayu.

Baca juga:
Raya, raya dan 'raya'!

Saya masih ingat lagi ketika makan sarapan di sebuah gerai di tepi jalan yang agak penuh dengan pelanggannya pada suatu pagi menjelang penghujung kempen PRU13 yang lalu. Meja di belakang sekali nampak agak ramai orang yang berkumpul dan ada juga beberapa orang yang memakai kemeja yang sama.  Sambil lalu untuk ambil tempat duduk di meja baris ke 3, saya tak perasan pula siapa yang beramai-ramai di meja belakang itu. Pada fikiran saya mungkin petugas-petugas pilihanraya yang agaknya sedang bincangkan kat mana nak pergi berkempen lagi selepas ini.

Sedang saya dan emak menikmati sarapan tiba-tiba kedengaran orang riuh-rendah menegur seseorang. Belum sempat saya berpaling untuk melihat siapakah gerangannya yang 'diminati' ramai itu, orang tersebut betul-betul sedang lalu di sebelah meja makan saya dan emak sambil tersenyum-senyum dan mengangkat tangan kepada orang ramai.

Oh, Yang Berhormat ini rupa-rupanya di meja belakang tadi!

Tak sangka pertama kali saya nampak sendiri Yang Berhormat itu di depan mata di gerai tepi jalan ini.

"Kak, kira kak. Tadi makan mihun dengan sambal sotong, 2 pinggan. lepas tu teh tarik 2 gelas"

"Tak payah bayar dik. YB tadi dah bayarkan untuk semua orang. 

Oh, kalau saya tahu YB itu nak bayarkan, awal-awal lagi saya dah makan sarapan lebih sedikit termasuk juga pesan makanan untuk tapau bawa balik ke rumah!

😝

PRU14 semakin hampir?


Adakah hari yang ditunggu-tunggu semakin hampir?

Sebagai pengundi yang layak, bersediakah kita untuk mengundi dalam PRU ke-14?

Mengundi dengan ilmu pengetahuan, bukan sekadar ikut-ikutan...



2 comments:

  1. Hari tu lepak-lepak depan rumah sambil sirma pokok pandan. Sekali angin bertiup.. memang ada bau macam-macam bau PRU sikit.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe, macam mana agaknya bau PRU ye? 🤔

      Delete