Curi, ragut dan culik....

Thursday, August 25, 2016 Ana 0 Comments



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Sejak kebelakangan ini banyak pula berita mengenai kecurian, ragut malah culik yang dikongsikan dalam group whatsapp taman perumahan saya. Jika dulu jarang-jarang dengar berita sebegini di kawasan ini, sekarang macam hampir setiap hari pula. Menakutkan kerana jenayah kini semakin hampir di muka pintu rumah :(



Pada bulan puasa yang lepas seorang warga emas maut akibat diragut di jalan selang 2 blok dari rumah saya. Makcik tersebut yang baru selesai hadiri kelas mengaji di masjid tengah berjalan kaki balik ke rumah. Peragut yang bertindak menolak makcik itu sehingga terhantuk kepalanya di jalan kemudiannya cabut lari dengan beg makcik tersebut. Yang sedihnya beg makcik itu bukannya ada wang beribu-ribu atau barang kemas pun. Yang ada cuma Al Quran dan handphone :(

Selepas kes tersebut banyak kali juga saya nampak polis membuat rondaan waktu malam. Yang paling terkini saya nampak 3 polis ronda bermotorsikal tengah buat rondaan sewaktu semua orang tengah berkumpul dalam rumah dan khusyuk fokus perlawanan badminton antara Chong Wei - Lin Dan di separuh akhir Olimpik.

Selain kes ragut, ada juga beberapa lagi kes polis yang melibatkan kes pecah rumah dan kehilangan kereta dilaporkan berlaku di sekitar kawasan ini.Yang terkini dikongsikan melalui whatsapp ialah cubaan menculik pelajar sekolah pula! Semakin tak selamat nampaknya kawasan perumahan saya ni,

Selain harapkan pihak polis, kita sendiri pun boleh juga mainkan peranan membantu cegah kes jenayah daripada berleluasa. Macam di kawasan perumahan saya ini dulu nya ada beberapa orang jiran yang sepakat buat rondaan (lebih kurang macam rondaan rukun tetangga) pada tengah malam dan awal pagi. Tapi sayangnya berhenti separuh jalan sebab kurang komitmen antara ahli jawatankuasa. Apa-apa pun kita sendiri sebagai individu boleh juga buat apa yang termampu untuk elakkan diri kita jadi mangsa jenayah ini:


1. Bawa beg tangan atau barang berharga dengan cara yang selamat
- Saya pernah dimarahi oleh seorang pengawal keselamatan kerana bawa beg duit dengan cara yang tak cermat. Kebetulan ketika itu saya berjalan melewati seorang pengawal keselamatan yang sedangberdiri di luar pos kawalannya.

"Adik, boleh tak pegang baik-baik beg duit tu? Tau tak bahaya bawa beg duit macam tu? Nak kena ragut ke?"

Beg duit kecil yang bertali itu saya pegang pada talinya sambil dihayun-hayunkan ke kiri dan kanan. Berjalan pula di bahu jalan sambil membelakangkan kenderaan yang lalu lalang. Memang patut lah saya kena marah sebab cara saya itu macam menggoda 'sesiapa yang berminat' untuk merampas beg duit itu dari tangan saya!


2. Barang berharga dalam kenderaan diletak di tempat yang selamat
- Pada suatu hari kawan saya yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan letak beg tangan atas dashboard kereta. Jalan sesak pada petang itu. Traffic jam di Jalan Tun Razak menuju terowong SMART. Tiba-tiba pemandu kereta di sebelah kiri bunyikan hon sambil tunjuk-tunjuk ke arah beg tangan di dashboard sambil mulut macam kumat kamit cakap sesuatu. Kawan saya buka tingkap dan pemandu kereta sebelah itu pun buat yang sama.

"Cik, beg tangan tu bahaya lah letak kat situ. Cik sorok lah sikit!"

Prihatin sungguh pemandu sebelah itu, dalam sesak-sesak jalanraya masih sempat ambil berat pasal beg tangan penumpang dalam kereta di sebelahnya! Bukan senang nak jumpa orang yang prihatin macam tu. Kebanyakan kita selalunya buat tak kisah atau malas nak masuk campur hal orang lain kan. Sekejap saja terleka, dalam sekelip mata mudah saja peragut ambil kesempatan pecahkan cermin kereta dan bawa lari beg tangan itu!


3. Elak dari 'tunjuk jalan masuk' kepada penjenayah
- Emak saya pernah mengadu yang beliau beberapa kali ternampak anak-anak jiran melakukan perkara yang kurang elok di tengah malam atau awal pagi. Terjaga dari tidur untuk ke bilik air, emak saya melihat ada anak-anak jiran yang balik lewat malam memanjat pagar untuk masuk ke rumah masing-masing. Sangat bahaya jika ada 'mata lain' yang memandang perbuatan itu. Lebih bahaya lagi jika perbuatan anak-anak jiran ini telah lama diperhatikan oleh mereka yang berniat jahat. Macam mana jika ketika memanjat pagar itu, si penjenayah dah terlebih dulu memanjat dan siap sedia tunggu di sebelah dalam pagar? Kemudian acu kan pisau dan ugut supaya buka pintu rumah? Nauzubillahi min zalik!

Langkah-langkah mudah saja kan? Tapi yang mudah itu lah kita selalu terlepas pandang.

Begitu lah dunia sekarang yang semakin 'gila' dan orang sanggup buat apa saja asalkan dapat apa yang dihajati. Meragut warga emas hingga maut, tetak lelaki hingga dimasukkan ke ICU dalam satu cubaan merompak dan cubaan menculik pelajar sekolah kini bukan lagi berita yang memeranjatkan. Seperti dah jadi macam 'berita hiburan' yang kita baca hari-hari di suratkhabar. Apa puncanya? Kesempitan hidup? Mental tak stabil? Nafsu tamak haloba yang tak terkawal?

Ini kah agaknya 'harga' yang perlu dibayar dalam usaha menjadi negara maju?

:(











0 comments: